Friday, January 12, 2007

BOIKOT PILIHANRAYA KECIL DUN 06 BATU TALAM : SATU PANDANGAN..

Assalamualaikum

Sengaja arjuna menjenguk sekejap ke ruang maya hari ini, melihat-lihat informasi siber yang terbaru. Walaupun minda dan jiwa tika ini bersama-sama dengan kitab-kitab universiti yang sering menjeling manja meminta ditelaah, namun arjuna rasa terpanggil untuk berkongsi pandangan bila membaca keratan akhbar di Harakahdaily.net yang menyiarkan berita tentang pengumuman ekselusif daripada pimpinan PAS dan KeADILan berkenaan pem‘boikot’an pilihanraya kecil di DUN N06 Batu Talam. Hujah pimpinan PAS dan KeADILan memang kuat dan di akui. Di antara hujah mereka ialah :


1. Daftar Pemilih yang tidak tepat dan diragui.

2. Pengundi Pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan BN.

3. Proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat-sebelah.

4. Sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN.

5. Tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil.

6. Sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.

Sebelum ini, bila arjuna diberitahu teman-teman tentang pilihanraya yang bakal diadakan tersebut, terbayang di minda arjuna akan kehangatan dan kemeriahan yang akan berlaku. Bukan ‘hangat’ kerana semangat tapi ‘hangat’ kerana kemarahan. Bukan ‘meriah’ kerana demokrasi yang adil tapi ‘meriah’ kerana demokrasi yang dicabul..! Itulah hakikat pilihanraya di Malaysia sekarang ini.

Walaupun begitu, bagi arjuna secara peribadi ada positifnya jika PAS atau KeADILan bertanding pada kali ini. Sekurang-kurang isu-isu terkini berkenaan penyelewengan pimpinan kerajaan baik dari semua segi dapat dipanaskan. Ini kerana, bila adanya pilihanraya kacil di sesuatu DUN, kawasan itu akan menjadi tumpuan. Secara tidak langsung, ia membantu kempen Barisan Alternatif dalam memastikan rakyat yang tidur akan bangkit daripada lena. Bila Dato’ Husam Musa menyatakan bahawa PAS hanya mentargetkan untuk mengurangkan undi UMNO pada pilihanraya tersebut, arjuna sokong..Kerana apa..?
Kerana walaupun kita tidak menang, sekurang-kurangnya kita bertanding!..Mengurangkan undi UMNO juga merupakan kebaikan untuk parti. Walaupun kita tidak dapat mengambil semua kebaikan..sekurang-kurang kita tidak meninggalkan semuanya untuk musuh!.Apa yang penting, kita bersilat dalam gelanggang pilihanraya ini kerana gelanggang pilihanraya inilah yang kita telah pilih melalui proses demokrasi untuk mendapatkan kuasa memerintah.

Ini hanya pendapat peribadi arjuna. Mungkin tidak sama dengan pendapat anda semua. Arjuna juga menghormati kepada pandangan pimpinan PAS dan KeADILan. Arjuna akur. Namun, betapa rugi rakyat terutamanya di DUN N06 Batu Talam bila kes pembunuhan Altantuya yang mengundang pelbagai spekulasi di kalangan kita bila pembunuhannya melibatkan ‘orang-orang besar’ di kalangan pimpinan negara tidak di bongkar. Betapa ruginya rakyat terutamanya di DUN N06 Batu Talam bila kes keaiban akhlak pimpinan Islam Hadhari tidak didedah. Betapa ruginya rakyat terutamanya di DUN N06 Batu Talam kerana tidak mengetahui Indeks Kebebasan Media sekarang ini yang Malaysia berada di tempat 131 daripada 150 negara, Indeks Demokrasi yang dikaji dalam 16 negara Asia pula negara tercinta kita berada di tempat ke 13, Indeks Kebebasan Rasuah yang dikaji di seluruh dunia pula negara kita yang di pimpin oleh pemimpin yang di war-warkan berimej ‘Mr Clean’ ini berada di tempat ke 44 dan pelbagai kes terkini berkenaan penyalahgunaan kuasa ‘anak beranak’ cucu ulama’ tersohor di Malaysia serta kes seksaan kerajaan kepada rakyat dengan menaikkan kadar tol dan banyak lagi yang arjuna yakin anda mengetahuinya. Sungguh memalukan!..

Namun, arjuna akur dengan keputusan pimpinan PAS dan KeADILan. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi yang arjuna tidak nampak. Pasti ada! Kerana bukan senang pimpinan untuk membuat keputusan, lebih-lebih Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang kita kenali amat menitik berat kan syariat Allah untuk berada di depan apabila membuat sebarang keputusan. Perjuangan tetap dan wajib untuk diteruskan!..

Hujung bulan ini baru selesai hutang dengan pihak universiti. Hutang exam!..Doakan arjuna berjaya!..
Salam syifa’..