Monday, July 30, 2007

Monyet Yang Kelaparan..

Assalamualaikum…

"Tidak ada undang-undang di alam siber kecuali undang-undang rimba. Jadi tindakan harus diambil supaya 'monyet-monyet' lain takut dan mengambil iktibar daripadanya," - KJ ( Orang besar parti sekular di Malaysia ) semasa mengulas tentang penangkapan seorang blogger baru-baru ini.

Bagus sungguh bahasa ‘manusia jadian’ yang dikatakan bakal pemimpin negara ini. Sedap dan seronok didengar. Namun, persoalannya siapakah monyet yang sebenarnya..? ‘Manusia jadian’ ini yang bertukar rupa menjadi monyet atau siapa?..Mungkin entri arjuna kali ini agak kasar namun bukankah takabbur kepada orang yang takabbur itu sedekah?..Beroleh pahala..? Inilah realiti dunia sekarang, mereka yang ingin mengatakan kebenaran dianggap sebagai haiwan dan mereka yang menyokong kemungkaran dan kejahatan dianggap sebagai ‘manusia’ yang budiman. Hakikatnya, itulah ‘manusia jadian’..! Kadang-kadang ‘manusia jadian’ itu bertukar rupa.. bukan setakat haiwan.. tetapi, syaitan..!

Ya, syaitan.. Mengapa tidak..? Kalau diperhatikan keadaan Malaysia sekarang yang bergolak dengan isu-isu kebobrokan akhlak dan moral para remaja kerana dijamu dengan hiburan yang melampau ditambah dengan kebanjiran website-website lucah dan lain-lain, bukankah sepatutnya inilah yang dijadikan isu utama untuk diperdebatkan?.. Bukankah sepatutnya isu ini lebih didahulukan bagi kerajaan Islam Had hari kerana ia melibatkan generasi pewaris bangsa dan negara.. serta agama?.. Di mana suara menteri-menteri untuk menyelesaikan masalah ini?.. Pernah ke anda mendengar atau membaca kenyataan KJ and the geng yang menjenamakan ‘monyet-monyet’ atau haiwan-haiwan lain kepada pemilik-pemilik blog dan website lucah yang merosakkan minda rakyat..? Di mana suara ‘manusia-manusia jadian ini’..? Tidak lupa, di mana suara ulama’-ulama’ kerajaan yang wajib menegur dan mengajar berkenaan perkara awlawiyat yang mesti didahulukan pimpinan kerajaan dalam memerintah?.. Di mana?..

Bagi arjuna, isu ini adalah satu dalil yang membuktikan ‘manusia jadian’ itu dalam ketakutan dan kerisauan dengan kejayaan bloggers dalam mendedahkan kejahatan dan ke ‘tolol’an para pemimpin negara yang gilakan kuasa. Ramai yang mengatakan bloggers sekarang ini semakin tertekan kerana ditekan oleh kerajaan, namun bagi arjuna sebaliknya kerana memandangkan beberapa kenyataan daripada pimpinan negara yang lebih menjurus kepada emosional bukan rasional dan menggambarkan seolah-olah dakwah bloggers ini satu ancaman yang amat bahaya bagi mereka. Yalah, orang yang dah buat salah.. bila didedahkan kesalahan tersebut tentu bukan setakat macam cacing kepanasan tetapi macam monyet yang kelaparan.. berkeliaran ke sana ke mari mencari pisang!. Justeru, siapa yang dikatakan ‘monyet’ sebenarnya?..

Apapun, TAHNIAH diucapkan kepada bloggers..! Teruskan perjuangan kalian!. Asahlah mata pena kalian supaya lebih tajam. Usah berpaling ke belakang!. Ingatlah, keperitan yang kalian alami sekarang ini teramat ringan jika ingin dibandingkan dengan keperitan yang dialami oleh Baginda Rasulullah S.A.W dalam menegakkan kebenaran dahulu.

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang. – Surah As Soff , ayat 14.


