Saturday, May 26, 2007

Catatan Haramain (2) : Makkah Mukarramah

Makkah Mukarramah. Bumi berkat. Perjalanan menaiki bas yang memakan masa selama 4 jam lebih dari Madinah Munawwarah ini amat mendebarkan. Debaran menjadi tetamu Allah! Sudikah diterima menjadi tetamuNYA? Dengan dosa yang menggunung… Ahh..
“Husnu Dzon dengan Allah..”!
Pesanan seorang sheikh kepada arjuna bergentayangan dalam minda. Ingatan yang sentiasa menjadi ubat jiwa. Padang pasir dan cuaca panas yang menghiasi perjalanan amat memboringkan. Namun, padang pasir ini lah yang menjadi saksi laluan penghijrahan Rasulullah S.A.W bersama Saidina Abu Bakar dahulu, cuaca panas inilah yang membakar kulit Baginda dahulu.. Ingat kalam seorang sheikh
“ Andai doa sahaja mampu untuk memberi kemenangan kepada perjuangan Islam, nescaya Rasulullah S.A.W tidak perlu bersusah payah dalam perjuangan menegakkan Islam. Tapi, tidak! Perjuangan Islam menuntut kesakitan, kepayahan dan pelbagai pengorbanan lagi..!”.
Sama-sama kita beristighfar kepada Allah..!

Kami tiba di bumi Makkah Mukarramah pada waktu malam. Pihak rombongan bersepakat untuk menyelesaikan ibadat umrah pada malam itu juga. Jiwa arjuna kembali berdebar, kali bukan debaran kerisauan tetapi debaran tidak sabar! Dari jauh terpancar kilauan cahaya lampu dari Masjidil Haram yang bersinar megah. Di sanalah tersergamnya kiblat muslim yang dinamakan Kaabah. Kami berjalan kaki dari hotel ke Masjidil Haram. Lafaz talbiah dilaungkan beramai-ramai. Berjemaah. Nurani dipaluti rasa kuat. Tenang. Apabila sampai di Masjidil Haram, kami dibawa masuk melalui Pintu Malik Fahd. Salah satu pintu utama di masjid tersebut. Sheikh yang mengiringi kami meminta supaya kami berjalan dengan menundukkan kepala, berpegangan tangan sambil mengucapkan talbiah dan banyak mengingati Allah. Pelbagai rasa berombak dalam jiwa. Bergelora. Mengapa tidak..? Beberapa minit lagi arjuna buat pertama kalinya akan menatap Kaabah, kiblat umat Muhammad seluruh dunia..! Langkahan kami makin perlahan dan kami diminta untuk mengangkat wajah, Ahh.. macam tidak percaya.. tapi inilah hakikatnya.. terasa kerdil dan hinanya diri ini.. di hadapan arjuna sekarang ini adalah Kaabah..! Tiada lafaz kesyukuran yang mampu arjuna gambarkan. MasyaAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

Semasa tawaf, arjuna sering hilang tumpuan bila melalui bahagian penjuru Kaabah di mana tempat diletakkan Hajar Al Aswad. Orang ramai berebut-rebut untuk mencium batu yang datangnya dari syurga itu sehingga berlakunya pergaduhan. Seolah-olah menjadi satu rukun umrah pula untuk menciumnya. Risau juga jika ibadat yang diimpi membuahkan berkat akan bertukar menjadi laknat. Bukankah bergaduh di hadapan Kaabah itu satu perbuatan biadap dan tidak beradab?. Sejurus selepas mengerjakan tawaf, kami terus ke ruang Saie’. Sebelum ini anggapan arjuna bahawa jarak antara Safa dan Marwah tidak lah jauh sangat, rupanya- rupanya.. boleh tahan juga..:). Apepun, Alhamdulillah, kami dapat menyelesaikan ibadat umrah 2 jam selepas itu. Terasa sejuk kepala di sapa angin Makkah. Ya.. sejuk, kerana kepala sudah dilicinkan!..He2.. First time dalam hidup..!
.... bersambung..

1 comment:

CerminDiri said...

salam kehidupan,

alhamdulillah,sudah pun selamat sampai ke sini semula.
pasti ia satu kenangan yang diingini cermin, namun masih belum kesampaian.