Saturday, December 2, 2006

Tarian Pena Tok Guru..

Umno yang makin cemas dan keliru
Baru dua tiga hari lepas kita mendengar suara ketegasan Timbalan Presiden Umno untuk mempertimbangkan tindakan ke atas tiga perwakilan yang berucap secara sensitif, menyentuh isu perkauman dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu.

Tiba-tiba Presiden Umno pula mengaggapkan ianya sebagai 'tidak mengapa.' Bahkan mengikut pandangannya ia tidak perlu dicemaskan kerana terdapat 'hanya 3 daripada 22 perwakilan sahaja yang keterlaluan dan ini bukannya mewakili keseluruhan Umno.' (Utusan Malaysia 28 November 2006).

Pandangan ini samalah seperti mengatakan bahawa rasuah atau kecurian yang berlaku dalam Umno misalnya tidak mengapa kerana ia tidak mewakili amalan majoriti Umno. Begitulah agaknya.

Kita menjadi amat hairan. Jika dibandingkan dengan tahanan ISA, keadaannya cukup berlawanan. Hanya kerana disyaki sahaja, Nik Adli sudah dikurung lebih 5 tahun. Sebaliknya, Perwakilan Umno yang memang membawa elemen hasutan didalam ucapannya cukup jelas. Ia disaksikan oleh beribu ribu orang. Nampaknya, ia mahu dilepaskan begitu saja kerana ia dianggap tidak ramai. Jika inilah pegangannya, maka berbuat dosa yang serupa di kalangan pemimpin Umno pun tentu juga akan dilihat sebagai perkara kecil dan terpencil.

Dalam hal ini, saya sangat teringatkan satu hadis Nabi s.a.w yang bermaksud "satu dosa bagi seorang mukmin bagaikan satu batu besar di bukit yang condong, manakala satu dosa bagi orang munafik bagaikan seekor lalat yang duduk di atas bahu. (Ia boleh hilang dengan bergeraknya bahu)."

Pendek kata perjuangan kebangsaan ini bersifat pragmatik. Ia oportunistik dan berubah-ubah. Ia tidak pernah stabil kerana tidak berpaksikan al-Quran dan hadis. Menyentuh tentang isu yang dikatakan sensitif itu, rakyat sebaliknya melihat bahawa Umno saja yang cemas. Pihak MCA, Gerakan dan MIC nampaknya tidaklah sangat menunjukkan reaksi kemarahan yang melampau.

Belum pun ahli-ahli ketiga-tiga parti tersebut membuat reaksi, Umno nampaknya sudah takut. Jangan-jangan Umno ini cuma berani dengan PAS sahaja. Itu pun, Umno berani dengan PAS setelah menyalahgunakan kuasa melalui penggunaan jentera SPR, Polis,Kemas, dan penerangan serta puluhan jabatan kerajaan yang lain. Apa lagi jika tidak dinamakan lemah apabila Umno ditampu oleh puluhan tongkat dan kayu penyokong.

Orang Melayu dan Islam semakin membenci Umno

Akhirnya Umno ini menjadi satu parti yang akan dicurigai dan dibenci oleh semua kaum. Orang Melayu yang kuat Islam akan membenci Umno kerana Umno jelas tidak bertapak di atas aqidah Islam. Orang Melayu yang kuat semangat Melayu pula sedang membenci Umno kerana tidak ada satu pun dari segi bahasa, ekonomi bangsa, kesenian dan kebudayaan bangsa yang berjaya dipulih dan dipertahankan oleh Umno.

Kejayaan Umno misalnya, boleh diukur apabila lahirnya generasi artis yang tergamak mengatakan bahawa dia terasa bodoh apabila bercakap Bahasa Melayu. Lain-lain orang bukan Melayu pula turut tidak nampak bagaimana perjuangan Umno boleh memberi kemakmuran kepada seluruh bangsa Malaysia.