Salam syifa’..

Sunday, July 22, 2007

UMNO VS MCA = BARISAN NASIONAL..!

Assalamualaikum..

Barisan Nasional.. Arjuna tidak dapat menahan gelak apabila menyaksikan debat ‘olok-olok’ terkini yang berlaku antara MCA dan UMNO. MCA diwakili oleh sifu Ong Ka Chuan, katanya sebagai Setiausaha Agung MCA dan UMNO diwakili oleh panglima Najib dengan dibantu oleh pendekar Hishamuddin - Orang-orang kuat UMNO yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Apa yang diperdebatkan?.. Erm.. Malaysia adalah sebuah Negara Islam atau Sekular..?! Mengapa arjuna katakan ia satu debat ‘olok-olok’?.. Kan mereka satu Barisan. Satu ketua. Satu aliran pemikiran. Walaupun berlainan agama. Bila ketua mereka gertak, semua diam membisu ibarat sang tikus terdengar ngauman sang singa. Itulah Barisan Nasional. Semua sanggup dilakukan demi takhta..!

Memang.. dekat-dekat pilihanraya ini macam-macam isu yang ditimbulkan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Sifu Ong Ka Chuan menyerang kenyataan panglima Najib bahawa Malaysia bukan sebuah Negara Islam kerana bukti yang sudah jelas termaktub di dalam pelbagai dokumen sejarah termasuk Laporan Reid, Suruhanjaya Cobbold dan keputusan Mahkamah Agung yang dibuat pada 1988 malah status sekular Malaysia juga terbukti berdasarkan persetujuan dan kontrak sosial oleh pemimpin terdahulu seperti termaktub dalam pelbagai dokumen yang digunakan dalam proses merangka Perlembagaan Persekutuan. Sudah jelas bahawa serangan ini amat merbahaya. Ia merupakan satu ancaman besar kepada negara. Cina dan India semakin besar kepala sedang Melayu masih diulit lena, dibuai mimpi dan tidak menyedari bahawa agama Islam dihina..!

Apa pun, serangan yang dilakukan oleh sifu Ong Ka Chuan itu dibalas oleh pendekar Hishamuddin dengan jurus ‘amaran’ agar jangan ditimbulkan lagi isu ini kerana sudah jelas Malaysia adalah sebuah negara Islam sebagaimana yang telah diumumkan di parlimen. Kononnya ingin mendabik dada kepada rakyat bahawa UMNO adalah pembela agama. Nak termuntah! Wahai panglima Najib dan pendekar Hishamuddin.. usah berlakon lagi. UMNO yang sebenarnya membuatkan rakyat lupa pada agama dan sekarang UMNO ingin mendabik dada UMNO yang membela agama..? Mempertahankan Malaysia sebuah negara Islam..? Sedangkan UMNO lah yang sanggup menghancurkan masa depan agama semata-mata ingin mempertahankan takhta..! Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pernah berkata ;


“Amerika Syarikat sendiri memperakui kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan tidak pernah mempertikaikan hak amalan kepercayaan untuk penganut bukan Islam di negara ini..” B.Harian.-21/07/07




Ya.. jika difikirkan dengan teliti, andai Amerika Syarikat mengakui Malaysia sebuah negara Islam, mengapa MCA tidak boleh mengakuinya?..Bukankah kedua-duanya anti dengan negara Islam yang sebenar. Cuba kita singkap kembali bagaimana rakusnya Amerika Syarikat dan Yahudi menceroboh negara Afghanistan ketika diperintah oleh Taliban suatu ketika dahulu yang dikatakan mengamalkan perlaksanan Islam secara total. Kalau Malaysia betul-betul negara Islam.. dah lama kita menjadi ‘makanan Amerika’.. Bukan begitu?. Inilah yang arjuna katakan sebagai debat ‘olok-olok’! UMNO ‘bermain mata’ dengan MCA..!

