Monday, December 31, 2007

Jiwa Baru Setiap Hari..

Bismillahhirrahmannirrahim...
Assalamualaikum..
Haa.. Sihat ke semua..? Moga sihat la hendaknya.. Bila dah sihat tu jangan lupa bersyukur pula pada DIA yang menganugerahkan kesihatan tersebut.. Itu adalah sebagai salah satu tanda bahawa di hati kita masih ada secebis iman..InsyaAllah.
Hrmm.. Salam IdulAdha..! Walaupun ucapan ini kemungkinan dah basi kepada anda semua, Arjuna tetap nak qadha balik ucapan ini.. yer la.. bz sangat-sangat...sehingga tak sempat menjenguk ke taman dakwah ini.. maafla.. bukan kah anda semua adalah seorang yang pemaaf?.. kalau tidak.. pendek umur!.. he3..
Hrm.. sedar tidak sedar kita semua sudah melangkah ke tahun 2008 masihi. Justeru,sekarang hadirlah era baru bagi sesetengah orang.. namun tidak bagi Arjuna. Arjuna bukan tidak mahu meraikan dan mengucapkan tahun baru, tetapi bagi diri ini..lebih penting untuk mengiktiraf dan menyambut serta meraikan kalendar hijrah bagi kita selaku umat Islam yang insyAllah akan tiba dua,tiga hari lagi..
Bila datang musim baru ini.. banyak soalan yang boleh kita dengar seperti " Apa azam tahun baru kamu? ".. " Sudahkah kamu muhasabah dan post mortem kehidupan kamu bagi tahun lepas..?..Dan banyak lagi soalan-soalan yang berkaitan dengan sambutan tahun dan musim baru ini. Namun, kita sering terlepas pandang bahawa tindakan seperti ini kadang kala menjadikan kita semakin lemah dan gagal dalam kehidupan kerana ia akan membuatkan hidup kita lambat dan rasanya tidak keterlaluan arjuna faktakan bahawa tidak akan ada perubahan dan peningkatan. Mengapa perlu kita mengunggu sehingga 365 hari untuk kita mengubah dan memperbarui hidup kita ke arah yang terbaik?.. Bukankah Islam mengajar umatnya sentiasa muhasabah, mentajdid azam, mengubah diri ke arah kebaikan tidak bergantung kepada masa-masa tertentu?.. Salahkah kita membina azam baru setiap hari contohnya selepas bangkit dari tidur untuk menjadikan diri terbaik dalam segala hal pada hari tersebut.. dan diteruskan pada hari-hari yang keseterusnya..? Bukankah kita pernah mendengar kata-kata
" Jadikan diri kita hari ini lebih baik daripada semalam.."..?
Ya... tidak salah untuk kita muhasabah diri dan membina azam baru setiap kali datangnya tahun baru.. tidak salah sedikitpun.. Tetapi, adalah lebih baik jika kita anjakkan adat minda ini kepada perlaksanaanya pada setiap hari.. Ini lebih berkesan dan yang penting inilah sebenarnya kehendak Islam untuk membina kekuatan umat yang mulia di sisi Allah.
Bina azam setiap hari..!Muhasabah diri setiap hari..!Maafkan orang setiap hari..!Jadilah insan dan hamba Allah yang terbaik dari semua sudut setiap hari!..
Kita lupa sekejap pasal tahun baru, kita pergi sekejap kepada perkembangan terkini politik dalam negara. Jika dikaji perkembangan politik sekarang ini seolah-olah pilihanraya akan diadakan dalam masa sebulan dua lagi.. bermula dengan 'parti menyumbatkan pemipin pembangkang dalam ISA', ketidakadilan yang dibuat antara kes Batu Burok dan HINDRAF ( seolah-olah ingin mengambil hati orang-orang India supaya tidak melompat kepada parti lain selain BN) dan terkini jika anda menonton berita-berita terutama TV1 dan TV3 sejak akhir-akhir ini, anda akan dapat mendengar ucapan-ucapan pemimpin BN berkempen walaupun dalam majlis membantu mangsa banjir..
Selain itu, negara juga panas dengan isu aksi seks pemimpin parti komponen BN dan isu tok Samy Vellu dihina dan di'boo' oleh masyarakat khususnya kaum India di suatu majlis.. Ini jelas penolakan secara zahir rakyat kepada pemimpin BN..!
Arjuna yakin kali ini rakyat tidak akan berdiam diri lagi.. andai tiada penipuan dalam pilihanraya akan datang, insyaAllah, arjuna yakin UMNO dan BN akan dimakamkan!Pasti..! Rakyat tidak bodoh dalam menilai.. Perkembangan terkini yang dibuat oleh parti pembangkang juga terutamanya di kampung-kampung membuktikan rakyat sudah tidak menerima pemerintahan UMNO dan BN lagi.. Lawan tetap lawan..! Sampai UMNO & BN dikalahkan..! salam syifa..'

Monday, December 10, 2007

Idola Ku..














Assalamualaikum..

Saja... ingin kongsikan koleksi gambar Tuan Guru Nik Aziz yang ada dalam pendrive Arjuna.. Beliau Idola Arjuna.. kerana memiliki corak pemerintahan persis Khalifah Umar Ibn Abd Aziz..
Dah lama Arjuna tidak menziarahinya.. Rindu pada ulama' yang juga terdiri daripada umara' ini.. Moga beliau sentiasa sihat wal afiat.. Raya Haji ini Arjuna akan meluangkan masa untuk menziarahi beliau.. InsyaAllah.. Ku merindui mu..

" Tirulah seperti mereka walaupun kamu tidak boleh menjadi seperti mereka.. kerana usaha kamu itu menunjukkan kamu telah beroleh kejayaan.."..- Hikam

Hukum Rimba PDRM..!


( Gambar di saat penangkapan )


( Gambar di saat penangkapan )


Assalamualaikum...
Polis semakin melampau! Ya.. Melampau!..Penangkapan Mohamad Sabu - Naib Presiden PAS amat mengaibkan badan kepolisan Malaysia. Mengapa tidak, di saat Mohamad Sabu sibuk menguruskan perkahwinan anak perempuannya,..dia ditangkap! Di mana perikemanusiaan pihak polis..? Di mana, adab pemimpin Had hari? Polis Had hari? Tidak bolehkah menunggu sehingga segalanya berkaitan majlis selesai?.. Ya, andai benarlah Mohamad Sabu bersalah, wajarkah tindakan tersebut dibuat pada waktu tersebut?.. Di tangkap ditepi jalan, dihadapan anak perempuan yang sedang meniti bahagia untuk mengecap perkahwinan.. Allah.. Cuba anda bayangkan andai perkara ini berlaku kepada keluarga anda.. Bagaimanakah perasaan anda?.. Ini dalil yang menunjukkan polis masih lagi menggunakan hukum rimba dalam melakukan tugasan! Memalukan..!

Rakyat akan bangkit..! Jangan anggap rakyat akan semakin takut.. jangan bermain dengan api yang sedang marak.. kelak pasti akan membakar diri.. semangat rakyat sudah berada di kemuncak.. kenaikan harga barang, ketidaktelusan badan kehakiman,tol yang tidak pernah turun-turun harganya, kebebasan rakyat disekat, pencabulan media, rasuah yang menggila di kalangan pimpinan kerajaan, isu murtad yang dipandang sepi dan banyak lagi kepincangan kepimpinan Pak Lah yang menjadi sebab untuk dia turun dari takhta pemerintahan.

Kebatilan ini mesti dihentikan! Kebenaran mesti diangkat di tempat yang sepatutnya! Hidup kebenaran..! Sama-sama kita doakan Mohamad Sabu dan keluarga tabah menghadapi dugaan.. kerana itu fitrah pejuang.. Takbiir!

Friday, December 7, 2007

Pak Lah Menipu...???

Assalamulaikum...
Allah.. lama tak jenguk mai.. maaf la yer.. sibuk sangat.. artikel kat bawah ini Arjuna nak kongsi dengan anda semua..baca dan kejutkan kelenaan minda kita..!Kita mesti bangkit..!..-salam syifa'..

"Oleh : Herman Samsudeen
Ketua Penerangan DPP W.Persekutuan

Organisasi kaji selidik antarabangsa, TNS dan Gallup International telah berjaya memperbodohkan pemimpin utama negara melalui laporan kajian mereka berhubung ‘Voice of the People’ diseluruh dunia . Melalui laporan tersebut Perdana Menteri telah membuat kesimpulan yang rapuh dan mendakwa bahawa Pilihanraya Malaysia bebas.

Memetik laporan Berita Harian;
“Di Malaysia, kajian yang dilaksanakan secara bersemuka itu bermula dari 2 Julai hingga 5 Ogos lalu membabitkan 1,250 penduduk bandar di Semenanjung. Dalam jawapan berhubung soalan sama ada pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil, Malaysia mencatat 74 peratus, manakala 69 peratus menyatakan negara ini ditadbir mengikut kemahuan rakyat.”


Sebenarnya, bila dibaca berulang kali kita akan melihat satu perkara penting yang Perdana Menteri BN terlepas pandang atau sengaja tidak di‘highlight’kan.

Hipotesis kajian ini dibuat berdasarkan 1,250 responden yang terdiri dari penduduk bandar di Semenanjung sahaja. Kesimpulan yang dibuat adalah tidak logik dan masih boleh dipertikaikan kerana dengan jumlah responden sebanyak itu, mereka tidak sepatutnya mengatakan bahawa itulah pandangan sebenar masyarakat malaysia secara keseluruhannya.

Mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga 13 Julai 2007, jumlah populasi penduduk Malaysia adalah 27.17 juta. Dan berdasarkan laporan SPR sehingga 29 Mei 2007, jumlah pengundi berdaftar dinegara ini adalah 10,322,956 orang.

Oleh itu, sample sebanyak 1,250 yang diambil oleh TNS dan Gallup International adalah tidak sesuai bagi mewakili jumlah rakyat seramai 27.17 juta atau pengundi berdaftar seramai 10,322,956 orang. Jumlah sample sebanyak itu hanya layak diterima pakai bagi satu kawasan DUN yang jumlah pengundinya sekitar 70 ribu-100 ribu sahaja.

Jadi dakwaan Pak Lah bahawa ‘Pilihanraya Malaysia bebas’ adalah suatu pembohongan dan penipuan yang bertujuan bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

Hakikatnya, jika TNS dan Gallup International ingin membuat hipotesis yang tepat, mereka boleh melihat kepada jumlah peserta yang hadir dalam Himpunan Aman Rakyat anjuran BERSIH pada 10 November yang lalu. Jumlah kehadiran yang melebihi 100 ribu orang sudah cukup dijadikan sample kukuh bagi dunia menilai tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap sistem Demokrasi Malaysia.

10 November 2007 menyaksikan kebangkitan gelombang kuning rakyat yang menuntut pemulihan demokrasi dan pilihanraya yang adil. 100 ribu yang hadir adalah layak bagi mewakili 27 juta rakyat atau lebih 10 juta pengundi berdaftar. Ianya satu hipotesis rambang yang mudah dan harus diambil kira bagi situasi pada masa kini.

Selain dari itu, sample yang diambil juga hanya melibatkan penduduk di bandar-bandar besar di Semenangjung Malaysia yang terhad kepada sekitar Lembah Klang sahaja. Seharusnya, laporan yang didakwa mewakili populasi keseluruhan rakyat Malaysia ini dibuat dengan mengambil kira pandangan sample dari luar Lembah Klang termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Fakta kehadiran peserta Himpunan BERSIH lebih sesuai kerana ianya dihadiri oleh rakyat dari seluruh negara termasuklah dari Sabah dan Sarawak serta golongan kurang upaya yang turut menjadi pengundi berdaftar dinegara ini.

Seterusnya, Laporan TNS dan Gallup International yang dibuat adalah berdasarkan situasi kajian sehingga 5 Ogos 2007, sedangkan hipotesis terhadap Himpunan Bersih adalah lebih terkini iaitu pada 10 November.

Jadi, diharapkan agar rakyat Malaysia tidak lagi terpedaya dengan fakta yang ‘outdated’ yang dilemparkan oleh UMNO-BN. Momentum kebangkitan rakyat pada masakini sudah cukup baik dan mengetarkan hati Pak Lah.