Ini yang saya selalu sebutkan bahawa jangankan menuju kepada Islam, akhirnya pemimpin Umno tidak akan membawa orang Melayu dan Bukan Melayu ke mana-mana.
Umno akan berada diawang-awangan; ke langit tidak sampai dan ke bumi tidak jejak. Lihatlah istilah seperti 'world class', 'Malaysia boleh', 'pemimpin bertaraf dunia', 'masyarakat global', 'minda glokal' dan berbagai-bagai lagi.
Apa yang boleh dilihat, sasaran DEB yang tidak tercapai.
  1. Bahasa Melayu yang semakin terpinggir.
  2. Tulisan jawi yang sudah hampir mati.
  3. Pelajar-pelajar Melayu yang merosot dari segi jumlah dan kualiti di semua IPT.
  4. 1 juta penduduk Malaysia sudah menjadi penagih dadah.
  5. 250,000 orang Islam dilapurkan sedang menunggu masa untuk murtad.
  6. Dakwaan dimana terdapat 4,000 kanak-kanak perempuan terbabit dalam kegiatan pelacuran di seluruh negara.
  7. Mufti Perak ada menyebut mengenai orang Melayu menggunakan RM4 bilion setahun untuk tujuan minum arak dan berjudi.
  8. Jatuhnya amalan buruk rasuah Malaysia ke paras 44 dalam indeks transparensi rasuah antarabangsa.
    Semuanya ini adalah sindrom kepada sebuah masyarakat yang sedang tenat.

RMK-9 dan Islam Hadhari hanya untuk alih perhatian.


Untuk mengalih perhatian, mulalah Pemimpin Umno membesar-besarkan RMK 9 dengan segala macam peruntukan raksasa. Padahal, ini perkara rutin. Lepas RM Ke-8 , RM Ke-9 pulalah. Soal bertambahnya peruntukan, inipun biasa.


Kadar tol pun dikhabarkan akan naik pada 1 Jan 2007 nanti! Soal mahu mempercepatkan pelaksanaan dan meningkatkan pemantauan, pun biasa. Ia sudah lama di perkatakan oleh mana-mana Perdana Menteri di Malaysia. Bukankah EPU dan ICU sudah lama berada di JPM dan memang menjalankan tugas-tugas itu.


Ia disitu sejak pelancaran Buku Merah dan Buku Hijau kira-kira 40 tahun yang lalu. Yang cuba dijual oleh Presiden Umno ini bukanlah penemuan pintar dan tidak sekali-kali perkara baru.
Akan tetapi jika inilah suasana masyarakat yang sedang dilahirkan oleh Islam Hadhari maka tidak syak lagi bahawa Malaysia sedang menuju kepada satu masa depan yang sangat gelap.
Masalah maki hamun bangsa tertentu di hadapan kongres dan Perhimpunan orang ramai tidak akan selesai. Masalah orang Islam yang semakin tipis iman semakin kronik.


Masalah orang Melayu yang kian miskin. Peluang perniagaan kepada Non-Melayu yang semakin sempit. Lebih cemas lagi apabila apa yang akan lahir adalah masyarakat yang penuh kekeliruan. Masyarakat yang kehilangan segala arah dan nilai dosa-pahala berteraskan Quran dan hadis atau neraca buruk-baik yang berkepentingan Melayu. Pemimpin Umno nampaknya cuma menangguhkan kegagalan dengan menunda matlamat DEB dari 1990 kepada 2010 untuk menuju 2020.


Pada hal itu hanyalah usaha-usaha menganjak dan mengalih bendera matlamat . Ia tidak lebih untuk memelihara sokongan dengan menakut-nakutkan rakyat tentang sensitiviti perkauman.
Apabila nampak tanda-tanda orang Melayu kecewa, Umno momok-momokkan pula tentang seolah-olah adanya amalan diskriminasi Non-Melayu.


Secara keseluruhan, kita melihat ada satu sahaja masalah di sini ia itu keangkuhan pemimpin Umno untuk terus bertahan dengan dasar pemerintahan berteraskan bangsa yang amat sempit.
Dengan pendekatan yang bercanggah dengan Islam inilah, Umno sedang mencemaskan ahlinya dan melemaskan orang Melayu keseluruhannya. Korbannya adalah Islam dan umat Islam baik untuk jangka pendek atau jangka panjang. -
(Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan).

No comments: