Monday, February 19, 2007

Alaa..Sunat Jer..

Assalamualaikum..

Perbualan dua orang yang bergelar mahasiswa agama..
Agamawan 1 :“ Jap, ana nak solat sunat..”
Agamawan 2 :“ Alaa..sheikh, kita dah lewat nie..kan sunat je..pameran tu dah bermula dah..”

Perbualan 2 orang pakcik di masjid..
Pakcik 1 :“ Eh, semalam saya ada baca dalam buku, solat sunat selepas Zohor ni dituntut dalam agama..”
Pakcik 2 :“ Betul ker??..Nampaknya kita kena istiqamah la selepas ni..”


Dua perbualan yang anda baca kat atas ni merupakan kejadian yang benar- benar berlaku dalam masyarakat sekarang. Mungkin tidak secara majoriti..namun tak salah untuk kita menyedarkan mereka yang tergolong dalam minoriti. Orang yang berilmu menjadikan ‘ilmu’ yang dipelajarinya sebagai platform untuk kepuasan nafsunya. Mereka bermudah-mudah dalam mengamalkan sesuatu hukum. Mereka berusaha mencari pandangan yang dhoif untuk menghalalkan kehendak mereka yang bukan merupakan keperluan walaupun terpaksa mengorbankan pandangan yang lebih kuat..sedangkan mereka orang yang berilmu..sepatutnya pandangan yang lebih kuat menjadi keutamaan untuk diamalkan namun sebaliknya yang berlaku.

Memang banyak alasan yang diberikan, antaranya waqie’ dan maslahah-maslahah yang kalau dikaji dengan mendalam tidak sampai tahap dhoruri pun untuk berbuat demikian. Arjuna mengambil contoh rokok, memang ternyata bahaya dari segi kesihatan kepada si perokok dan majoriti ulama’ Mesir pernah memfatwakannya HARAM begitu juga dengan para ulama’ besar dunia. Tetapi oleh kerana ada pandangan yang mengatakan MAKRUH..para ulama’ yang tergolong dalam minoriti ini mengambil kesempatan untuk menjadikan ia hujah dengan alasan KHILAF..lebih-lebih lagi kalau mereka ingin cepat popular dalam masyarakat dan mereka sendiri bergelar perokok!!..Ketika ini, di mana wara’ seorang ulama’ semasa mengeluarkan hukum?..Anda boleh kiaskan contoh rokok ini dengan mengambil contoh-contoh lain seperti permusafiran wanita tanpa mahram dan sebagainya. Ingat, beratus pandangan dhoif yang boleh kita gali untuk mem‘benar’kan kemahuan kita walaupun tidak senada dengan pandangan yang kuat. Kan khilaf..Namun, adakah itu cara yang terbaik bagi kita terutamanya mereka yang bergelar agamawan??..


Sedangkan kalau benda-benda lain kita mahukan yang terbaik dalam segala hal..isteri mahukan yang cantik, makan mahukan yang sedap, pakaian mahukan yang berjenama..tapi, dalam mempraktikkan hukum, kita bermudah-mudah dengan mengikut irama kehendak kita yang memang tiada batasan..Lain la kalau terpaksa..!..Tepuk hati, buang emosi, ingat Ilahi!..

Mungkin anda masih ingat tentang kes penulis kontroversi dan sensasi Astora Jabat yang mengeluarkan pelbagai hukum dengan menggunakan pandangan yang dhoif semata-mata bagi arjuna ingin sujud kepada pihak ‘Islam Had hari’ yang mahu mengalihkan perhatian masyarakat daripada memikirkan benda-benda ‘besar’ (rasuah dikalangan pemimpin negara, penganiayaan kepada rakyat dan lain-lain) kepada memikirkan benda-benda ‘kecil’ (dengan membesarkan benda khilaf yang sudah maa’ruf di kalangan masyarakat).

Begitu juga dengan kes penyelewengan istilah yang telah menghalalkan banyak benda yang haram di kalangan masyarakat kita yang kebanyakannya kurang mendalami ilmu agama. Contohnya istilah ‘rasuah’ di tukar kepada ‘politik wang’, istilah ‘riba’ ditukar kepada ‘faedah’ dan banyak lagi kalau kita kaji dengan mendalam. Teruk!.

Lain pula dengan orang yang jahil. Mereka menjadikan ‘ilmu’ yang dipelajarinya daripada guru sebagai ilmu yang amat berharga. Mereka akan beramal dengan apa yang dipelajarinya walaupun benda tu sunat. Mereka berusaha mencari pandangan yang kuat dalam sesuatu hukum untuk diamalkan. Perbezaan yang amat ketara antara kedua-duanya..Terbalik! Tapi, inilah hakikatnya..