Sememangnya Amerika Syarikat boleh mengiktiraf Malaysia sebuah negara Islam kerana ia hanya nama, hanya gelaran.. Dari segi perlaksanaanya..? SIFAR..! Kalau UMNO katakan mereka membina masjid..? Di UK pun ada masjid.. Kalau UMNO katakan mereka banyak tolong orang susah?.. Bill Gates pun berbilion-bilion USD bantu orang susah. Apa yang menimbulkan persoalan di benak, bagaimana UMNO mendidik rakyat untuk menghayati Islam andai benar-benar mereka ingin membela agama?.. Adakah dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak menghalang rakyatnya murtad?.. Dengan menjamu remaja-remaja dengan hiburan sehingga mendorong kepada penzinaan?.. Dengan menyokong Penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC)?..Dengan pencabulan demokrasi yang berlaku dalam pilihanraya?.. Inikah yang dikatakan ingin membela agama?..! Bukankah ini yang Amerika Syarikat mahu sebenarnya..?

Apa gunanya panglima Najib, pendekar Hishamuddin dan konco-konconya menghentam MCA.. andai pada hakikatnya mereka lah yang menjadi dalang untuk mencabul kesucian Islam..? Malu la sikit. Lakonan yang tidak real.!. Moga Allah taala meyinari mereka dengan cahaya hidayah dan meletakkan kita dalam golongan yang istiqamah dalam menegakkan agama! Amiin..

50. Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNYA. Kamu hanyalah orang-orang Yang mengada-adakan perkara-perkara Yang dusta (terhadap Allah). –Surah Hud ayat 50.


Banyak juga arjuna meletakkan ‘tanda tanya’ dalam tulisan ini. Ya.. untuk anda menjawabnya.. -salam syifa’..

Tuesday, July 10, 2007

Terang Lagi Tersuluh..

Assalamualaikum..

'Malaysia does not forbid Muslims from converting, PM says'

Malaysia tidak menghalang seseorang keluar daripada Islam..-PM- -Seminar Islam Antarabangsa,Putrajaya.

Orang-orang yang telah murtad bertepuk tangan.. Orang-orang yang akan murtad lega kerana sudah tiada halangan.. Orang-orang yang ingin mendekati Islam dihujani kekeliruan... Apa yang perlu difikirkan lagi?..Hanya kerana dia cucu ulama'? Hanya kerana dia 'kononnya' mahu mendaulatkan Islam di mata dunia..?

Teman.. sudah terang lagi tersuluh.. Kalamnya adalah bukti yang dia tidak tahu apa yang sebenarnya ingin dia perjuangkan.. Islam atau Kuasa..? Menggunakan kuasa untuk mendaulatkan Islam atau menjatuhkan Islam dengan menggunakan kuasa..?..

Dia telah menghina kedaulatan agama kita... Dia telah membuatkan agama kita sudah tidak berharga.. wajarkah dia terus dipilih untuk menjadi ketua..? Ketua untuk memimpin negara?.. Pejamkan mata.. fikirkan.. Buatlah sesuatu untuk menyedarkan masyarakat sekeliling kita..! Itu tugas kita.. !

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dari kalangan Manusia.. Serulah kepada kebaikan dan cegahlah segala kemungkaran.."

-salam syifa'..-

Thursday, July 5, 2007

Assalamualaikum...

Teringin berkongsi sms daripada seorang teman..


Assalamualaikum...

Usah toleh ke belakang..
Luruskan wajah ke hadapan..
Utuhkan keyakinan..
Pahatkan keimanan..
Tebarkan kesabaran mengharungi segala duga merempuh kedewasaan..
Moga ribut pengalaman hidup bisa menghadiahi warna pelangi yang membahagiakan..
Walau hidup memungkinkan segalanya..
Teruskan langkah dengan berani!
Kerana proses hidup memerlukan tahap kekuatan tersendiri..
" Ia bukan gunung yang kita takluki
tetapi diri kita sendiri " -Sir Edmund Hillary
Selamat mengharungi ujian dengan usaha serta doa tanpa henti..

Atasi Jangan Tangisi..

Assalamualaikum...

~ satu rumusan ringkas daripada penyelesaian masalah-masalah yang melanda diri sendiri ~

Tiada siapa pun didunia ini tidak mempunyai masalah. Orang bujang dengan masalah orang bujang, orang yang berkahwin dengan masalah keluarga, orang politik dengan masalah politik, pelajar dengan masalah pelajaran dan sebagainya. Seorang teman arjuna pernah menyatakan bahawa orang yang tidak mempunyai masalah itu adalah orang yang bermasalah! Ya ke?.. Betul kot.. Tetapi apa yang penting dan perlu difikirkan ialah bagaimanakah kita menghadapi sesuatu masalah.. Bagi arjuna secara peribadi, masalah adalah hadiah!..Mengapa pula?.. Ini kerana bila kita berhadapan dengan masalah, minda kita secara automatik akan berputar 360 darjah untuk mencari penyelesaiannya. Minda yang bekerja untuk mencari penyelesaian masalah itu akan membantu kita membentuk folder-folder sebagai jalan untuk keluar. Folder-folder itulah yang membantu mematangkan fikiran kita. Kematangan itulah yang akan kita jadikan pengalaman bila masalah tersebut berulang. Bukankah kematangan dan pengalaman itu merupakan hadiah yang bernilai..? Faham ke tak nie.. kalau tak faham.. maknanya anda sedang mengalami masalah!.

Allah memberi kita masalah yang mampu kita tanggung tetapi dengan syarat kita mestilah kembali kepadaNYA. Mungkin ada antara kita yang seringkali merintih dan mengeluh bila dilanda sesuatu masalah. Betul, bagi sesetengah orang keluhan dan rintihan itu dapat menenangkan minda dan jiwa yang serabut menanggung derita tekanan dalam menghadapi masalah. Tetapi, persoalannya kepada siapa kita mengeluh dan merintih..? Adakah rintihan dan keluhan itu kepada DIA yang merupakan penyelesai masalah atau kepada mereka yang dianggap boleh menyelesaikan masalah tetapi sebenarnya adalah penambah masalah..! Masalah adalah untuk diatasi bukan untuk ditangisi. Kita tidak berupaya menyelesaikan masalah jika tidak kembali kepada DIA yang memberi masalah. Bukankah disisiNYA segala penyelesaian?.. Faham ke tak nie.. moga anda faham!..



Satu perkara yang kita mesti set dalam minda bila menghadapi masalah ialah kita seorang yang HEBAT!..Dan kita akan menjadi LEBIH HEBAT jika berupaya menyelesaikan masalah tersebut. Kita wajib menguasai masalah, jangan biarkan diri kita dikuasai oleh masalah kerana ia akan meletakkan minda kita ditahap yang paling rendah untuk berfikir. Sedarlah, Allah akan menguji hambaNYA yang HEBAT dengan ujian yang HEBAT..! Jika anda seorang yang HEBAT, anda akan tersenyum bila menghadapi sebarang masalah.. tapi, senyum je.. bukan gelak tau!..

Sekali lagi arjuna tegaskan bahawa masalah itu untuk diatasi bukan ditangisi. Ingat, Allah jadikan kita sebagai seorang yang HEBAT tetapi kita yang sering menganggap diri sendiri lemah dan tidak berguna. Kita adalah apa yang kita fikirkan..! Walaupun semua orang didunia ini mengatakan kita lemah tidak bermakna kita betul-betul lemah! Hidup biar ada prinsip! Prinsip mesti berpandukan Allah! Mereka yang mengatakan kita lemah tidak semestinya mereka itu kuat. Tidak ada manusia yang sempurna, mungkin disuatu sudut kita sempurna dan disuatu sudut lain kita lemah. Itu fitrah insan. Ok.. moga Allah menyelesaikan segala masalah kita. Bukankah disisinya segala penyelesaian?.. -salam syifa'..