Saturday, May 26, 2007

Catatan Haramain (2) : Makkah Mukarramah

Makkah Mukarramah. Bumi berkat. Perjalanan menaiki bas yang memakan masa selama 4 jam lebih dari Madinah Munawwarah ini amat mendebarkan. Debaran menjadi tetamu Allah! Sudikah diterima menjadi tetamuNYA? Dengan dosa yang menggunung… Ahh..
“Husnu Dzon dengan Allah..”!
Pesanan seorang sheikh kepada arjuna bergentayangan dalam minda. Ingatan yang sentiasa menjadi ubat jiwa. Padang pasir dan cuaca panas yang menghiasi perjalanan amat memboringkan. Namun, padang pasir ini lah yang menjadi saksi laluan penghijrahan Rasulullah S.A.W bersama Saidina Abu Bakar dahulu, cuaca panas inilah yang membakar kulit Baginda dahulu.. Ingat kalam seorang sheikh
“ Andai doa sahaja mampu untuk memberi kemenangan kepada perjuangan Islam, nescaya Rasulullah S.A.W tidak perlu bersusah payah dalam perjuangan menegakkan Islam. Tapi, tidak! Perjuangan Islam menuntut kesakitan, kepayahan dan pelbagai pengorbanan lagi..!”.
Sama-sama kita beristighfar kepada Allah..!

Kami tiba di bumi Makkah Mukarramah pada waktu malam. Pihak rombongan bersepakat untuk menyelesaikan ibadat umrah pada malam itu juga. Jiwa arjuna kembali berdebar, kali bukan debaran kerisauan tetapi debaran tidak sabar! Dari jauh terpancar kilauan cahaya lampu dari Masjidil Haram yang bersinar megah. Di sanalah tersergamnya kiblat muslim yang dinamakan Kaabah. Kami berjalan kaki dari hotel ke Masjidil Haram. Lafaz talbiah dilaungkan beramai-ramai. Berjemaah. Nurani dipaluti rasa kuat. Tenang. Apabila sampai di Masjidil Haram, kami dibawa masuk melalui Pintu Malik Fahd. Salah satu pintu utama di masjid tersebut. Sheikh yang mengiringi kami meminta supaya kami berjalan dengan menundukkan kepala, berpegangan tangan sambil mengucapkan talbiah dan banyak mengingati Allah. Pelbagai rasa berombak dalam jiwa. Bergelora. Mengapa tidak..? Beberapa minit lagi arjuna buat pertama kalinya akan menatap Kaabah, kiblat umat Muhammad seluruh dunia..! Langkahan kami makin perlahan dan kami diminta untuk mengangkat wajah, Ahh.. macam tidak percaya.. tapi inilah hakikatnya.. terasa kerdil dan hinanya diri ini.. di hadapan arjuna sekarang ini adalah Kaabah..! Tiada lafaz kesyukuran yang mampu arjuna gambarkan. MasyaAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

Semasa tawaf, arjuna sering hilang tumpuan bila melalui bahagian penjuru Kaabah di mana tempat diletakkan Hajar Al Aswad. Orang ramai berebut-rebut untuk mencium batu yang datangnya dari syurga itu sehingga berlakunya pergaduhan. Seolah-olah menjadi satu rukun umrah pula untuk menciumnya. Risau juga jika ibadat yang diimpi membuahkan berkat akan bertukar menjadi laknat. Bukankah bergaduh di hadapan Kaabah itu satu perbuatan biadap dan tidak beradab?. Sejurus selepas mengerjakan tawaf, kami terus ke ruang Saie’. Sebelum ini anggapan arjuna bahawa jarak antara Safa dan Marwah tidak lah jauh sangat, rupanya- rupanya.. boleh tahan juga..:). Apepun, Alhamdulillah, kami dapat menyelesaikan ibadat umrah 2 jam selepas itu. Terasa sejuk kepala di sapa angin Makkah. Ya.. sejuk, kerana kepala sudah dilicinkan!..He2.. First time dalam hidup..!
.... bersambung..