Arjuna teringat kalam seorang guru di Malaysia dulu, bila kami bertanyakan tentang hukum memakai kopiah dan jubah. Beliau mengatakan kedua-duanya merupakan sunnah Rasulullah SAW. Hukumnya sunat. Tapi, arjuna tersentuh bila beliau mengatakan ;

“ Kalau kita sebagai agamawan tidak mengamalkan sunnah, siapa lagi yang boleh diharapkan ?,”..

Arjuna tahu ia khilaf. Namun, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengatakan ;


“ Kita sebagai pendakwah ada pakaian kita. Antum boleh bayang ke seorang ulama’ pakai seluar jeans dan baca kitab di masjid,” ujar beliau ketika kami (pimpinan MPP Maahad Muhammadi Lelaki) menziarahi beliau untuk mengadu tentang masalah ‘tie’ dan ‘serban’ di sekolah kami satu ketika dulu.

Namun, kita juga tidak boleh menafikan kepentingan waqie’ dan maslahah lain yang membuatkan sesuatu hukum itu berubah..Sebab tu kita ada Fiqh Dakwah, Fiqh Muwazanat, Fiqh Awlawiyat dan sebagainya. Mungkin apa yang arjuna utarakan ini bersalahan dengan pendapat anda, tepuk dada tanya iman..Apa yang penting kita membuat sesuatu berlandaskan ilmu bukan nafsu. Justeru, sekarang..cuba lihat sekeliling anda..Baiki apa yang rosak..Tampal kat mana yang bocor..Bawa pi klinik kalau ada yang sakit..salam syifa’..

Wednesday, February 14, 2007

Teman..

Bersama mengharungi hujan salji yang lebat...



Kenangan yang akan kekal di ingatan..


Bersiap sedia sebelum pi main salji...muka tak sabar-sabar..


Teman..
Bersaksikan teratak taqwa..
Kita mengorak langkah bersama..
Rebah..ujian dariNYA..
Bangkit..syukur padaNYA..
Kita redha panahan ujian jiwa..
Demi memburu liarnya cita..

Teman..
Seringkali tawa kita dalam duka..
Seringkali tabah kita dalam kecewa..
Kegembiraan kita seketika cuma..
Tika itu..
Warkah cinta Ilahi pengubat lara..
Irama pujian kekasih Rabbi penghibur sukma..
Serasa nikmat seketika..
Ketenangan hakiki hanya padaNYA..!

Teman..
Langkahan kita baru bermula..
Ombak dugaan sentiasa bergelora..
Menuntut keikhlasan memandu jiwa..
Demi mendamba redhaNYA..
Pastikan api juang tiada henti menyala!..


Ini gambar arjuna dan teman-teman ex- Maahad Muhammadi Lelaki yang belajar di Jordan, Mesir dan Kuwait. Mereka datang ziarah Syria…Seronok sangat dapat melepaskan rindu yang bertahun – tahun dipendam untuk berjumpa…Kebetulan pula musim sejuk..apalagi..main salji la kami..
Buat teman-teman di Morocco, Rusia, Malaysia sahabat - sahabat AMAL ( Alumni Maahad Muhammadi Lelaki / Perempuan / Pasir Pekan ).. dan di mana sahaja anda berada dan menatap gambar kami nie..satu pesanan daripada arjuna..;
“ Jangan jelous yer.., tak baik untuk kesihatan..”.. He2 ..Salam syifa’..

Sunday, February 4, 2007

Wanita Dan Buaian...

Assalamualaikum..


Alhamdulillah..dapat juga arjuna meneruskan contengan ilmiah dalam ruang kecil maya ini. Imtihan dah tamat 2 hari lepas. Namun, hati ini belum lagi dipalut kelegaan selagi tak keluar natijah. Doakan arjuna berjaya!..

“ Wanita yang menghayun buaian mampu untuk menggoncang dunia!”. Ingat lagi kalam ini? Entah kali ke berapa arjuna mendengar kalam ini. Arjuna juga yakin anda pun tentu dah banyak kali mendengar kalam semangat ini. Namun apa gunanya mendengar tanpa menghayati? ..