Dan pada 11 Disember ini BERSIH akan berhimpun sekali lagi bagi membuktikan fakta yang ‘dilelong’ oleh Pak Lah tidak laku dan sudah ‘expired’. Rakyat dah celik dan mereka sedar hak mereka.

Tuesday, November 13, 2007

Gelombang "TSUKUNING"..

Assalamualaikum..

Sebelum ape-ape.. cuba anda hadiahkan sebuah senyuman untuk diri sendiri dulu sebagai penghibur hati.. Kita sering lupa bahawa senyuman adalah satu ubat yang paling mujarab kepada segala penyakit.. tak percaya.. cuba senyum sikit.. senyumlaa..
Teringat Arjuna kisah seorang pemuda daripada Ikhwanul Muslimin yang bekerja di sebuah kilang besar sebagai bendahari atau pemberi gaji kepada pekerja-pekerja di kilang tersebut..
Suatu hari, beliau bertanya kepada As Syahid Sheikh Hasan Al Banna tentang method dakwah yang sesuai digunakan untuk berdakwah kepada semua pekerja kilang tersebut supaya dapat menerima dakwah Ikhwanul Muslimin pada ketika itu. Berkata As Syahid Sheikh Hasan Al Banna.." Kamu senyum lah pada setiap kali memberikan gaji kepada mereka..."..Akhirnya, 3 tahun selepas itu.. kesemua pekerja di kilang tersebut menerima dan menjadi ahli kepada Ikhwanul Muslimin.. Subahanallah.. Hanya dengan senyuman.. Justeru, senyum jangan tak senyum..kui..kui..kui..

Sengaja arjuna memutarkan minda anda dengan "subjek" senyuman pada kali ini memandangkan sepanjang minggu ini arjuna sentiasa senyum bila mengingati kejayaan BERSIH 3 hari lepas.. Walaupun senyum sorang2..tapi senyum ada makna tau..hehe..
Apa pun, kita mengharapkan komitmen yang diberikan oleh kesemua NGOs,Parti Pembangkang dan lain-lain terus segar bugar sentiasa.. bukan bermusim.. kerana perjuangan menentang kebathilan tiada had.. tiada musim tertentu.. tetapi sepanjang hayat..!

Banyak artikel, komentar dan lain-lain yang sudah tentu anda membacanya berkenaan dengan BERSIH.. arjuna yakin.. sebab itu arjuna tidak mahu mengulas panjang..sekadar ingin berkongsi kegembiraan terhadap letusan api semangat yang berkobar di kalangan pejuang kebenaran..Ya.. PILIHANRAYA MESTI DIBERSIHKAN..! WAJIB..!Sebenarnya di sini arjuna ingin kongsikan dengan anda semua gambar istimewa yang diambil pada hari perhimpunan tersebut tetapi malangnya internet terlalu lembap..! Sabar.. senyum..senyum.. hehehe.. Nantilah, di lain waktu, arjuna masukkan..insyAllah.. Pepun.. Tahniah kepada pendokong kepada Gelombang kuning yang mengganas secara lembut dan aman.. Tahniah sekali lagi BERSIH..! Salam Syifa'..

Friday, October 26, 2007

Anda Harus Menilainya..

Assalamualaikum...
Moga anda berada dalam ketenangan dengan nikmat Islam dan Iman yang dikurniakan Allah kepada hambaNYA.. Kali ini, Arjuna cuma mahu anda semua menilai sendiri dua gambar kat bawah nie.. nilai dengan iman dan taqwa.. bandingkan masih adakah lagi pemimpin di dunia ini yang mewarisi gaya kepimpinan khalifah-khalifah negara Islam yang terdahulu seperti Saidina Abu Bakr, Umar,Othman, Umar Ibn Abdul Aziz dan lain-lain... Fikirkan..
Satu lagi cerita terbaru.. dalam kehebatan kerajaan Islam Hadhari ingin menolong rakyat ini ada ura-ura (terdapat dalam akhbar) yang mengatakan tarif elektrik akan diNAIKKAN.. dan pak cik samy vellu juga akan menghantar cadangan kepada kabinet untuk MENAIKKAN kadar tol.. Semua barang mesti baik punya..tidak ada yang turun jika anda memilih BN kerana ia singkatan kepada Barang Naik..! salam syifa'..


"Inilah mahligai pemimpin UMNO, pembela Islam Hadhari.."



"Ini pula mahligai pemimpin tertinggi PAS pembela Islam hakiki.."



Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.
Ingin berjumpa dengan beliau..? Tak susah.. Tidak payah buat temu janji.. Anda hanya perlu ke Dewan Zulkifli, Kota Bharu setiap hari Jumaat kerana di situlah beliau memberi kuliahnya setiap minggu. Pada setiap kali waktu subuh, khususnya hari Jumaat, jika anda hadir ke masjidnya untuk bersolat, jangan terkejut pula jika anda bertemu ramai ibu-bapa yang membawa bayi-bayi untuk dicukur jambulnya oleh Tuan Guru.. Dan jika anda ke rumah beliau di waktu beliau lapang.. jangan terkejut juga jika beliau sendiri yang mengangkat dulang air untuk anda sebagai tetamu..(pengalaman yang dialami arjuna sendiri)..Ini belum termasuk gaji bulanannya yang dipotong demi masa depan dan kebaikan kerajaan yang dipimpinnya..
Justeru, anda cari lah seorang Menteri Besar yang lain di Malaysia ini yang memberi kuliah agama kepada rakyatnya tanpa mengenal jemu..setiap minggu pula tu..! Carilah juga seorang Menteri Besar yang bersama rakyat sehingga sanggup membuat perkara-perkara sekecil-kecilnya kerana rakyat seperti muncukur jambul bayi yang baru dilahirkan..dan carilah juga seorang Menteri Besar lain yang sanggup memotong wang gajinya sendiri kerana rakyat!..Carilah..!
Inilah antara beribu sebab yang membuktikan kepimpinan Tuan Guru amat disayangi dan disegani di negeri Kelantan. Kepimpinan yang membawa manhaj Islam hakiki bukan Hadhari.. UMNO ingin merampas Kelantan..? Beli cermin dan cermin muka dulu.. Rakyat Kelantan sesekali tidak akan membenarkannya..!Hidup Islam.. Membangun Bersama Islam..!

Sunday, October 21, 2007

Aidilfitri..

Assalamualaikum…



Alhamdulillah.. dapat juga meng ‘online’ kan minda dan jiwa pada kali ini dalam taman dakwah kesayangan arjuna ini. Mungkin setiap kali anda menziarahi taman dakwah arjuna sejak akhir-akhir ini pandangan anda kabur dek kerana rerumput yang kian memanjang dan dedaunan yang berselerakan akibat lama ditinggalkan. Maafla.. Arjuna betul-betul tidak sempat untuk menebas rerumput yang memanjang dan menyapu dedaunan yang berselerakan itu. Amanah taklifan untuk menjaga hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan pencipta membuatkan arjuna sentiasa dalam kesibukan sejak akhir-akhir ini. Namun, usaha dakwah maya ini tidak sesekali arjuna akan tinggalkan.. wajib teruskan larian..!

Rasanya belum terlambat untuk arjuna ucapkan Selamat Hari Raya Aildilfitri kepada semua rakan-rakan bloggers, teman-teman di Syam serta sahabat-sahabat fillah yang sering menjenguk dan menyinggah di taman dakwah ini. Terima kasih banyak-banyak kerana banyak memberikan sokongan. Bagaimana sambutan Aidilfitri kalian..? Adakah benar-benar sudah kembali kepada fitrah yang menjadi tujuan utama Aidilfitri diraikan..? Bagaimana pula dengan amalan-amalan sepanjang Ramadhan?..Dapat di ‘istiqamahkan’ atau tidak?..Aidilfitri tidak bermakna apa-apa jika kita hanya berpakaian baru, berkasut mahal dan segala-galanya tampak bergaya tetapi jiwa kita tetap kotor dan bekarat, minda kita tetap kuning dengan merajakan fikrah barat dan taqwa serta iman kita entah ke mana. Marilah sama-sama kita koreksi diri masing-masing adakah segala-galanya sudah kembali kepada fitrah atau tidak.. Sama-sama beristighfar padaNYA..!

Musim raya ini juga dikenali dengan musim rumah terbuka. Buka sana. Buka sini. Pening kepala dibuatnya. Bukan apa… yang kita tertanya-tanya mengapa gelombang rumah terbuka nie hanya berlaku pada musim raya?.. Bukankah Islam mengajar penganutnya supaya sering memuliakan tetamu tidak mengira waktu kerana itu salah satu tanda keimanan kepada Allah..? Buatlah rumah terbuka.. tiada siapa yang larang.. namun, berhatilah-hatilah.. takut-takut berlaku pembaziran yang melampau dan mengakibatkan kita mendapat kemurkaan Allah. Haa.. ini belum masuk bab majlis kahwin lagi.. Ntah, tak nak cerita panjang-panjang bab nie.. sensitif.. He2..





Bercakap tentang membazir nie..Kat sini arjuna sertakan juga gambar rumah eh.. bukan.. banglo..eh.. rasanya tak jugak.. Istana kot.. yang menjadi kepunyaan salah seorang pemimpin UMNO Selangor. Di saat rakyat bawahan yang tinggal di pondok buruk (xpercaya?..tontonlah rancangan ‘Bersamamu’).. hidup dalam keadaan dho’if..makan pun tak cukup.. pemimpin korup ini boleh membina mahligai yang berharga 10 juta.. (takda akai ka..?).. Anda fikirlah sendiri… Ini mungkin isu lama.. Namun, ia tetap baru kepada mereka yang jiwanya hidup dan bencikan kezaliman. Bukankah ini satu kezaliman?.. Jangan biarkan hati kita cenderung kepada kezaliman.. Bersihkan ia..! Salam syifa’..

Sunday, September 23, 2007

Bingkisan Ramadhan..

Assalamualaikum..


Alhamdulillah, akhirnya dapat juga arjuna menyiram pepohon ilmu di dalam taman dakwah ini. Sememangnya Ramadhan kali ini boleh dikatakan sibuk. Siangnya menolong kakak berniaga lauk pauk sempena Ramadhan seperti ayam masak merah, dalca, gulai kawah, sambal jantung pisang (oghe kelate sebut 'teresek') dan macam-macam lagi la yang kalau arjuna senaraikan di sini pasti anda akan terasa lapar. Sambutannya?..Boleh lah tahan. Tapi,anda jangan ingat Arjuna menolong beliau memasak pula.. Arjuna hanya menolong menjaga anak-anak saudara di rumah. Anak-anak saudara yang nakal tetapi..erm.. cute!. Tolong la jugak tu kan?.. Manakala pada malamnya, arjuna menjadi imam terawih di salah sebuah balai polis kat sini. Letih.. tp seronok.! Selain itu, arjuna juga sempat mencuri masa untuk membuat lesen kereta. Biasalah.. kan dah jadi imam di balai polis.. hehe..

Setiap kali Ramadhan, boleh dikatakan semua stesen televisyen di negara kita akan menyiarkan program keagamaan. Banyak.. Dari program bingkisan, dokumentari, drama dan pelbagai lagi.. Namun, yang menyedihkan.. kebanyakan program-program tersebut disiarkan pada waktu mesyarakat kebanyakannya tidur. Bayangkan,antara pukul 1-6 pagi..selain masyarakat sedang tidur dan selepas itu bersahur serta mungkin ada yang berqiamullail tentu hanya segelintir kecil sahaja yang menonton televisyen. Kanak-kanak sudah tentu tidak akan menonton televisyen pada masa tersebut. Sedangkan merekalah sasaran didikan untuk dibentuk menjadi pewaris bangsa yang berkualiti. Berlainan pula pada waktu siang, selain daripada cerita-cerita kartun yang dijamu kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak, drama-drama termasuk drama Melayu juga tidak kurang hebatnya. Drama yang mempamerkan wanita mendedahkan aurat, filem-filem Hindustan yang amat melampau dengan tarian gilanya, iklan-iklan yang terang-terangan menghina keizzahan wanita yang mulia di sisi Islam dan banyak lagi rancangan-rancangan 'tidak betul' atau pun 'gila' yang dianjurkan dan seolah-olah digalakkan oleh kerajaan Islam Hadhari di bulan Ramadhan ini. Terbaru.. dalam bulan yang mulia dan penuh berkat ini mereka masih lagi seronok menempah laknat Allah dengan menganjurkan program khusus Joget Lambak bersama artis. Walaupun terdapat kadang-kadang diselitkan program 'mambaca@melagukan' Al-Quran oleh beberapa orang artis dalam sekitar 10-15 minit,namun adakah ia akan memberi kesan yang dominan setelah mereka menonton rancangan-rancangan 'gila' lain selama berjam-jam..? Seolah-olah menyindir Al - Quran pula! Ma'ruf pun buat.. Munkar pun buat.. Boleh ke macam tu?

Selain itu, negara juga dihebohkan dengan berita penculikan dan pembunuhan arwah adik Nurin Jazlin yang dibunuh kejam oleh seorang hamba Allah. Walau sejahat mana pun 'dia', 'dia' tetap hamba Allah.. setiap hamba Allah mempunyai peluang untuk bertaubat dan beroleh hidayah dariNYA.. mungkin selepas ini kita boleh berhenti dari mengutuk dan mengeji tetapi berusaha untuk mendoakan 'dia' supaya beroleh taufiq dan hidayah dari Ilahi. Kita boleh kata apa sahaja kerana kita masih boleh belum diuji seperti yang 'dia' alami. Benci tetap benci, namun itu tidak akan dapat memutuskan silaturrahim antara 'dia' dengan kita. Ingat.. Kita bersaudara! Kita tengok bagaimana 'kecepatan' dan 'kehebatan' PDRM menyelesaikan kes ini. Apa yang pasti, 'kekecohan' kes ini khususnya dalam akhbar dan berita televisyen secara tidak langsung telah menyiram api kepanasan kes pembunuhan Altantuya Sharibuu..Kes yang dikatakan berprofil tinggi dan mempunyai kaitan dengan pemimpin besar negara. Rakyat terutamanya 'orang kampung' lebih kesiankan arwah adik Nurin Jazlin dari mengingati dan mempersoalkan siapa dalang di sebalik pembunuhan Altantuya Shatibuu.. Timbul persoalan, apakah benda ini dirancang?.. Ditambah lagi dekat pilihanraya ini.. Erm.. Anda difikirkan sendiri.. ok.. Moga Allah temukan kita dengan malam Al Qadr.. Malam yang berkat.. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan.. Padanya mungkin terdapat syifa' yang kita cari.. maghi pakat-pakat cari deh..! salam Syifa'....

Tuesday, September 11, 2007

Salam Ramadhan Al Mubarak..

Assalamualaikum..



Salam Ramadhan Al Mubarak diucapkan kepada sahabat-sahabat yang sering bertamu ke taman dakwah ini.. Sama-sama lah kita hiasi Ramadhan Al Mubarak kali ini dengan amalan-amalan yang bisa menambahkan 'taqwa' dalam jiwa kita sebagaimana yang difirmankan Allah pada akhir ayat yang difardhukan berpuasa iaitu 'la`allakum tattaqun' . Itulah matlamat berpuasa sebenarnya..

Sama-sama juga kita mengambil peluang sempena Ramadhan Al Mubarak kali ini untuk melakukan perubahan dalam diri kita.. Perubahan Iman dan Akhlak yang sering kita lupakan. Baiki yang mana kurang, tampung yang mana bocor.. Jangan hanya ubah diri sendiri, intailah sama adik beradik kita, sahabat handai kita dan masyarakat di sekeliling kita mengikut kemampuan masing-masing. Wujudkan sikap cakna dalam diri. Barulah ukhwah akan bersemi.Jangan paksa diri untuk berubah tetapi ciptalah ruang dan peluang dalam diri dan jiwa kita untuk berubah. Sama-samalah kita berdakwah setakat mampu.

Ya.. hantu dan syaitan akan dirantai dan dibelenggu.. kerana itu gunalah peluang ini sebaiknya.. Hidayah dan keberkatan itu milik Allah. Pohonlah padaNYA.. Jom, koreksi diri.. Kita lakukan perubahan.. kerana ini mungkin Ramadhan Al Mubarak terakhir yang kita temui dalam hidup di dunia fana' ini.. Allahummaghfirlana zunubana..!Salam Ramadhan Al Mubarak..!

Monday, September 10, 2007

TRAGEDI BATU BURUK : DEMOKRASI YANG DICABULI..

Assalamualaikum...

Arjuna rasa tulisan saudara Ahmad Lutfi Othman ini perlu anda baca jika anda inginkan penjelasan yang lebih jelas serta lebih daripada itu berkenaan tragedi Batu Buruk ini. Konklusi yang arjuna boleh buat.. UMNO sekarang dalam ketakutan, dan mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menghancurkan pembangkang dan memastikan mereka menang dalam pilihanraya umum nanti. Sistem demokrasi yang ada dalam negara kita telah dirobek oleh UMNO..! UMNO adalah parti pondan!..Pengecut..! Kalau berani lawanlah cara anak jantan, jangan hanya baling batu kemudian menyembunyikan tangan..! Maralah wahai pejuang.. usah takut dan gentar kepada dugaan serta cabaran.. kerana itu semua adalah sunnah pejuang..!

............................................................

Saya tidak sempat menonton Buletin Utama TV3 sebentar tadi (jam 8 malam, 9 September) tetapi sudah dapat diagak apa yang akan diperkatakan pemimpin-pemimpin kanan Umno, misalnya Najib Razak dan Hishammuddin Hussein, dan juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Johari Baharom, mengenai tragedi seorang anggota polis menembak - dengan peluru hidup - dua peserta majlis ceramah anjuran Bersih, di Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi (8 September).


Dua pemuda yang cedera parah itu, seorang daripadanya dikejarkan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan tentulah tidak dilihat sebagai mangsa "keganasan" polis yang perlu dikasihani, sebaliknya anggota keselamatan yang menembak dengan peluru hidup itu pula akan dilihat sebagai "mangsa", sepertimana yang dapat saya kesan melalui laporan Berita Bernama.

Maka, akan ditampilkan sebesar-besarnya nanti, bahawa apa jua yang jahat, yang buruk, yang merusuh, yang mengamuk, yang ekstrim, yang gila kuasa, yang tidak hormat undang-undang dan penguatkuasanya ialah PAS, pemimpin, ahli dan para penyokongnya. Segenap "senjata pemusnah" BN akan dihadapkan kepada PAS.

Usah terkejut dengan ulasan sebegitu rupa, yang cuba menghempap PAS dengan pelbagai imej buruk-jelik -- yang akan bertindih-tindan nanti dek ramainya pemimpin BN yang ghairah mengulas -- yang tujuannya hanya satu, yakni meletakkan PAS di dalam kandang orang salah. Perhatikanlah, bebanan tohmahan palsu itu akan dihalakan khusus buat PAS Terengganu, bagi mencalarkan wajahnya seburuk mungkin, untuk menggelapkan apa jua harapan untuk menguasai semula negeri itu.

Sejauh mana propaganda murahan Umno-BN-Polis-Media akan berjaya mengelabui mata rakyat, terpulang kepada kebijaksanaan PAS untuk menangani isu ini. Tidak mustahil isu "amukan" di Batu Buruk ini boleh mengasak PAS ke kubu pertahanannya sebagai pihak defensif, ataupun ia bisa bingkas bangun untuk menerjah dan menyerang balik pemerintah jika kisah sebenar dapat dipaparkan sebaik mungkin.

Situasi sulit

Dalam masa PAS perlu bersikap cermat dan berhati-hati, bimbang rakyat mudah dipengaruhi jentera propaganda BN terutama melalui media perdana, ketegasan berdepan situasi sulit ini amat diperlukan. PAS pernah berdada suasana lebih sukar, seperti Peristiwa Memali dan Lubuk Merbau di Kedah, dan lebih awal lagi "rampasan kuasa" di Terengganu sendiri pada awal 60-an.

Propaganda itu sudahpun bermula. Melihat Terengganu sebagai sasaran utama PAS dalam pilihan raya akan datang, selain mengekalkan pemerintahan di Kelantan, isu ini tentu akan dimanipulasi sehebat mungkin, bukan lagi dalam konteks keselamatan, bahkan ia terangkum erat dalam pakej politik pilihan raya ke-12. Justeru, kenyataan pihak polis, seperti cuba dijelaskan Ketua Polis Negeri, Dato' Ayub Yaakob tidak mudah diterima umum.

Apatah lagi rekod buruk polis di Terengganu, khususnya menangani masalah permit ceramah parti pembangkang, diketahui umum. Kita boleh menyenaraikan program-program PAS di negeri ini, walaupun dalam premis tertutup - termasuk pada majlis ceramah Israk Mikraj, di Masjid at-Taqwa, Pekan Batu Enam, 26 Ogos 2005 - berdepan dengan pelbagai kesulitan yang ditimbulkan pihak polis, sehingga tembakan pemedih mata dan pancutan air gatal bukan perkara asing lagi.

Memang pelik, jika hanya faktor ketenteraman awam diambil kira, apalah susahnya untuk meluluskan permit ceramah. Bukankah hampir saban malam, di seluruh negara, program-program penerangan PAS dijalankan secara aman, tanpa sebarang kekecohan. Kalau tidak diganggu polis, majlis berjalan lancar sehingga tamat. Malah dalam PAS dibentuk Unit Amal bagi membantu kelancaran lalu-lintas dan memastikan ia tidak menganggu penduduk setempat.

Sebenarnya isu tembakan bom asap, keganasan polis, dan kesukaran mendapat permit ceramah seolah-olah menjadi kelaziman dalam kegiatan politik pembangkang di Malaysia. Walhal, sebagai parti yang sah didaftarkan, pembangkang juga berhak untuk bertemu rakyat. Sudahlah segala saluran maklumat lain ditutup, medan tradisi turun-temurun - pentas ceramah - pun mahu dihalang ketat.

Itu belum diambil kira majlis-majlis yang bakal mempamerkan bantahan rakyat terhadap dasar dan pelaksanaan pemerintah. Perhimpunan membantah kenaikan minyak tidak lama dulu misalnya sering diganggu polis dan FRU. Aktivis sosial bukan saja digari dan dihantar ke lokap polis, tetapi kerap juga kita lihat ada yang dipukul-terajang sampai berdarah kepala. Dan yang paling diingati tentulah demonstrasi sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Kampung Baru dalam era reformasi 1998-99 dahulu.

Bukan pentas mengutuk pemerintah

Namun, insiden berdarah di Batu Buruk ini membawa pengertian berbeda. Ia bukan perhimpunan mengutuk pemerintah atas isu-isu tertentu. Ia sekadar majlis ceramah anjuran Bersih, yakni gabungan parti-parti politik dan NGO, yang menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil, diketuai Presiden MTUC, Syed Shahir. Jelajah program Bersih ini itu sebenarnya diadakan pada setiap negeri. Difahamkan ia juga berhasrat untuk menggembleng kekuatan 100,000 rakyat Malaysia untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran di ibu kota, November nanti.

Menuntut perjalanan pilihan raya yang adil, telus, jujur dan bersih tidak seharusnya ditanggapi sebagai usaha provokasi yang mesti digeruni pemerintah. Kerajaan yang dibentuk atas konspirasi jahat SPR-Polis-Umno-JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) boleh dipertikai legitimasi atau keabsahannya, dan inilah yang diperkatakan tentang mandat besar yang diterima Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2004.

Ya, sesuatu yang ironi berlaku di Batu Buruk malam tadi. Majlis penerangan buat rakyat memahami satu proses paling penting dalam pembentukan sebuah kerajaan demokratik dihalang dengan begitu keras dan kasar. Pihak polis akan mengemukakan pelbagai daleh dan alasan, khususnya tentang prosedur permit dan aspek keselamatan lainnya, dan kita akur dengan syarat-syarat munasabah yang ditetapkan. Tapi, paling ketara nantinya ialah penonjolan sikap memihak polis terhadap kepentingan politik Umno-BN, terutama di sebuah negeri yang kini dalam keadaan terumbang-ambing menghadapi suara rakyat yang telah bosan dan muak dengan janji-janji yang tidak tertunai.

Siapa perangkap siapa

Mungkin ada soalan timbul, dengan keterbatasan tenaga dan sumber, apa untungnya PAS dan juga pembangkang bertempur dengan pihak polis? Saya juga berfikir begitu, apa gunanya kita membazirkan kekuatan berdada dengan keegoan dan kesombongan pasukan keselamatan, walhal di belakang mereka, berdiri pimpinan Umno-BN yang bersiap-siaga untuk memasang perangkap? Sekali imbas mungkin ada logiknya persoalan itu dibangkitkan.

Soalnya, apa pilihan kita? Selamanya kita mahu menjunjung prinsip demokrasi, peraturan mengenai keselamatan awam dan penghormatan kita buat kakitangan awam yang bertugas dengan penuh dedikasi. Bahkan, parti-parti pembangkang selama ini, terutama PAS, membuktikan sikap terbuka dan rasa tanggungjawab yang luar biasa, bagi memastikan Malaysia tidak terdedah kepada kancah konflik yang mengancam keselamatan negara.

Malaysia aman dan stabil sebenarnya diasaskan oleh sikap toleransi pembangkang meskipun berdepan dengan seribu satu penyelewengan dan penipuan pemerintah. Belasan kali barisan oposisi tewas, dan sebahagian besarnya, disebabkan konspirasi dan penipuan sang penguasa, dulunya Perikatan, kini BN. Pernahkah kita saksikan amukan aktivis pembangkang yang tidak dapat menerima kekalahan mereka sehingga negara menjadi kucar-kacir dan porak-peranda? Tidak dan sama sekali tidak.

Malah, saya secara peribadi sebagai insan kecil dalam kelompok besar pembangkang, seringkali tidak berpuas hati dengan sikap pimpinan parti yang kelihatan begitu banyak bertasamuh dan bersabar "sekalipun leher mereka dikelar secara kejam".

Apa pun, rasanya masyarakat akan lebih mengenali lebih dekat penganjur program di Batu Buruk itu, Bersih (dengan segala tuntutan dan programnya) selepas ini. Ia mungkin dapat membantu menjayakan lagi usaha mengembleng 100,000 rakyat prihatin untuk menggesa satu reformasi menyeluruh terhadap perjalanan pilihan raya yang selama ini terbukti tempang dan mudah diperalatkan Umno-BN.

Semoga mereka yang cedera parah itu dapat pulih segera, berdoalah.

Saturday, September 1, 2007

MERDEKA..! SELAMATKAN MALAYSIA..

Assalamualaikum..



Merdeka..!
Merdeka..!
Merdeka..!
Hanya itu yang mampu dilaungkan..
Hanya itu yang boleh dibanggakan..
Kibar bendera..
Tiada sambutan..
Cipta slogan..
Hanya untuk sedapkan pendengaran..
Namun..
‘Merdeka’.. hanya ‘merdeka’..
Sedikitpun tiada penghayatan..!

Merdeka..!
Merdeka..!
Merdeka..!
Negara gah dengan kemajuan..
Bangunan tinggi mencakar langit dibangga-banggakan..
Pemimpin kaya raya yang diagung-agungkan..
Namun..
Rakyat bawahan terus dalam kemiskinan..
Terus dalam kefaqiran..
Terus ditekan..
‘Merdeka’..hanya ‘merdeka’..
Sedikitpun tiada penghayatan..!

Merdeka..!
Merdeka..!
Merdeka..!
Kempen anti rasuah terus dicanangkan..
Kempen anti rokok tidak ketinggalan..
Kempen mulia akhlak diperbesarkan..
Namun..
Bergunakah kempen tanpa perlaksanaan..?
Rasuah semakin beraja dalam kepimpinan..
Rokok sudah menjadi makanan asasi seharian..
Akhlak remaja terus tenggelam dalam kebobrokan..
‘Merdeka’..hanya ‘merdeka’..
Sedikitpun tiada penghayatan..

Merdeka..!
Medeka..!
Merdeka..!
Melayu adalah pejuang kemerdekaan..
Melayu berkorban jiwa raga demi kemerdekaan..
Kesusahan.. kemelaratan.. kekalahan.. kesedihan..
Melayu dan merdeka tidak dapat dipisahkan..!
Namun..
Siapa raja dalam ekonomi sekarang..?
Siapa penguasa dalam pendidikan..?
Siapa yang terkedepan dalam mendepani cabaran..?
Siapa..?
Di mana melayu yang dikatakan ingin menguasai zaman..?
Dadah.. ganja.. mat rempit.. pil kuda.. merompak..
merogol.. bohsia.. bohjan…
Ahh.. Melayu dalam kelalaian..!
Melayu tiada kesedaran..!
Adakah ini erti kemerdekaan..?
Apakah ini yang dibangga-banggakan..?
‘Merdeka’.. hanya ‘merdeka’..
Sedikitpun tiada penghayatan..!

Merdeka..!
Merdeka..!
Merdeka..!
Benarkah kita merdeka..?
Apakah minda kita sudah merdeka..?
Apakah jiwa kita sudah merdeka..?
Apakah kehidupan kita sudah merdeka..?
Apakah ilmu kita merdeka..?
Benarkah kaki.. tangan.. telinga.. mata.. kita merdeka..?
Benarkah merdeka itu hanya satu sambutan..?
Benarkah merdeka itu satu kebebasan..?
Iyakah..?
Benarkah..?
Sedangkan hidup kita dalam kongkongan..
Sedangkan akhlak kita dalam penjajahan..
Sedangkan minda, jiwa kita masih digembalakan..
Sedangkan ilmu kita seringkali dilacurkan..?!
Merdekakah itu?
Ahh.. ‘merdeka’.. hanya ‘merdeka’..!
Sedikitpun tiada penghayatan..!

Karya spontan ini dinukilkan di dalam Mujamma’ Quraiysh, Universiti Al Al-Bayt Jordan, semasa menghadiri Program Latihan Pembangunan Keusahawanan Untuk Siswazah Timur Tengah . Beberapa rangkap karya ini juga di ‘sajak’ kan semasa menjadi Hos/Juru Acara pada Sambutan Malam Kemerdekaan Malaysia kali ke 50 di Syria. 3 hari lagi nak balik mesia…! Jangan marah ha.. He..he.. he..
Salam syifa’..

Wednesday, August 22, 2007

Sampai Bila...?

Assalamualaikum...

Sampai bila..? Itu yang bermain di fikiran arjuna bila membaca keratan berita berkenaan kempen program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2007 bermula 1 hingga 30 September ini (utusan,28/08/2007). Sejak hampir 50 tahun dahulu UMNO mendabik dada ingin mendaulatkan BANGSA dan memartabatkan BAHASA tetapi hingga sekarang, apakah hasilnya?.. Teruk..!

Bermula dari ahli parlimen yang sebahagian besarnya adalah Melayu sering 'tersyasyul' ketika berbahas sesuatu isu sehinggalah pelajar-pelajar sekolah menengah dan mahasiswa/si universiti tempatan yang sebahagian besarnya bercakap serta berbual secara 'nasi kerabu', 'rojak' dan pelbagai istilah lain yang jelas merosakkan BAHASA yang UMNO ingin martabatkan.

Sedarlah wahai UMNO.., sebenarnya sistem pendidikan kita perlu diubah jika betul-betul UMNO ingin mendaulatkan BANGSA dan BAHASA. Ini kerana sudah jelas terbukti sistem yang sedia ada tidak dapat membentuk minda rakyat khususnya pelajar-pelajar dan mahasiswa/wi untuk cintakan BANGSA dan BAHASA.. malah lebih teruk bukan sahaja sudah lupakan BANGSA dan BAHASA tapi mengabaikan AGAMA..! Tanyalah, berapa orang dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah/menengah dan mahasiswa/wi universiti tempatan yang boleh membaca Al-Quran dengan baik dan lancar..? Yang istiqamah mengamalkan perintah yang wajib seperti solat dan sebagainya..? Yang akhlaknya betul-betul terbaik dan boleh dibanggakan?..Jawapannya amat mengecewakan..! Buktinya..? Mungkin anda masih ingat kajian yang dibuat oleh sebuah universiti tempatan pada tahun 2003 yang menyatakan fakta sebanyak 30.5 peratus pelajar universiti di negara ini yang ditanya pendapat mereka sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang berbuat demikian (Utusan,15/08/2007), begitu juga dengan kes seorang pelajar perempuan dibelasah dan dirakamkan aksi bogel di Felda Keratong oleh 9 rakannya yang lain baru-baru ini (H.Metro,4/08/2007) dan banyak lagi kes dan kajian lain yang membuktikan sistem pendidikan yang sedia ada tidak berkualiti dan tidak berupaya melahirkan pelajar dan mahasiswa/wi yang sayangkan BANGSA dan BAHASA dengan mengaplikasikan akhlak yang terbaik seperti yang UMNO laung-laungkan. Buat malu sahaja..!

Beribu-ribu kempen cintakan bahasa boleh dianjurkan.. berjuta-juta ringgit boleh dilaburkan.. namun apakah gunanya, andai perkara asas tidak diperbetulkan..! Islam telah meletakkan satu sistem pendidikan yang syumul dalam melahirkan generasi yang mempunyai integriti pada peribadi yang boleh dibanggakan. Islam meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai asas dalam sistem pendidikan bukan mengagungkan sistem ciptaan manusia yang jelas-jelas bertentangan dengan hakikat ilmu yang dianugerahkan Allah kepada insan. Hentikanlah perbuatan dan kenyataan retorik serta hipokrit wahai UMNO.. rakyat bukan lagi bodoh..! Jangan sampai keris yang dihunus menikam diri sendiri..! Pilihanraya akan datang.. Pastikan milik ISLAM..! Hidup Islam.. Allahuakbar!

Monday, August 20, 2007

Kasih Kekasih

Assalamualaikum..
Menyinggah dikala tenggelam dalam kesibukan yang amat sangat..! Saja masukkan lagu ini.. untuk merehatkan minda.. menenangkan jiwa.. memanggil kenangan yang hampir pergi dibawa arus masa.. hiburan nurani dalam menggapai syifa' Nya.. segala-galanya pada Nya.. Ya,.. hanya pada Nya..!
Andai DIA hadaf tersemat..
Pastikan DIA cinta terhebat..!
salam syifa'..

Wednesday, August 8, 2007

Wahai anak pewaris Gayung.. Bangkitlah..!

Assalamualaikum..

Dato' Seri Anwar Ibrahim ditabalkan sebagai Ketua Imam Khalifah Besar Persatuan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia sempena Seminar Memartabatkan Perpaduan Gayung yang diadakan di hadapan Yayasan An Nahdhoh, Kampung Petani, Kubang Semang, Bukit Mertajam. Sejurus selepas itu heboh berkenaan dengan ‘gertakan’ pimpinan UMNO kepada Persatuan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia kerana membuat pertabalan tersebut. Ya, la.. Macamana tak gertak, ‘orang’ lain yang bersusah payah menjulang keris (kononnya nak mendaulatkan melayu), ‘orang’ lain pula yang mendapat pengiktirafan. Kesian la kat ‘orang’ tu. Masih terbayang di ruang minda arjuna kejadian dalam satu Perhimpunan Agung UMNO, bersemangatnya ‘orang’ itu menjulang keris (nasib baik tak bersilat) dengan diserikan dengan sorakan ‘ampu’ daripada penyokong-penyokong UMNO ketika itu dan alih-alih sekarang ini, musuh dan orang yang pernah ditampar, disepak, diterajang dan dimalukan oleh UMNO, Dato Seri Anwar Ibrahim pula yang mendapat pengiktirafan sebagai Ketua Imam Khalifah Besar Persatuan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia. Persatuan silat warisan bangsa Melayu. Siapa yang tak marah?.


Sedangkan pengiktirafan daripada Persatuan Seni Silat Pusaka Gayung ini adalah untuk menunaikan amanah pengasas Seni Silat Gayung Malaysia, Dato' Mior Abdul Rahman Daeng Kuning sahaja yang seolah-olah ‘terbuka’ dan ‘tahu’ siapa selayaknya menerima pengiktirafan tersebut, bukannya ada kaitan dengan politik pun namun memang sikap golongan ‘monyet-monyet yang sedang kelaparan’ ini, kalau boleh semua persatuan NGO, sukan dan lain-lain mereka mahu jadikan ‘pisang’ untuk menarik sokongan lebih-lebih lagi dekat pilihanraya walaupun selama ini mereka sudah puas menjadikan budak-budak tadika (KEMAS), sekolah-sekolah, universiti-universiti dan pelbagai institusi kerajaan lagi sebagai tempat meraih sokongan murahan. Majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG sekolah-sekolah dijadikan program ceramah mereka, mahasiswa-mahasiswi universiti dikerah dan dipaksa untuk menghadiri program mereka dan banyak lagi bukti ke ‘tolol’ an mereka dalam menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh rakyat. Cuba anda bayangkan apa akan jadi andai diberi pengiktirafan ini kepada mereka?.. Tentu keris takkan akan bertemu sarungnya..! Dijulang.. dicium dan diarak merata-rata walaupun ‘orang’ itu tidak tahu bersilat tetapi hanya tahu menghabiskan duit rakyat!.. Moga Allah campakkan hidayah kepada mereka dan menganugerahkan kita istiqamah dalam kebenaran perjuangan ini..!

Hakikatnya, memang Seni Silat Gayung adalah pembela Melayu. Sedari turun temurun. Buktinya adalah beberapa bait keramat daripada khazanah puisi nasihat dan AMANAT Allahyarham Dato' Meor Abd. Rahman, Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia ;

Acap-acap di tepi laut,
Buaya ganas melintang kuala;
Sebelum ajal berpantang maut,
Takkan Melayu hilang di dunia.

Anak Cina bermain gasing,
Mari bermain di kota raja;
Bangsa Melayu tidak terpusing,
Kerana setia kepada negara.

Tanah Melaka tanah pusaka,
Tempat lahir panglima negara;
Wahai pemudi juga pemuda,
Bangunlah kamu mempertahankan negara.

Tanah Melaka tanah purba,
Tempat berbagai aneka sejarah;
Kalau kata sudah dikota,
Pantang Melayu menyerah kalah.


Ayuh, wahai pendekar-pendekar Gayung.. realitikan AMANAT Mahaguru. Bangsa Melayu perlu dibela..! Agama Islam perlu dipelihara! Kerana kedua-duanya adalah penting bagi kita. Terjaganya Islam akan menjadikan Melayu dibela..! Usah gentar pada musuh.. hancurkan mereka yang ingin merosakkan Agama, lawan mereka yang ingin memijak lumat Bangsa.. Ini warisan kita..! Lawan tetap lawan..!

Saturday, August 4, 2007

Kerajaan Kelantan : Membangun Bersama Islam..

Assalamualaikum..
Tontonilah video ini.. Bukti kepimpinan ulama' adalah yang terbaik.. walaupun ditekan.. dihina.. dicaci.. namun bila asasnya Islam.. segala-galanya sempurna..! Allah adalah matlamat..
Islam adalah penyelamat..
Takbirr!!

Monday, July 30, 2007

Monyet Yang Kelaparan..

Assalamualaikum…

"Tidak ada undang-undang di alam siber kecuali undang-undang rimba. Jadi tindakan harus diambil supaya 'monyet-monyet' lain takut dan mengambil iktibar daripadanya," - KJ ( Orang besar parti sekular di Malaysia ) semasa mengulas tentang penangkapan seorang blogger baru-baru ini.

Bagus sungguh bahasa ‘manusia jadian’ yang dikatakan bakal pemimpin negara ini. Sedap dan seronok didengar. Namun, persoalannya siapakah monyet yang sebenarnya..? ‘Manusia jadian’ ini yang bertukar rupa menjadi monyet atau siapa?..Mungkin entri arjuna kali ini agak kasar namun bukankah takabbur kepada orang yang takabbur itu sedekah?..Beroleh pahala..? Inilah realiti dunia sekarang, mereka yang ingin mengatakan kebenaran dianggap sebagai haiwan dan mereka yang menyokong kemungkaran dan kejahatan dianggap sebagai ‘manusia’ yang budiman. Hakikatnya, itulah ‘manusia jadian’..! Kadang-kadang ‘manusia jadian’ itu bertukar rupa.. bukan setakat haiwan.. tetapi, syaitan..!

Ya, syaitan.. Mengapa tidak..? Kalau diperhatikan keadaan Malaysia sekarang yang bergolak dengan isu-isu kebobrokan akhlak dan moral para remaja kerana dijamu dengan hiburan yang melampau ditambah dengan kebanjiran website-website lucah dan lain-lain, bukankah sepatutnya inilah yang dijadikan isu utama untuk diperdebatkan?.. Bukankah sepatutnya isu ini lebih didahulukan bagi kerajaan Islam Had hari kerana ia melibatkan generasi pewaris bangsa dan negara.. serta agama?.. Di mana suara menteri-menteri untuk menyelesaikan masalah ini?.. Pernah ke anda mendengar atau membaca kenyataan KJ and the geng yang menjenamakan ‘monyet-monyet’ atau haiwan-haiwan lain kepada pemilik-pemilik blog dan website lucah yang merosakkan minda rakyat..? Di mana suara ‘manusia-manusia jadian ini’..? Tidak lupa, di mana suara ulama’-ulama’ kerajaan yang wajib menegur dan mengajar berkenaan perkara awlawiyat yang mesti didahulukan pimpinan kerajaan dalam memerintah?.. Di mana?..

Bagi arjuna, isu ini adalah satu dalil yang membuktikan ‘manusia jadian’ itu dalam ketakutan dan kerisauan dengan kejayaan bloggers dalam mendedahkan kejahatan dan ke ‘tolol’an para pemimpin negara yang gilakan kuasa. Ramai yang mengatakan bloggers sekarang ini semakin tertekan kerana ditekan oleh kerajaan, namun bagi arjuna sebaliknya kerana memandangkan beberapa kenyataan daripada pimpinan negara yang lebih menjurus kepada emosional bukan rasional dan menggambarkan seolah-olah dakwah bloggers ini satu ancaman yang amat bahaya bagi mereka. Yalah, orang yang dah buat salah.. bila didedahkan kesalahan tersebut tentu bukan setakat macam cacing kepanasan tetapi macam monyet yang kelaparan.. berkeliaran ke sana ke mari mencari pisang!. Justeru, siapa yang dikatakan ‘monyet’ sebenarnya?..

Apapun, TAHNIAH diucapkan kepada bloggers..! Teruskan perjuangan kalian!. Asahlah mata pena kalian supaya lebih tajam. Usah berpaling ke belakang!. Ingatlah, keperitan yang kalian alami sekarang ini teramat ringan jika ingin dibandingkan dengan keperitan yang dialami oleh Baginda Rasulullah S.A.W dalam menegakkan kebenaran dahulu.

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang. – Surah As Soff , ayat 14.


Salam syifa’..

Sunday, July 22, 2007

UMNO VS MCA = BARISAN NASIONAL..!

Assalamualaikum..

Barisan Nasional.. Arjuna tidak dapat menahan gelak apabila menyaksikan debat ‘olok-olok’ terkini yang berlaku antara MCA dan UMNO. MCA diwakili oleh sifu Ong Ka Chuan, katanya sebagai Setiausaha Agung MCA dan UMNO diwakili oleh panglima Najib dengan dibantu oleh pendekar Hishamuddin - Orang-orang kuat UMNO yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Apa yang diperdebatkan?.. Erm.. Malaysia adalah sebuah Negara Islam atau Sekular..?! Mengapa arjuna katakan ia satu debat ‘olok-olok’?.. Kan mereka satu Barisan. Satu ketua. Satu aliran pemikiran. Walaupun berlainan agama. Bila ketua mereka gertak, semua diam membisu ibarat sang tikus terdengar ngauman sang singa. Itulah Barisan Nasional. Semua sanggup dilakukan demi takhta..!

Memang.. dekat-dekat pilihanraya ini macam-macam isu yang ditimbulkan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Sifu Ong Ka Chuan menyerang kenyataan panglima Najib bahawa Malaysia bukan sebuah Negara Islam kerana bukti yang sudah jelas termaktub di dalam pelbagai dokumen sejarah termasuk Laporan Reid, Suruhanjaya Cobbold dan keputusan Mahkamah Agung yang dibuat pada 1988 malah status sekular Malaysia juga terbukti berdasarkan persetujuan dan kontrak sosial oleh pemimpin terdahulu seperti termaktub dalam pelbagai dokumen yang digunakan dalam proses merangka Perlembagaan Persekutuan. Sudah jelas bahawa serangan ini amat merbahaya. Ia merupakan satu ancaman besar kepada negara. Cina dan India semakin besar kepala sedang Melayu masih diulit lena, dibuai mimpi dan tidak menyedari bahawa agama Islam dihina..!

Apa pun, serangan yang dilakukan oleh sifu Ong Ka Chuan itu dibalas oleh pendekar Hishamuddin dengan jurus ‘amaran’ agar jangan ditimbulkan lagi isu ini kerana sudah jelas Malaysia adalah sebuah negara Islam sebagaimana yang telah diumumkan di parlimen. Kononnya ingin mendabik dada kepada rakyat bahawa UMNO adalah pembela agama. Nak termuntah! Wahai panglima Najib dan pendekar Hishamuddin.. usah berlakon lagi. UMNO yang sebenarnya membuatkan rakyat lupa pada agama dan sekarang UMNO ingin mendabik dada UMNO yang membela agama..? Mempertahankan Malaysia sebuah negara Islam..? Sedangkan UMNO lah yang sanggup menghancurkan masa depan agama semata-mata ingin mempertahankan takhta..! Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pernah berkata ;


“Amerika Syarikat sendiri memperakui kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan tidak pernah mempertikaikan hak amalan kepercayaan untuk penganut bukan Islam di negara ini..” B.Harian.-21/07/07




Ya.. jika difikirkan dengan teliti, andai Amerika Syarikat mengakui Malaysia sebuah negara Islam, mengapa MCA tidak boleh mengakuinya?..Bukankah kedua-duanya anti dengan negara Islam yang sebenar. Cuba kita singkap kembali bagaimana rakusnya Amerika Syarikat dan Yahudi menceroboh negara Afghanistan ketika diperintah oleh Taliban suatu ketika dahulu yang dikatakan mengamalkan perlaksanan Islam secara total. Kalau Malaysia betul-betul negara Islam.. dah lama kita menjadi ‘makanan Amerika’.. Bukan begitu?. Inilah yang arjuna katakan sebagai debat ‘olok-olok’! UMNO ‘bermain mata’ dengan MCA..!

Sememangnya Amerika Syarikat boleh mengiktiraf Malaysia sebuah negara Islam kerana ia hanya nama, hanya gelaran.. Dari segi perlaksanaanya..? SIFAR..! Kalau UMNO katakan mereka membina masjid..? Di UK pun ada masjid.. Kalau UMNO katakan mereka banyak tolong orang susah?.. Bill Gates pun berbilion-bilion USD bantu orang susah. Apa yang menimbulkan persoalan di benak, bagaimana UMNO mendidik rakyat untuk menghayati Islam andai benar-benar mereka ingin membela agama?.. Adakah dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak menghalang rakyatnya murtad?.. Dengan menjamu remaja-remaja dengan hiburan sehingga mendorong kepada penzinaan?.. Dengan menyokong Penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC)?..Dengan pencabulan demokrasi yang berlaku dalam pilihanraya?.. Inikah yang dikatakan ingin membela agama?..! Bukankah ini yang Amerika Syarikat mahu sebenarnya..?

Apa gunanya panglima Najib, pendekar Hishamuddin dan konco-konconya menghentam MCA.. andai pada hakikatnya mereka lah yang menjadi dalang untuk mencabul kesucian Islam..? Malu la sikit. Lakonan yang tidak real.!. Moga Allah taala meyinari mereka dengan cahaya hidayah dan meletakkan kita dalam golongan yang istiqamah dalam menegakkan agama! Amiin..

50. Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNYA. Kamu hanyalah orang-orang Yang mengada-adakan perkara-perkara Yang dusta (terhadap Allah). –Surah Hud ayat 50.


Banyak juga arjuna meletakkan ‘tanda tanya’ dalam tulisan ini. Ya.. untuk anda menjawabnya.. -salam syifa’..