Thursday, May 10, 2007

Catatan Haramain (1) : Madinah Munawwarah

Assalamualaikum w.t.h

Alhamdulillah..
Setelah 2 minggu taman dakwah ini ditinggalkan sepi, bermula hari ini dan insyaAllah selagi ilham Ilahi bertamu di minda, taman dakwah ini tetap akan hangat dengan bicara maya yang ber‘akar’kan sebaran ilmu dan dakwah demi Islam tercinta.

Sudah 4 hari arjuna kembali ke bumi Syam. Gembira. Sedih. Bersemangat. Rindu. Tidak percaya. Rasa yang dinamakan perasaan ini bercampur baur. Permusafiran yang turut disertai ‘pakcik-pakcik dan makcik-makcik Arab’ ini walaupun memakan masa hampir 35 jam dengan menaiki sebuah bas memang mencabar dan memenatkan namun ia amat menyeronokkan kerana sepanjang perjalanan, banyak aktiviti yang dijalankan lebih-lebih lagi tazkirah berantai daripada sheikh yang membuatkan jiwa sentiasa dibakar api keinsafan dan rasa tidak sabar-sabar untuk bertamu di Masjidil Haram dan mengucapkan salam kepada Kekasih Allah di Masjid Nabawi. Sungguh..!! Tiada kalam yang boleh arjuna gambarkan di sini betapa indahnya lukisan perasaan di saat bola mata insan kerdil dan hina ini menatap dan menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W dan menghadap Baitullah Al Haram. Kami di jadualkan untuk menziarahi Rasulullah di Madinah Al Munawwarah dahulu selama 4 hari sebelum ke Makkah Al Mukarramah.

Di Masjid Nabawi, selain menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W, terdapat satu sudut di dalam kawasan masjid yang menjadi rebutan untuk beribadat iaitu kawasan yang dinamakan RAUDHAH. Kawasan yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai salah satu taman daripada taman-taman syurga. Memang terasa ketenangan beribadat di dalam kawasan yang ditanda dengan karpet putih ini. Ketenangan yang macamana?.. Maaf.. Arjuna tidak dapat gambarkan pada anda..

Di luar kawasan masjid, terdapat perkuburan Baqie’ yang menempatkan maqam isteri-isteri Rasulullah S.A.W, beberapa ahli keluarga Baginda dan para sahabat. Betul.. memang ramai ahli syurga yang bersemadi di perkuburan ini, namun apa yang menyedihkan tiada tanda yang boleh memberitahu kita di manakah kedudukan maqam mereka. Bagaimana untuk kita menziarahi seseorang tanpa mengetahui rumahnya?.. Mungkin salam kita tetap akan sampai melalui cara lain, namun adakah itu adab yang terbaik?.. Sedangkan kita dah berada di kampung halamannya.. Memang, sunnah wajib didaulatkan tetapi jangan diabaikan cara kita membawa ‘orang’ untuk mengikut sunnah itu. Kadang-kadang cara kita membawa orang ke arah kebaikan itu membuatkan orang semakin benci dengan kebaikan tersebut. Siapa yang salah?.. Kebaikan itu tetap kebaikan, tetapi yang perlu diubah cara kita.. diri kita.. Bukankah cara dakwah itu pelbagai?..