Semalam arjuna membaca satu berita di Harian Metro yang memaparkan kisah pergaduhan ala samurai di kalangan pelajar sekolah di Manir, Terengganu. Banyak kali juga arjuna ke Manir semasa balik bercuti dulu. Masa tu heboh pasal isu melempar mercun ke sekolah tersebut. ‘ Ish..macam-macam’. Baru-baru ini pula arjuna terbaca satu berita yang memapar kisah remaja ‘terpilih’ yang membanjiri konsert di Johor walaupun ketika itu Johor sedang dilanda oleh banjir yang luar biasa. ‘Ish..ada juga ye jenis camni’. Bila arjuna call mesia 2 hari lepas, ibu arjuna mengadu yang masyarakat kampung dah makin teruk..pengedaran pil kuda, hidu gam, kecurian motor di masjid dan dah ada remaja perempuan yang melahirkan anak tidak berbapa..(nauzubillah) ‘Ish..kampung aku pun kena !’..ini baru di kampung..bagaimana pula di bandar ?..serta banyak lagi kes-kes yang arjuna yakin anda semua mengetahuinya.

Di sini, kalau kita perhatikan siapa yang patut dipersalahkan ?..mungkin kepada politikus, mereka akan mengatakan kerajaan yang salah..kerana tidak kembali kepada ajaran Islam yang hakiki tetapi menggunakan Islam Had hari untuk mengaburi mata rakyat. Betul dari satu sudut dan jelas keyataannya sekarang, semakin banyak slogan, kempen, ceramah tentang Islam Had hari, rakyat kita semakin teruk dari hari ke hari. Namun, apa yang arjuna mahu tekankan di sini adalah peranan ibu bapa yang turut memainkan tugas penting dalam memastikan didikan kepada anak-anak mengikut yang digariskan syara’.

Oleh sebab itu ‘wanita yang menghayun buaian mampu untuk menggoncangkan dunia’..kalau lah betul caranya.. ! Apa yang anda faham pada kalam ini ?..Siapa yang akan menggoncang dunia sebenarnya ?..Wanita tersebut atau anak yang dalam buaian itu ?..Ramai yang menafsirkan kalam ini ditujukan kepada wanita yang sering dipandang lemah, tetapi sebenarnya wanita mampu untuk menjadi pejuang dan menggemparkan dunia contohnya kisah keperwiraan Khaulah Al Azwar dan beberapa orang srikandi perjuangan yang lain. Namun, bagi arjuna..kalam ini juga boleh ditafsirkan dengan kehebatan wanita yang mendidik anak-anaknya sehingga menjadi kilang pejuang dan boleh menggoncang dunia dengan kehebatan akhlak dan ilmu!.

Ini kerana, andai wanita yang bergelar ibu mendidik anak-anaknya mengikut syariat Allah, InsyaAllah tiada lagi masalah yang berkaitan akhlak dan masalah-masalah lain kerana di sana telah terbina sebuah keluarga Islamik yang akan melahirkan masyarakat Islamik serta kemudiannya negara yang Islamik !. Tidak payah guna slogan Islam Had hari pun..

Sekarang, cuba putarkan ingatan kita kembali kepada sirah perjuangan di zaman Rasululullah SAW dahulu, mungkin anda pernah terbaca kisah seorang wanita yang menangis apabila tiga orang anaknya telah syahid dan beliau sedih bukan kerana kesyahidan anak-anaknya itu tetapi kerana sudah tidak ada lagi anaknya yang mahu dihantar ke medan jihad !.Wanita yang Ibu seperti inilah yang kita mahukan. Bukan Ibu yang menangis dan turut mengajar anaknya menangis bila ada artis yang terkeluar dalam rancangan maksiat Akademi Fantasia !

Bila bercakap tentang artis, arjuna amat geram dan marah bila membaca dalam akhbar tentang permohonan maaf seorang artis yang turut bergelar ibu tentang kelancangan, kebiadapan, kekurangan ajar artis ini menghina Saidatina Khadijah Radhiallahu’anHa. Kalimah " tua nak mampus " ditujukan kepada Saidatina Khadijah Radhiallahu’anHa. Apa taraf dia untuk membandingkan dirinya dengan Saidatina Khadijah Radhiallahu’anHa ?..Jauh langit dengan bumi!. Apa pun, arjuna mendoakan agar Allah mengampunkan artis tersebut dan moga ALLAH memberikan hidayah kepadanya.

Moga Allah memelihara keturunan kita daripada kerosakan akhlak dan membersihkan kekotoran noda dan dosa dalam jiwa masyarakat di negara kita!..Jadilah ibu bapa yang meletakkan Islam sebagai panduan dalam mendidik anak-anak. Baru akan wujud bukan hanya Ibu atau Bapa Mithali tetapi yang kita mahukan Keluarga Mithali!. Salam syifa’…