Tuesday, July 10, 2007

Terang Lagi Tersuluh..

Assalamualaikum..

'Malaysia does not forbid Muslims from converting, PM says'

Malaysia tidak menghalang seseorang keluar daripada Islam..-PM- -Seminar Islam Antarabangsa,Putrajaya.

Orang-orang yang telah murtad bertepuk tangan.. Orang-orang yang akan murtad lega kerana sudah tiada halangan.. Orang-orang yang ingin mendekati Islam dihujani kekeliruan... Apa yang perlu difikirkan lagi?..Hanya kerana dia cucu ulama'? Hanya kerana dia 'kononnya' mahu mendaulatkan Islam di mata dunia..?

Teman.. sudah terang lagi tersuluh.. Kalamnya adalah bukti yang dia tidak tahu apa yang sebenarnya ingin dia perjuangkan.. Islam atau Kuasa..? Menggunakan kuasa untuk mendaulatkan Islam atau menjatuhkan Islam dengan menggunakan kuasa..?..

Dia telah menghina kedaulatan agama kita... Dia telah membuatkan agama kita sudah tidak berharga.. wajarkah dia terus dipilih untuk menjadi ketua..? Ketua untuk memimpin negara?.. Pejamkan mata.. fikirkan.. Buatlah sesuatu untuk menyedarkan masyarakat sekeliling kita..! Itu tugas kita.. !

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dari kalangan Manusia.. Serulah kepada kebaikan dan cegahlah segala kemungkaran.."

-salam syifa'..-

Thursday, July 5, 2007

Assalamualaikum...

Teringin berkongsi sms daripada seorang teman..


Assalamualaikum...

Usah toleh ke belakang..
Luruskan wajah ke hadapan..
Utuhkan keyakinan..
Pahatkan keimanan..
Tebarkan kesabaran mengharungi segala duga merempuh kedewasaan..
Moga ribut pengalaman hidup bisa menghadiahi warna pelangi yang membahagiakan..
Walau hidup memungkinkan segalanya..
Teruskan langkah dengan berani!
Kerana proses hidup memerlukan tahap kekuatan tersendiri..
" Ia bukan gunung yang kita takluki
tetapi diri kita sendiri " -Sir Edmund Hillary
Selamat mengharungi ujian dengan usaha serta doa tanpa henti..

Atasi Jangan Tangisi..

Assalamualaikum...

~ satu rumusan ringkas daripada penyelesaian masalah-masalah yang melanda diri sendiri ~

Tiada siapa pun didunia ini tidak mempunyai masalah. Orang bujang dengan masalah orang bujang, orang yang berkahwin dengan masalah keluarga, orang politik dengan masalah politik, pelajar dengan masalah pelajaran dan sebagainya. Seorang teman arjuna pernah menyatakan bahawa orang yang tidak mempunyai masalah itu adalah orang yang bermasalah! Ya ke?.. Betul kot.. Tetapi apa yang penting dan perlu difikirkan ialah bagaimanakah kita menghadapi sesuatu masalah.. Bagi arjuna secara peribadi, masalah adalah hadiah!..Mengapa pula?.. Ini kerana bila kita berhadapan dengan masalah, minda kita secara automatik akan berputar 360 darjah untuk mencari penyelesaiannya. Minda yang bekerja untuk mencari penyelesaian masalah itu akan membantu kita membentuk folder-folder sebagai jalan untuk keluar. Folder-folder itulah yang membantu mematangkan fikiran kita. Kematangan itulah yang akan kita jadikan pengalaman bila masalah tersebut berulang. Bukankah kematangan dan pengalaman itu merupakan hadiah yang bernilai..? Faham ke tak nie.. kalau tak faham.. maknanya anda sedang mengalami masalah!.

Allah memberi kita masalah yang mampu kita tanggung tetapi dengan syarat kita mestilah kembali kepadaNYA. Mungkin ada antara kita yang seringkali merintih dan mengeluh bila dilanda sesuatu masalah. Betul, bagi sesetengah orang keluhan dan rintihan itu dapat menenangkan minda dan jiwa yang serabut menanggung derita tekanan dalam menghadapi masalah. Tetapi, persoalannya kepada siapa kita mengeluh dan merintih..? Adakah rintihan dan keluhan itu kepada DIA yang merupakan penyelesai masalah atau kepada mereka yang dianggap boleh menyelesaikan masalah tetapi sebenarnya adalah penambah masalah..! Masalah adalah untuk diatasi bukan untuk ditangisi. Kita tidak berupaya menyelesaikan masalah jika tidak kembali kepada DIA yang memberi masalah. Bukankah disisiNYA segala penyelesaian?.. Faham ke tak nie.. moga anda faham!..



Satu perkara yang kita mesti set dalam minda bila menghadapi masalah ialah kita seorang yang HEBAT!..Dan kita akan menjadi LEBIH HEBAT jika berupaya menyelesaikan masalah tersebut. Kita wajib menguasai masalah, jangan biarkan diri kita dikuasai oleh masalah kerana ia akan meletakkan minda kita ditahap yang paling rendah untuk berfikir. Sedarlah, Allah akan menguji hambaNYA yang HEBAT dengan ujian yang HEBAT..! Jika anda seorang yang HEBAT, anda akan tersenyum bila menghadapi sebarang masalah.. tapi, senyum je.. bukan gelak tau!..

Sekali lagi arjuna tegaskan bahawa masalah itu untuk diatasi bukan ditangisi. Ingat, Allah jadikan kita sebagai seorang yang HEBAT tetapi kita yang sering menganggap diri sendiri lemah dan tidak berguna. Kita adalah apa yang kita fikirkan..! Walaupun semua orang didunia ini mengatakan kita lemah tidak bermakna kita betul-betul lemah! Hidup biar ada prinsip! Prinsip mesti berpandukan Allah! Mereka yang mengatakan kita lemah tidak semestinya mereka itu kuat. Tidak ada manusia yang sempurna, mungkin disuatu sudut kita sempurna dan disuatu sudut lain kita lemah. Itu fitrah insan. Ok.. moga Allah menyelesaikan segala masalah kita. Bukankah disisinya segala penyelesaian?.. -salam syifa'..

Sunday, June 24, 2007

Ahh.. Pejuang Kebenaran...!

Assalamualaikum..
Dalam kesibukan.. taman dakwah ini mesti dimeriahkan.. 2,3 hari ni arjuna sebenarnya geram pada diri sendiri.. nak marah pun ada.. macam-macam masalah melanda.. mungkin semuanya adalah kerana dari kelemahan diri sendiri.. mereka yang diharapkan menjadi inspirasi hati kadang-kadang kurang memahami.. Iya ke?.. Mungkin.. Apepun..perjuangan ini mesti diteruskan.. kat bawah ini pesanan untuk diri sendiri sebenarnya.. dan juga untuk renungan bersama.. semoga anda semua sentiasa dalam rahmat Allah..
........................................

Ahh.. pejuang kebenaran..
Katanya..
Khutbah mu membangkitkan kekuatan..
Pena mu adalah tinta perjuangan..
Kononnya..
Mahu meroboh takhta kebathilan..
Kononnya..
Mahu menyucikan kotoran kefasadan..
Kononnya..
Mahu menjulang Islam dipuncak ketinggian..
Kononnya... Kononnya..
Ahh.. pejuang kebenaran..
Hisablah diri mu..
Posisi mana diamnya keikhlasan..?

Ahh.. pejuang kebenaran..
Mantapkan ilmu pengetahuan..
Tiupkan api perjuangan..
Pastikan nyalaannya bisa membakar lawan..
Lahirkan jiwa yang sanggup mati untuk Tuhan..
Didiklah jiwa yang sanggup disiksa untuk mendaulatkan Al-Quran..
Al-Banna ke dua perlu dilahirkan..
Jiwa besi Syed Qutb perlu diwariskan..
Rantai juang ini wajib disambungkan..

Ahh.. pejuang kebenaran..
Usah risaukan kemiskinan..
Usah risaukan kegagalan..
Usah risaukan kesusahan..
Jadikan syurga motivasi iman..
Jadikan taqwa benteng kekuatan..
Pasakkan segala-galanya untuk,demi dan kerana Tuhan..
Teruskan larian..!


Luahan jiwa : arjuna..

Monday, June 11, 2007

Tsunami Di KEY ELL..

Assalamualaikum...
Banjir terburuk sejak 2003 di Ibu Kota Malaysia.. sekali fikir.. bagus juga.. mungkin ketika ini Mat Rempit cuti untuk me'rempit'.. Kelab-kelab malam mungkin akan menghentikan sementara operasinya .. Konsert-konsert hiburan mungkin akan ditangguhkan.. Dan...
Masjid-masjid akan buat solat hajat.. Doa selamat.. Masjid dipenuhi dengan jemaah.. Ya..Memang ketika ini sebilangan mereka akan insaf.. Dan..
Bila semuanya pulih seperti sedia kala.. Mat Rempit akan kembali menggila.. Kelab-kelab malam kembali memutarkan cahaya neraka.. Konsert-konsert hiburan akan mewarnai bandar ibu kota..
Ketika itu juga..
Hanya beberapa kerat golongan tua separuh usia yang ada di rumahNYA.. membentangkan sejadah.. dan terus mengingati Allah.. Allah.. Allah..
Ya.. Drama dunia ini akan berterusan sehingga PENGARAH menetapkan kesudahannya di Hari Pembalasan..
Sama-sama kita mendoakan agar rakyat Malaysia khususnya dan seluruh ummat Muhammad S.A.W beroleh hidayahNYA..
" Rabbana la tuzigh QULUBANA ba' da iz hadaitana wahablana minladun karahmah.. InnaKA antal wahhab.."
" Rabbana innaKA jamei'unasi liyaumiLLa raiba fiih.. InnKA la
tukhliful mie'ad.."
* Hubungi keluarga.. rakan-rakan.. dan sesiapa kenalan kita yang terlibat dalam bencana ini, tiupkanlah rasa keinsafan dalam jiwa mereka... Ini juga satu dakwah.. InsyAllah.. -salam syifa'...

Kerana Agama..

Assalamualaikum..
Sekadar berkongsi gambar nie.. tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.. Moralnya ialah... Apa pun kerja buat kita.. Letakkan Islam sebagai yang teratas..!


Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu.. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu.. hilanglah cintaku padamu...- Imam Nawawi..

Wednesday, June 6, 2007

Selamat Pengantin Baru..!

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. bersyukur kepada Allah.. akhirnya Perdana Menteri kesayangan kita bakal bergelar pengantin baru sekali lagi. Moga selepas ini beliau bertambah kuat untuk membangunkan negara. Eh, silap.. membangunkan agama dalam negara!.. Bukan agama Islam Had Hari.. Tapi agama Islam yang hakiki.. yang tiada hadnya.. dulu, kini dan selamanya..!

Apa yang kita harapkan.. kalau sebelum ini beliau banyak mendiamkan diri bila menghadapi pelbagai persoalan yang ditimbulkan, terutamanya oleh mantan Perdana Menteri, mungkin selepas ini tidak lagi.. Kalau sebelum ini kerajaan tidak menemui formula yang berkesan untuk menyelesaikan masalah kebobrokan moral di kalangan remaja, mungkin selepas ini beliau akan cetuskan formulanya.. Kalau sebelum ini hiburan dan artis di'raja'kan dalam negara kita, sehingga sudah masuk unsur-unsur neraka (lucah) dalam filem-filem dan rancangan televisyen, mungkin selepas ini beliau akan mengubahnya.. ya.. beliau WAJIB mengubahnya..! Dan jika sebelum ini di dalam ajaran Islam Had Hari rambut wanita bukanlah merupakan satu aurat, mungkin selepas ini beliau akan membetulkan kesilapan fahaman tersebut melalui contoh yang terbaik terutamanya dalam keluarga beliau.. lebih-lebih lagi beliau sebagai pemimpin negara.. InsyaAllah, semuanya akan berubah ke arah yang lebih baik selepas ini.. kerana beliau akan bertambah kuat dengan adanya insan yang bernama isteri di sisi.. sama-sama kita kena doakan.. kerana Allah akan memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki..! Kepada Perdana Menteriku.. , Selamat Pengantin Baru.. ! salam syifa'..
* Jika anda ingin mendengar warta berita berkenaan perkahwinan ini.. klik je kat sini : http://www.youtube.com/watch?v=b7Kxx3LcVCE

Monday, June 4, 2007

Kenangan Muktamar Tahunan PAS Pusat ke 53..