Alhamdulillah, di Madinah juga arjuna mempunyai tiga orang sahabat lepasan Maahad Muhammadi Lelaki yang belajar di Universiti Islam Madinah. Sempat juga mereka membawa arjuna menziarahi Universiti kebanggaan rakyat Madinah itu. Kebetulan pada masa tersebut, beberapa orang sahabat arjuna dari Darul Quran, Jakim datang ke Madinah untuk menjalani temuduga untuk menyambung pelajaran ke Universiti tersebut sambil mengerjakan umrah. Dah jadi reunion MML la pulak. Maka ber ‘jejak kasih’ lah kami kat sana. Bercakap tentang Universiti Islam Madinah, apa yang mengejutkan, hanya terdapat 30 peratus sahaja rakyat Madinah yang belajar di Universiti tersebut dan selebihnya adalah rakyat asing. Pada awalnya, arjuna gambarkan universiti tersebut sama sahaja dengan keadaan universiti –universiti di Syam ini, namun gambaran itu jauh meleset!.
Boleh dikatakan universiti tersebut bertaraf antarabangsa dengan kemudahan yang canggih dan moden. Bilik tidur pun ada aircond.! Dan sahabat arjuna itu boleh belajar dengan tenang tanpa memikirkan masalah kewangan kerana setiap bulan akaun banknya akan diisi hampir 800 Riyal Saudi! Kita tinggalkan sekejap manhaj yang dibawa oleh universiti ini tetapi kita bandingkan kemudahan-kemudahan yang disediakan dengan universiti-universiti di Malaysia. Setahu arjuna, tidak ada lagi universiti-universiti di Malaysia yang menyediakan kemudahan seperti ini. Kalau ada pun, mungkin sikit. Sedangkan yuran pengajian di universiti-universiti Malaysia semakin meningkat, syarat pinjaman wang semakin diperketat, kebebasan bersuara untuk mahasiswa disekat, program-program kerohanian boleh dikira dengan jari kalau dibandingkan dengan program-program maksiat dan banyak lagi kelemahan-kelemahan yang perlu kerajaan Islam Had hari perbaiki untuk memastikan universiti-universiti di Malaysia bukan hanya gah dari sudut kuantiti tetapi terbukti hebat dari sudut kualiti.

Di Madinah juga arjuna sempat menziarahi beberapa tempat bersejarah dalam taqwim Islam seperti Bukit Uhud yang di sana terdapat makam Saidina Hamzah RadhiallaHu’ahu dan para syuhada’ RadhiallaHu’ahum dalam peperangan Uhud. Melihat kepada Bukit Uhud ini arjuna terasa kerdil sekali bila memikirkan pengorbanan diri sendiri untuk Islam kalau nak dibandingkan pengorbanan Rasulullah S.A.W dan para sahabat RadhiallaHu’ahum dalam usaha untuk mengembangkan dakwah agama yang Haq ini. Keadaan bukit yang berbatu, cuaca panas terik yang membakar minda dan jiwa, kemudahan air yang amat terhad, terpaksa menahan lapar dan dahaga dan banyak lagi pengorbanan mereka yang mungkin kita tidak mampu lakukan sekarang ini walaupun berada dalam keadaan yang serba selesa. Ini semua adalah bukti dan jawapan kepada kita sebagai umat Islam bahawa menyambung rantaian dakwah Islam ini adalah satu kewajipan! Usah mencari alasan, usah memberi rungutan kepada pengorbanan tenaga yang dicurahkan, usah dibangkitkan akan kekurangan harta yang telah dikeluarkan kerana semua ini tidak dapat dibandingkan dengan semua pengorbanan yang mereka berikan, hanya untuk Islam!.

Selain itu arjuna juga berkesempatan menziarahi Masjid Quba’ yang Rasulullah S.A.W pernah bersabda : Jika seseorang itu berwudhuk di rumahnya dan datang ke Masjid Quba’ kemudian mendirikan solat dua rakaat maka pahalanya seperti mengerjakan haji kecil (umrah). – aw kama qaal-. Selain Masjid Quba’, Masjid Qiblatain juga mempunyai sejarah tersendiri yang mana masjid ini mempunyai dua Mihrab. Satu menghadap ke arah Masjidil Aqsa dan satu lagi ke arah Masjidil Haram. Mengikut sejarah, Rasulullah S.A.W mendapat wahyu untuk menukar arah kiblat daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram semasa sedang solat di dalam masjid ini.

Masa 4 hari berada di Madinah terasa amat singkat. Keseronokan menikmati ketenangan mencuci hati dan berenang di dalam tasik indah di hamparan RAUDHAH membuatkan minda terlupa saat untuk wada’ dengan Habibullah sudah tiba. Usah ditanya perasaan ketika wada’ dengan Baginda. Berselawatlah ke atas nabi..! Usai wada’, satu lagi yang arjuna anggap sebagai hadiah daripada Allah taala, iaitu dapat berjumpa dan menziarahi seorang Sheikh yang boleh dikatakan masyhur di Syam tetapi diperintahkan keluar daripada Syam kerana kelantangannya beliau menyatakan kebenaran. Biasalah, sunnah pejuang..! Beliau ialah Sheikh Muhammad ‘Awadh. Pertemuan secara kebetulan di Masjid Nabawi itu tidak akan arjuna lupakan. Kerana apa?.. Bukan kah mendapat doa daripada seorang ulama’ di Masjid Nabawi itu satu memori indah?..
… bersambung..