Assalamualaikum..
Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 53 sudah melabuhkan tirai.. dan ini adalah antara gambar-gambar menarik yang ingin arjuna kongsi dengan anda semua di sekitar Muktamar berlangsung.. Segala persoalan telah terungkai.. Hanya yang tinggal bekerja.. bekerja dan bekerja.. Kerja untuk Islam..! Usah ditimbulkan lagi persoalan profesional atau ulama' kerana kedua-duanya saling memerlukan.. bukankah profesional juga memerlukan Islam?.. Dan ulama' juga memerlukan bantuan?.. Apa yang pasti, sejak akhir-akhir ini ulama' sering lupa yang mereka masih lagi belum profesional dalam bidang mereka. Ulama' juga perlu profesional..dalam bidang agama..! Sama-sama mem'profesional'kan diri kita dalam apa jua bidang yang kita ceburi.. InsyaAllah.

Friday, June 1, 2007

Perm@isuri Y@ng Di Redh@i..

Assalamualaikum..

Permaisuri Hatiku..

Di antara kekasih pilihan di hati
Punyai budi penghias diri
Wajahnya lembut biasan pekerti yang tinggi
Indahnya perhiasan duniawi

Di antara diriku jua dirimu
Hanya mengharap cinta yang satu
Ku binakan mahligai impian mu
Oh sayang ikhlaskanlah hati mu
Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus suci dan murni
Hanya diri yang halal Engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Ilahi

Benarlah! cinta buta melalaikan
Tanpa memikirkan batas syariatnya
Semuanya itu hanya ujian di dunia
Ia adalah mahar untuk kita ke syurga

Kau permaisuri di hatiku
Di dunia ini kau penghibur
Menjunjung kasih amanah Ilahi
Ku cuba akan terus menyayangi
Terima kasih ucapan ku beri
Kau hadiahkan ku cahaya hati
Ku pimpin tanganmu oh kasih
Meniti hari
Semoga kita dapat bersama
Sampai kepadanya...Di syurga sana
Tuhan kekalkanlah
Permaisuri hatiku
Untuk menemani
Dalam menggapai cintaMu..

Ahh.. Diri ini sekali lagi dipukul badai rasa bila mendengar nasyid ini. Lirik yang begitu bermakna. Membawa ingatan kembali wangi dengan haruman'nya'. Andai taqwa dan redha dicari, mengapa biarkan rasa memenjarakan diri?.. Ya Allah..

Thursday, May 31, 2007

Kilauan Ulama'..

Assalamualaikum..
..Dalam kesibukan mencari damai, ombak perjuangan Islam tanah air terus bergelora.. deras.. dan bakal menenggelamkan arus kebatilan yang semakin menggila. Kali ini arjuna membawa anda mengintai keputusan Pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2007/2009 bagi Muktamar ke-48 Pemuda PAS Pusat di Putik, Kota Bharu. Satu keputusan yang mengejutkan bagi diri arjuna. Mengapa?.. Kerana, kalau anda perhatikan, Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat pada kali ini di dominasi oleh ulama'-ulama' muda.
..Satu ketika dulu, para graduan dari Universiti Azhar dan timur tengah pernah di kecam kerana ramai yang lena untuk mewarisi perjuangan.. tika itu, ramai profesional menguasai bahtera juang ini. Ada yang mengeluh dan mencari di mana kilauan ulama'
muda untuk dijadikan benteng kekuatan. Bagi arjuna, mungkin sesi ini akan bermula anjakan baru!.. Larian ulama'-ulama' dalam Dewan Pemuda PAS sesi ini bakal menyalakan obor semangat kepada mereka yang terlena. InsyaAllah, gabungan profesional dan ulama' akan membuahkan kekuatan yang diimpikan. Kekuatan untuk menghancurkan kebatilan. Tahniah kepada para pimpinan baru, dari taklifan Pengerusi Tetap hinggalah Pemeriksa Kira-Kira. Perjuangan ini baru bermula!..



KEPUTUSAN RASMI PEMILIHAN MUKTAMAR DPP KE 48 SESI 07/09

Pengerusi Tetap : Ustaz Misbahul Munir Masduki (MTB)
Timbalan Pengerusi Tetap : Sdr Aris bin Awang

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat: YB Salahudin Ayub (MTB)
Timbalan Ketua : Ustaz Nasarudin Tantawi (MTB)
Naib Ketua : Ustaz Azman Safawi Abdul Rani

Ahli Jawatankuasa
01 Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz ( 212 )
02 Ustaz Riduan Mohamaad Nor (210) -bakal.. erm..
03 YB Mohd Zaki Ibraim ( 208)
04 Ustaz Mohd Nazri Chik (180)
05 Sdr Ahmad Sabki Yusof (163)
06 Ustaz Musoddak Ahmad (153)
07 Ustaz Ahmad Bahaiki Atiqullah ( 140 )
08 Ustaz Kamal Ashari ( 135 )
09 Sdr Arifin Deraman (134)
10 Ustaz Norazli Musa ( 127 )
11 Ustaz Sallehen Mukhyi ( 122)
12 Sdr Zolkharnain Abidin Al-Hafiz ( 97 )

Pemerisa Kira-kira
1. Muzamil Hafiz
2. Jamel Saring

Saturday, May 26, 2007

Catatan Haramain (3) : Makkah Mukarramah

Alhamdulillah, semasa di Makkah juga, arjuna berpeluang menziarahi Jeddah melalui seorang kenalan yang tinggal di sana. Beliau merupakan rakyat Syam yang bermukim di Jeddah. Namanya Ahmad Al Misri. Pertama kali berjumpa, arjuna ingatkan beliau merupakan seorang pekerja biasa memandangkan cara pemakaian beliau yang amat simple tetapi rupa-rupanya beliau mempunyai kilang cenderamata berbentuk makanan serta kopi dan lebih mengejutkan kilang beliau mempunyai cawangan di seluruh Arab Saudi!. Arjuna dan seorang teman dibawa menziarahi rumah beliau di sana. Rumah yang amat mewah dan tidak keterlaluan arjuna katakan sepanjang kami bersama beliau, kami dilayan persis seorang VIP. Bayangkan, kami diberi telefon bimbit untuk menelefon sesiapa sahaja yang kami mahu. Arjuna mengambil kesempatan menelefon famili di Malaysia. Kami ‘dipaksa’ untuk bermalam di rumahnya kerana beliau sudah mengatur beberapa jadual untuk kami. Kami akur bila melihat kesungguhan beliau kerana memang adat orang Syam -amat memuliakan tetamu..!

Pada malamnya, kami dibawa ke satu majlis zikir berbentuk nasyid bersama seorang sheikh yang bernama Ratib Al Hakimi. Beliau dari Syam, berumur lebih 80 tahun dan diperintahkan keluar daripada Syam kerana kelantangannya beliau menyatakan kebenaran. Aduhh..! Yang tak tahannya, arjuna juga ‘dipaksa’ menyumbangkan sebuah nasyid. Nasib baik ingat juga beberapa bait nasyid Arab daripada kumpulan Nadamurni dan Rabbani.. apa yang pasti.. sumbangan tersebut benar-benar sumbang…! :) Astaghfirullah.. Pada pagi esoknya, Ahmad Al Misri membawa kami mengikuti pengajian khusus beliau bersama seorang sheikh yang juga dari Syam dan diperintahkan keluar daripada Syam. Namanya Sheikh Aiman. Saat ini, hormat dan kagum ana kepada insan tawadhu' bernama Ahmad Misri makin bertambah kerana dalam keadaan serba mewah dan kesibukan yang amat, beliau masih lagi memperuntukkan masa untuk belajar.
"Ini jarang berlaku kepada kebanyakan ‘orang-orang kaya’ di Malaysia yang cepat lupa bila Allah kurniakan kekayaan, mereka merasakan kekayaan itu segala-galanya.. sedangkan itu semua hiasan dunia yang fana.. sementara!.."
Marilah sama-sama kita beristighfar!.. Secara ringkasnya, semasa di Jeddah kami juga berpeluang ‘bermain-main air’ di Laut Merah dan meronda sekitar bandar Jeddah yang sebelum ini tidak pernah singgah di kotak minda arjuna. Alhamdulillah. Kami dihantar ke Makkah semula pada keesokkan hari bersama hadiah oleh Ahmad Al Misri yang berupa makanan dan wang tunai… yang jumlahnya membolehkan arjuna membeli sedikit hadiah untuk famili serta menjadi bekalan balik arjuna ke Syam dan dapat belanja beberapa sahabat makan. Alhamdulillah.

Selain itu, arjuna juga berpeluang secara kebetulan berjumpa dengan seorang sheikh yang menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Sastera Arab Dunia. Namanya beliau, sheikh Dhiauddin As Sobuuni. Pertemuan secara tidak sengaja ini berlaku ketika arjuna dan seorang teman ingin menunaikan solat Maghrib. Arjuna memandang beliau sebelum mengangkat takbiratul ihram.

"Sungguh..! Ketenangan yang singgah dalam jiwa ketika pandangan pertama itu membuatkan arjuna mengambil keputusan untuk menegur beliau usai solat, walaupun arjuna tidak mengenali siapa beliau. Usai solat, beliau berpaling kepada arjuna dan teman serta berkata ;

“ Antuma dari Damsyiq?”.. Kami hairan!.. Bagaimana beliau tahu..?"

.. Ringkasnya, beliau memperkenalkan dirinya dan menawarkan diri untuk mengajar kami pada malam itu, asas Ilmu Nahu dan Balaghah. Bagai tidak percaya..! Arjuna dapat mengaji di Masjidil Haram.. Betapa luasnya ilmuMU ya Allah.. Tidak lupa kami mengambil kesempatan untuk meminta beliau mendoakan kami.. dan yang pasti, pertemuan unik ini akan terpatri di sanubari.. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

Setelah hampir 9 hari ini kami di Mekah, musafir ibadat ini sampai ke penghujung. Alhamdulillah. Kalau diikutkan, memang banyak lagi yang arjuna ingin kongsi kan bersama anda semua, tetapi memadailah setakat ini.
"Kesimpulannya, apa yang arjuna perhatikan, kedua – dua bumi keramat ini menjadi saksi sebagai tempat penyatuan umat Islam. Sunni, Syiah, mereka yang berfahaman wahabi dan lain-lain solat dibelakang imam yang sama dan tawaf mengelilingi Kaabah yang sama..!"
* [ Ayah Pin tidak termasuk dalam senarai.. :) ]. Ini yang kita boleh banggakan setakat ini dan kita mendoakan keadaan ini akan berkekalan selama-lamanya kerana kalau kita perhatikan sekarang ini perpecahan di kalangan umat Islam sendiri semakin menjadi-menjadi.
"Ikatan silaturrahim antara umat Islam semakin goyah akibat daripada berbalah mengenai perkara-perkara cabang dan me ‘raja’kan ego yang dibelai dalam hati. Sedangkan Yahudi dan sekutu-sekutunya bergelak tawa dan bertepuk tangan dengan ke ‘tidak cerdik’ kan kita. Ini menuntut kesedaran daripada kita selaku umat Muhammad."
Rasailah, renungilah dan fikirkanlah bagaimana susahnya Rasulullah S.A.W ingin menyatukan umat manusia dahulu, terpaksa berkorban segala-galanya. Bagaimana dengan kita yang menerima Islam dalam keadaan yang serba selesa? Apa pengorbanan kita?.. Ingat, siapa pun kita.. Dato’, Tun’, Menteri dan lain-lain tidak akan terlepas dari soalan-soalan Allah di akhirat kelak. Dunia ini adalah kebun untuk kita bercucuk tanam supaya boleh ambil hasilnya di akhirat. Semai dan bajailah tanaman kita betul-betul kerana kita akan kutip hasilnya nanti!..Ya.. kita.. anda dan arjuna. – salam syifa’..