Tuesday, April 17, 2007

Ya Allah... jiwaku untuk MU..


Assalamualaikum...


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih lagi memberi kita kesempatan untuk terus 'menikmati' segala nikmatnya tanpa sedikit pun bayaran. Segala puji bagi Allah yang Maha Kaya!..Maha pengasih yang tidak pernah pilih kasih..!

Untuk pengetahuan sahabat maya budiman, dalam tempoh dua minggu ini arjuna akan musafir bertemankan haruman sakura ke bumi keramat dan mulia, Mekah dan Madinah. Menunaikan ibadat umrah sambil menyelusuri sejarah permulaan Islam yang dicetuskan oleh Kekasih Allah di sana. Menziarahi makam Baginda, ahli keluarga dan para sahabatnya.

Tiada apa yang arjuna harapkan daripada anda yang menatap kalam pena ini selain mendoakan keselamatan, kelancaran segala urusan dan ibadat yang disembahkan kepadaNYA akan diterima.. Doakan arjuna...!

Di sini juga sebenarnya, arjuna ingin memohon kemaafan kerana sering lewat memberi respon kepada komen dan kalam munaqasyah yang dihantar. Maaf. Bukan tidak sudi, tetapi masa arjuna amat terhad. Maaf sekali lagi.. Namun, arjuna amat menghargai anda semua kerana sudi berkongsi minda dalam ruangan kecil dakwah maya ini.

InsyaAllah, kita jumpa 2 minggu lagi. Larian dakwah ini akan diteruskan.. Lawan tetap lawan..! Sandarkan apa sahaja kerja buat kita pada DIA.. nescaya segala-galanya akan sempurna.. yakinlah!.. padaNYA segala syifa' untuk semua penyakit..! salam mesra syifa' - arjunasakura-

Wednesday, April 11, 2007

Syaitan Menangis..

Assalamualaikum..

Mana-mana pemuda yang telah berkahwin, maka menjeritlah syaitan seraya berkata :
"Aduhai celaka lah diriku,
orang muda ini telah selamat dari tipu dayaku".
-Sabda Rasulullah SAW-

"Sheikh, anta bila lagi..?" Dalam dua tiga hari ini, soalan keramat itulah yang menjadi senjata untuk menyerang arjuna bila umum (pelajar Malaysia di sini) mengetahui Ustaz Zulhimi Abd Rahman dan pasangannya akan melangsungkan perkahwinan. Lebih-lebih lagi teman serumah. Kadang-kadang pedih juga rasanya, namun apa yang boleh arjuna katakan selain menganggap itu satu doa. Kan jodoh ni kerja Allah..?

Ramai yang menganggap perkahwinan itu satu keseronokan dan lazimnya pasangan yang bakal berkahwin akan menerima pelbagai usikan. Memang ia satu kebahagiaan. Namun, disebalik kebahagiaan itu terselit satu amanah yang mesti dilangsaikan.. Amanah dalam mencari redha Tuhan..! Oleh sebab itu, pelayaran bahtera perkawinan amat mencabar kerana ia memerlukan kekuatan terutamanya kekuatan iman!.. Ingat senang ke mahu melahirkan pejuang dan srikandi agama..?

Apepun, dikesempatan yang terbatas ini, arjuna ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua-dua mempelai. Semoga bahtera amanah yang dinaiki akan selamat sampai kepada tujuan yang dicari.. ~ mencari redhaNYA yang hakiki ~..

~ salam syifa' Ilahi ~ -arjunasakura-





Saturday, March 31, 2007

Antara Garam Dan Ajaran Islam

Assalamualaikum..

Mungkin anda yang membaca tajuk entry arjuna pada kali ini tertanya-tanya tentang apa kaitannya garam dan ajaran Islam. Ye tak ye juga..apa kaitannya kan?.. Persoalan inilah yang bergentayangan dalam minda arjuna semasa mula-mula membaca artikel ini. Bila dibaca dan diteliti...rupa-rupanya..... Anda mahu tahu?.. Baca sendiri lah yer..

Garam merupakan sejenis bahan yang mesti disebatikan dalam masakan, tanpa garam masakan yang seharum manapun baunya masih lagi tidak dapat membangkitkan selera dan semestinya tidak tergolong dalam kalangan masakan yang enak dan lazat.

Adapun ajaran Islam, ia merupakan satu ajaran yang sepatutnya menjadi “a way of life” dalam hidup seorang insan. Ajaran Islam merupakan ajaran yang kaffah, liberal dan hadhari, dulu, kini dan selamanya kerana ia tidak dibina atas asas “tetap tidak berubah” sebagaimana yang dikatakan oleh Aristotle.

Bertitik tolak daripada itu, dapat kita simpulkan bahawa kedua-dua perkara ini satu elemen penting dalam kategori masing-masing. Kalau garam penting bagi mempengaruhi rasa masakan, adapun ajaran Islam penting bagi menjamin kehidupan bermutu yang diredhai Allah s.w.t.

Permasalahannya sekarang, kedua-dua perkara ini bersaing hebat dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini untuk menempah kedudukan yang tertinggi sebagai tempat rujuk golongan kini. Sebagai contoh, banyak perkara yang menjadi adat masyarakat kita pada hari ini yang merupakan perkara yang ditokok tambah dalam agama, sedangkan banyak lagi perkara-perkara lain yang lebih penting untuk dilaksanakan.

Paling parah, apabila perkara ini cuba dibangkitkan, ia akan dan sering mendapat tentangan hebat daripada golongan tradisional yang menyifatkan diri mereka sebagai orang yang terlebih dahulu makan garam daripada golongan yang cuba untuk menyampaikan atau menerangkan tasawwur Islam yang sebenar dalam masyarakat.

Malang sekali, garam nampaknya terlebih dahulu mendapat tempat di hati masyarakat kita pada hari ini berbanding daripada ajaran Islam yang sepatutnya perlu lebih difahami. Walaupun kita mengetahui bahawa makan tanpa garam mungkin tidak begitu enak, namun ia mampu mengenyangkan perut. Akan tetapi berbeza dengan ajaran Islam, sebaik manapun amalan yang kita lakukan kalau tidak kena pada caranya ibarat mencurahkan air ke daun keladi, tiada faedah walaupun sebesar habuk.

Konklusinya, terpulang kepada usaha kita untuk menangani kejahilan masyarakat Melayu kita dan inilah tanggungjawab kita yang boleh disifatkan sebagai orang yang terkemudian makan garam, namun kita mungkin telah merasa kebenaran serta kemanisan ajaran yang hakiki terlebih dahulu.

Camne?.. Arjuna rasa anda dah boleh faham apa yang penulis artikel ini ingin sampaikan.. Memang sering berlaku percanggahan antara 'orang tua' dengan 'anak muda'.. Tidak kira percanggahan dari segi kehidupan, hukum dan lain-lain. 'Orang tua' merasakan mereka betul dan 'anak muda' menganggap pandangan orang tua hanya berlandaskan pengalaman bukan kebenaran. Bagi arjuna, selagi percanggahan tersebut tidak melibatkan akidah, carilah satu titik persamaan untuk bersatu. 'Anak muda' kena belajar bagaimana cara untuk mem'benar'kan orang tua dan 'orang tua' mesti menggunakan pengalamannya untuk menerima teguran. Kebijaksaan dalam memberi komentar dan teguran amat penting!.

Mungkin anda masih ingat bagaimana kisah dua orang cucu Baginda Rasulullah S.A.W, Saidina Hasan dan Saidina Husin menegur seorang pakcik tua yang mengambil wudhuk dengan cara yang salah. Bagaimana cara mereka menegur sehingga membuatkan pakcik tersebut tidak kecil hati?.. Mereka berlakon..! Seorang berlakon sebagai orang yang mengambil wudhuk dan seorang lagi menegur kesalahan tersebut.

Secara tidak langsung, pakcik yang berada di tepi mereka ketika itu dapat mengetahui kesalahan yang dia lakukan ketika mengambil wudhuk dan membetulkannnya. Hebatkan cara teguran mereka?.. Ini lah yang perlu kita ambil sebagai panduan.. InsyaAllah.. jernihkan kembali kalau ada yang keruh, tenangkan kembali sungai yang berkocak.. cermin-cermin diri kita untuk menjadi seorang sufi dari semua segi dan dapat menjadi contoh dan ikutan untuk orang lain.. Itulah dakwah!.. salam syifa' dan salam maulidurRasul (SAW) dari Arjuna..

* artikel tersebut dipetik dari majalah Al Kauthar keluaran Keluarga Penuntut Terengganu Syria (KPTS). Hasil garapan minda ; quthoithah... syukran!

Sunday, March 25, 2007

Waktu..

Assalamualaikum..

Tugas lebih banyak daripada waktu!..Ada benarnya kalam Sheikh Hasan Al Banna itu bila menilai pada diri arjuna sekarang ini..Seminggu dua ini arjuna amat sibuk dengan aktiviti persatuan ditambah lagi dengan pengajian yang baru bermula..tu sebab jarang online dan kalau online pun hanya jenguk-jenguk sekejap di samping untuk call keluarga di Malaysia. Bagaimana dengan diri anda?..Mungkin anda mempunyai banyak waktu yang terluang dan kemungkinan juga waktu anda lebih padat dari arjuna..namun, persoalannya, ke mana kita membawa dan mengisi haluan waktu kita..adakah ke arah positif atau sebaliknya..

Mungkin kadang-kadang kita terlupa yang waktu telah memotong kita..berlari laju sepantas kilat sehingga kita tidak menyedari hadirnya kilauan cahayanya..kita lupa yang diri kita terlupa untuk kita tidak lupa dalam merentasi cabaran kehidupan ini.. kadang-kadang kita lagha dengan keseronokan yang ada di sekeliling kita.. dapat makan sedap sehingga lupa kepada mereka yang sedang kelaparan.. dapat bergaya sehingga tidak menyedari sahabat kita yang terpaksa memakai pakaian yang sama kerana kemiskinan.. dapat ber'bluetooth', ber'infared', berhibur dan kemudian bergelak tawa dengan 'telefon canggih' kita sehingga tidak sedar kita telah menggunakannya untuk benda yang melalaikan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim.. Kadang-kadang.. inilah kita!..

Adakah kita ingin terus lupa?..Ingatan untuk arjuna sendiri sebenarnya di samping untuk sama-sama kita merenungnya...kerana..waktu itu tajam, bak pedang...andai kita tidak memotongnya.. ia akan memotong kita.. kuasailah waktu..!

Bercakap tentang waktu.. Arjuna terbaca dalam keratan akhbar versi maya ini tentang Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang waktu ini telah menyambut ulang tahun penubuhan yang ke 200.. Tahniah arjuna ucapkan..! Tahniah juga kerana PDRM telah diiktiraf sebagai antara polis terbaik di dunia.. satu pencapaian yang boleh dikatakan hebat.. Namun, bagi arjuna sendiri..walaupun dunia memandang PDRM hebat, tetapi PDRM perlu mengkaji dan sentiasa bermuhasabah tentang pencapaian PDRM dalam negara kita sendiri.. Kerana orang luar memandang kita hebat kerana kadang-kadang mereka hanya lihat pada kulit..tidak pada isinya.. seperti kita lihat buah durian..memang kat luarnya nampak elok.. warna boleh tahan.. tapi boleh confirm ke bagaimana isinya?.. Kalau kuning elok pun.. mungkin juga ia masam.. tidak manis seperti yang diharapkan.. Tidak begitu?..

Arjuna timbulkan benda ini kerana arjuna lihat PDRM masih gagal dalam menyelesaikan beberapa masalah besar dalam negara kita..antaranya masalah pelacuran yang semakin berleluasa.. Malah arjuna sifatkan semakin menggila..! Anda boleh lihat sendiri dalam laporan akhbar yang boleh dikatakan setiap hari ada menyiarkan berita tentang pelacuran.. dan yang sedihnya ia melibatkan golongan remaja dan mahasiswa IPTA/S harapan negara..! Belum lagi masalah rasuah di kalangan anggota polis sendiri dan masalah dadah, pil kuda, ectasy dan lain-lain yang sering di dedahkan dalam akhbar - akhbar perdana..

Bagi arjuna , PDRM akan dianggap berjaya jika boleh menyelesaikan masalah ini.. kerana masalah ini lah salah satu faktor kerosakan akhlak muda mudi dan kemusnahan institusi kekeluargaan yang mangakibatkan negara akan ketandusan remaja yang berkualiti untuk menjadi pelapis kepada pimpinan negara.. ! Ini tanggungjawab yang besar dan wajib dilakukan walaupun PDRM tidak mendapat apa-apa pengiktirafan sekalipun!.. Apa guna kita dipandang mulia walaupun hakikatnya kita hina?.. Jangan mengharapkan sanjungan manusia kerana redha Allah itu yang didamba..!
Moga kita semua mendapat keredhaan Allah tidak kira siapa pun kita.. Tingkatkan darjat taqwa dan iman kita.. kerana takutkan Allah itulah penyelesaian kepada semua masalah.. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah nasib mereka sendiri..! Anda mahu negara kita aman?.. Sama- sama kita berubah!.. Beriman, Bertaqwa, Berilmu, Beramal, Beristiqamah barulah..Bersih, Cekap, Amanah..! salam syifa' Ilahi..

Tuesday, March 13, 2007

MUSIM MEN ‘TAG’..LAYAN JAP...

Assalamualaikum…

Terima kasih Bayu Senja kerana sudi tag arjuna untuk meneruskan kesinambungan virus pelik ni. Hairan juga, nak cari benda pelik pada diri kita amat susah. Terpaksa bertanya pada teman-teman rapat. Teringat pesan bonda ; Kalau kita tengok cermin, kita hanya akan dapat lihat bahagian depan kita sahaja..tidak pada bahagian belakang.
Jadi, tanya-tanya lah teman-teman kita…bagaimana keadaan bahagian belakang kita..kot-kot ada debu..atau banyak kekotoran lain..!Minta tolong dia bersihkan!..; Itulah peranan teman. Memberikan semangat andai kita dilanda masalah..Memberi peringatan andai kita kealpaan..Mengangkat kita andai kita terjatuh!..Moga anda semua boleh memainkan peranan sebagai teman kepada arjuna..InsyaAllah.

Ok..tanpa berlengah..Arjuna akhirkan pencarian virus pelik pada arjuna ini…Bayu..baca betul-betul..

1. Orang kata, arjuna ni sombong tapi mesra. Pelik kan?.Yang selalu dengar teman tapi mesra..Ye la..sepanjang berada di Damsyik ini, boleh bilang dengan jari berapa buah rumah yang arjuna pergi ziarah..dari segi kekerapan dan sebagainya..tetapi bila arjuna jumpa teman-teman kat mana-mana…mesranya mengalahkan pernah tidur sebantal dengan mereka..betul ke Bayu ?..Hakim.. ?

2. Orang kata, orang lain kalau waktu sakit, makan takkan berselera..tapi arjuna ni waktu sakit la makan bertambah berselera..nak makan macam-macam..banyak pula tue..terutamanya puding gula hangus..(ada makna nie..)

3. Arjuna boleh dan senang berkarya di waktu sibuk, idea datang mencurah-curah walaupun masa amat terhad tetapi amat sukar dan susah untuk berkarya di waktu lapang..

4. Tidak selesa jika ada orang memerhati ketika arjuna berkarya. Rasa macam..entah..tetapi memang tidak selesa..

5. Berminat dengan sukan ping pong dan pernah mewakili sekolah tetapi langsung tidak berminat nak ambil tahu perkembangan tentang sukan ini.

Alhamdulillah..hanya ini sahaja yang ditemui dalam pencarian virus pelik pada diri arjuna..Seterusnya suka untuk arjuna teruskan tag ini kepada :

- teratakteratai
- antusufi
- kak gee..(kalau sempat)
...salam syifa' Ilahi.. ;)