Catatan Haramain (2) : Makkah Mukarramah

Makkah Mukarramah. Bumi berkat. Perjalanan menaiki bas yang memakan masa selama 4 jam lebih dari Madinah Munawwarah ini amat mendebarkan. Debaran menjadi tetamu Allah! Sudikah diterima menjadi tetamuNYA? Dengan dosa yang menggunung… Ahh..
“Husnu Dzon dengan Allah..”!
Pesanan seorang sheikh kepada arjuna bergentayangan dalam minda. Ingatan yang sentiasa menjadi ubat jiwa. Padang pasir dan cuaca panas yang menghiasi perjalanan amat memboringkan. Namun, padang pasir ini lah yang menjadi saksi laluan penghijrahan Rasulullah S.A.W bersama Saidina Abu Bakar dahulu, cuaca panas inilah yang membakar kulit Baginda dahulu.. Ingat kalam seorang sheikh
“ Andai doa sahaja mampu untuk memberi kemenangan kepada perjuangan Islam, nescaya Rasulullah S.A.W tidak perlu bersusah payah dalam perjuangan menegakkan Islam. Tapi, tidak! Perjuangan Islam menuntut kesakitan, kepayahan dan pelbagai pengorbanan lagi..!”.
Sama-sama kita beristighfar kepada Allah..!

Kami tiba di bumi Makkah Mukarramah pada waktu malam. Pihak rombongan bersepakat untuk menyelesaikan ibadat umrah pada malam itu juga. Jiwa arjuna kembali berdebar, kali bukan debaran kerisauan tetapi debaran tidak sabar! Dari jauh terpancar kilauan cahaya lampu dari Masjidil Haram yang bersinar megah. Di sanalah tersergamnya kiblat muslim yang dinamakan Kaabah. Kami berjalan kaki dari hotel ke Masjidil Haram. Lafaz talbiah dilaungkan beramai-ramai. Berjemaah. Nurani dipaluti rasa kuat. Tenang. Apabila sampai di Masjidil Haram, kami dibawa masuk melalui Pintu Malik Fahd. Salah satu pintu utama di masjid tersebut. Sheikh yang mengiringi kami meminta supaya kami berjalan dengan menundukkan kepala, berpegangan tangan sambil mengucapkan talbiah dan banyak mengingati Allah. Pelbagai rasa berombak dalam jiwa. Bergelora. Mengapa tidak..? Beberapa minit lagi arjuna buat pertama kalinya akan menatap Kaabah, kiblat umat Muhammad seluruh dunia..! Langkahan kami makin perlahan dan kami diminta untuk mengangkat wajah, Ahh.. macam tidak percaya.. tapi inilah hakikatnya.. terasa kerdil dan hinanya diri ini.. di hadapan arjuna sekarang ini adalah Kaabah..! Tiada lafaz kesyukuran yang mampu arjuna gambarkan. MasyaAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

Semasa tawaf, arjuna sering hilang tumpuan bila melalui bahagian penjuru Kaabah di mana tempat diletakkan Hajar Al Aswad. Orang ramai berebut-rebut untuk mencium batu yang datangnya dari syurga itu sehingga berlakunya pergaduhan. Seolah-olah menjadi satu rukun umrah pula untuk menciumnya. Risau juga jika ibadat yang diimpi membuahkan berkat akan bertukar menjadi laknat. Bukankah bergaduh di hadapan Kaabah itu satu perbuatan biadap dan tidak beradab?. Sejurus selepas mengerjakan tawaf, kami terus ke ruang Saie’. Sebelum ini anggapan arjuna bahawa jarak antara Safa dan Marwah tidak lah jauh sangat, rupanya- rupanya.. boleh tahan juga..:). Apepun, Alhamdulillah, kami dapat menyelesaikan ibadat umrah 2 jam selepas itu. Terasa sejuk kepala di sapa angin Makkah. Ya.. sejuk, kerana kepala sudah dilicinkan!..He2.. First time dalam hidup..!
.... bersambung..

Thursday, May 10, 2007

Catatan Haramain (1) : Madinah Munawwarah

Assalamualaikum w.t.h

Alhamdulillah..
Setelah 2 minggu taman dakwah ini ditinggalkan sepi, bermula hari ini dan insyaAllah selagi ilham Ilahi bertamu di minda, taman dakwah ini tetap akan hangat dengan bicara maya yang ber‘akar’kan sebaran ilmu dan dakwah demi Islam tercinta.

Sudah 4 hari arjuna kembali ke bumi Syam. Gembira. Sedih. Bersemangat. Rindu. Tidak percaya. Rasa yang dinamakan perasaan ini bercampur baur. Permusafiran yang turut disertai ‘pakcik-pakcik dan makcik-makcik Arab’ ini walaupun memakan masa hampir 35 jam dengan menaiki sebuah bas memang mencabar dan memenatkan namun ia amat menyeronokkan kerana sepanjang perjalanan, banyak aktiviti yang dijalankan lebih-lebih lagi tazkirah berantai daripada sheikh yang membuatkan jiwa sentiasa dibakar api keinsafan dan rasa tidak sabar-sabar untuk bertamu di Masjidil Haram dan mengucapkan salam kepada Kekasih Allah di Masjid Nabawi. Sungguh..!! Tiada kalam yang boleh arjuna gambarkan di sini betapa indahnya lukisan perasaan di saat bola mata insan kerdil dan hina ini menatap dan menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W dan menghadap Baitullah Al Haram. Kami di jadualkan untuk menziarahi Rasulullah di Madinah Al Munawwarah dahulu selama 4 hari sebelum ke Makkah Al Mukarramah.

Di Masjid Nabawi, selain menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W, terdapat satu sudut di dalam kawasan masjid yang menjadi rebutan untuk beribadat iaitu kawasan yang dinamakan RAUDHAH. Kawasan yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai salah satu taman daripada taman-taman syurga. Memang terasa ketenangan beribadat di dalam kawasan yang ditanda dengan karpet putih ini. Ketenangan yang macamana?.. Maaf.. Arjuna tidak dapat gambarkan pada anda..

Di luar kawasan masjid, terdapat perkuburan Baqie’ yang menempatkan maqam isteri-isteri Rasulullah S.A.W, beberapa ahli keluarga Baginda dan para sahabat. Betul.. memang ramai ahli syurga yang bersemadi di perkuburan ini, namun apa yang menyedihkan tiada tanda yang boleh memberitahu kita di manakah kedudukan maqam mereka. Bagaimana untuk kita menziarahi seseorang tanpa mengetahui rumahnya?.. Mungkin salam kita tetap akan sampai melalui cara lain, namun adakah itu adab yang terbaik?.. Sedangkan kita dah berada di kampung halamannya.. Memang, sunnah wajib didaulatkan tetapi jangan diabaikan cara kita membawa ‘orang’ untuk mengikut sunnah itu. Kadang-kadang cara kita membawa orang ke arah kebaikan itu membuatkan orang semakin benci dengan kebaikan tersebut. Siapa yang salah?.. Kebaikan itu tetap kebaikan, tetapi yang perlu diubah cara kita.. diri kita.. Bukankah cara dakwah itu pelbagai?..

Alhamdulillah, di Madinah juga arjuna mempunyai tiga orang sahabat lepasan Maahad Muhammadi Lelaki yang belajar di Universiti Islam Madinah. Sempat juga mereka membawa arjuna menziarahi Universiti kebanggaan rakyat Madinah itu. Kebetulan pada masa tersebut, beberapa orang sahabat arjuna dari Darul Quran, Jakim datang ke Madinah untuk menjalani temuduga untuk menyambung pelajaran ke Universiti tersebut sambil mengerjakan umrah. Dah jadi reunion MML la pulak. Maka ber ‘jejak kasih’ lah kami kat sana. Bercakap tentang Universiti Islam Madinah, apa yang mengejutkan, hanya terdapat 30 peratus sahaja rakyat Madinah yang belajar di Universiti tersebut dan selebihnya adalah rakyat asing. Pada awalnya, arjuna gambarkan universiti tersebut sama sahaja dengan keadaan universiti –universiti di Syam ini, namun gambaran itu jauh meleset!.
Boleh dikatakan universiti tersebut bertaraf antarabangsa dengan kemudahan yang canggih dan moden. Bilik tidur pun ada aircond.! Dan sahabat arjuna itu boleh belajar dengan tenang tanpa memikirkan masalah kewangan kerana setiap bulan akaun banknya akan diisi hampir 800 Riyal Saudi! Kita tinggalkan sekejap manhaj yang dibawa oleh universiti ini tetapi kita bandingkan kemudahan-kemudahan yang disediakan dengan universiti-universiti di Malaysia. Setahu arjuna, tidak ada lagi universiti-universiti di Malaysia yang menyediakan kemudahan seperti ini. Kalau ada pun, mungkin sikit. Sedangkan yuran pengajian di universiti-universiti Malaysia semakin meningkat, syarat pinjaman wang semakin diperketat, kebebasan bersuara untuk mahasiswa disekat, program-program kerohanian boleh dikira dengan jari kalau dibandingkan dengan program-program maksiat dan banyak lagi kelemahan-kelemahan yang perlu kerajaan Islam Had hari perbaiki untuk memastikan universiti-universiti di Malaysia bukan hanya gah dari sudut kuantiti tetapi terbukti hebat dari sudut kualiti.

Di Madinah juga arjuna sempat menziarahi beberapa tempat bersejarah dalam taqwim Islam seperti Bukit Uhud yang di sana terdapat makam Saidina Hamzah RadhiallaHu’ahu dan para syuhada’ RadhiallaHu’ahum dalam peperangan Uhud. Melihat kepada Bukit Uhud ini arjuna terasa kerdil sekali bila memikirkan pengorbanan diri sendiri untuk Islam kalau nak dibandingkan pengorbanan Rasulullah S.A.W dan para sahabat RadhiallaHu’ahum dalam usaha untuk mengembangkan dakwah agama yang Haq ini. Keadaan bukit yang berbatu, cuaca panas terik yang membakar minda dan jiwa, kemudahan air yang amat terhad, terpaksa menahan lapar dan dahaga dan banyak lagi pengorbanan mereka yang mungkin kita tidak mampu lakukan sekarang ini walaupun berada dalam keadaan yang serba selesa. Ini semua adalah bukti dan jawapan kepada kita sebagai umat Islam bahawa menyambung rantaian dakwah Islam ini adalah satu kewajipan! Usah mencari alasan, usah memberi rungutan kepada pengorbanan tenaga yang dicurahkan, usah dibangkitkan akan kekurangan harta yang telah dikeluarkan kerana semua ini tidak dapat dibandingkan dengan semua pengorbanan yang mereka berikan, hanya untuk Islam!.

Selain itu arjuna juga berkesempatan menziarahi Masjid Quba’ yang Rasulullah S.A.W pernah bersabda : Jika seseorang itu berwudhuk di rumahnya dan datang ke Masjid Quba’ kemudian mendirikan solat dua rakaat maka pahalanya seperti mengerjakan haji kecil (umrah). – aw kama qaal-. Selain Masjid Quba’, Masjid Qiblatain juga mempunyai sejarah tersendiri yang mana masjid ini mempunyai dua Mihrab. Satu menghadap ke arah Masjidil Aqsa dan satu lagi ke arah Masjidil Haram. Mengikut sejarah, Rasulullah S.A.W mendapat wahyu untuk menukar arah kiblat daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram semasa sedang solat di dalam masjid ini.

Masa 4 hari berada di Madinah terasa amat singkat. Keseronokan menikmati ketenangan mencuci hati dan berenang di dalam tasik indah di hamparan RAUDHAH membuatkan minda terlupa saat untuk wada’ dengan Habibullah sudah tiba. Usah ditanya perasaan ketika wada’ dengan Baginda. Berselawatlah ke atas nabi..! Usai wada’, satu lagi yang arjuna anggap sebagai hadiah daripada Allah taala, iaitu dapat berjumpa dan menziarahi seorang Sheikh yang boleh dikatakan masyhur di Syam tetapi diperintahkan keluar daripada Syam kerana kelantangannya beliau menyatakan kebenaran. Biasalah, sunnah pejuang..! Beliau ialah Sheikh Muhammad ‘Awadh. Pertemuan secara kebetulan di Masjid Nabawi itu tidak akan arjuna lupakan. Kerana apa?.. Bukan kah mendapat doa daripada seorang ulama’ di Masjid Nabawi itu satu memori indah?..
… bersambung..