Saturday, March 31, 2007

Antara Garam Dan Ajaran Islam

Assalamualaikum..

Mungkin anda yang membaca tajuk entry arjuna pada kali ini tertanya-tanya tentang apa kaitannya garam dan ajaran Islam. Ye tak ye juga..apa kaitannya kan?.. Persoalan inilah yang bergentayangan dalam minda arjuna semasa mula-mula membaca artikel ini. Bila dibaca dan diteliti...rupa-rupanya..... Anda mahu tahu?.. Baca sendiri lah yer..

Garam merupakan sejenis bahan yang mesti disebatikan dalam masakan, tanpa garam masakan yang seharum manapun baunya masih lagi tidak dapat membangkitkan selera dan semestinya tidak tergolong dalam kalangan masakan yang enak dan lazat.

Adapun ajaran Islam, ia merupakan satu ajaran yang sepatutnya menjadi “a way of life” dalam hidup seorang insan. Ajaran Islam merupakan ajaran yang kaffah, liberal dan hadhari, dulu, kini dan selamanya kerana ia tidak dibina atas asas “tetap tidak berubah” sebagaimana yang dikatakan oleh Aristotle.

Bertitik tolak daripada itu, dapat kita simpulkan bahawa kedua-dua perkara ini satu elemen penting dalam kategori masing-masing. Kalau garam penting bagi mempengaruhi rasa masakan, adapun ajaran Islam penting bagi menjamin kehidupan bermutu yang diredhai Allah s.w.t.

Permasalahannya sekarang, kedua-dua perkara ini bersaing hebat dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini untuk menempah kedudukan yang tertinggi sebagai tempat rujuk golongan kini. Sebagai contoh, banyak perkara yang menjadi adat masyarakat kita pada hari ini yang merupakan perkara yang ditokok tambah dalam agama, sedangkan banyak lagi perkara-perkara lain yang lebih penting untuk dilaksanakan.

Paling parah, apabila perkara ini cuba dibangkitkan, ia akan dan sering mendapat tentangan hebat daripada golongan tradisional yang menyifatkan diri mereka sebagai orang yang terlebih dahulu makan garam daripada golongan yang cuba untuk menyampaikan atau menerangkan tasawwur Islam yang sebenar dalam masyarakat.

Malang sekali, garam nampaknya terlebih dahulu mendapat tempat di hati masyarakat kita pada hari ini berbanding daripada ajaran Islam yang sepatutnya perlu lebih difahami. Walaupun kita mengetahui bahawa makan tanpa garam mungkin tidak begitu enak, namun ia mampu mengenyangkan perut. Akan tetapi berbeza dengan ajaran Islam, sebaik manapun amalan yang kita lakukan kalau tidak kena pada caranya ibarat mencurahkan air ke daun keladi, tiada faedah walaupun sebesar habuk.

Konklusinya, terpulang kepada usaha kita untuk menangani kejahilan masyarakat Melayu kita dan inilah tanggungjawab kita yang boleh disifatkan sebagai orang yang terkemudian makan garam, namun kita mungkin telah merasa kebenaran serta kemanisan ajaran yang hakiki terlebih dahulu.

Camne?.. Arjuna rasa anda dah boleh faham apa yang penulis artikel ini ingin sampaikan.. Memang sering berlaku percanggahan antara 'orang tua' dengan 'anak muda'.. Tidak kira percanggahan dari segi kehidupan, hukum dan lain-lain. 'Orang tua' merasakan mereka betul dan 'anak muda' menganggap pandangan orang tua hanya berlandaskan pengalaman bukan kebenaran. Bagi arjuna, selagi percanggahan tersebut tidak melibatkan akidah, carilah satu titik persamaan untuk bersatu. 'Anak muda' kena belajar bagaimana cara untuk mem'benar'kan orang tua dan 'orang tua' mesti menggunakan pengalamannya untuk menerima teguran. Kebijaksaan dalam memberi komentar dan teguran amat penting!.

Mungkin anda masih ingat bagaimana kisah dua orang cucu Baginda Rasulullah S.A.W, Saidina Hasan dan Saidina Husin menegur seorang pakcik tua yang mengambil wudhuk dengan cara yang salah. Bagaimana cara mereka menegur sehingga membuatkan pakcik tersebut tidak kecil hati?.. Mereka berlakon..! Seorang berlakon sebagai orang yang mengambil wudhuk dan seorang lagi menegur kesalahan tersebut.

Secara tidak langsung, pakcik yang berada di tepi mereka ketika itu dapat mengetahui kesalahan yang dia lakukan ketika mengambil wudhuk dan membetulkannnya. Hebatkan cara teguran mereka?.. Ini lah yang perlu kita ambil sebagai panduan.. InsyaAllah.. jernihkan kembali kalau ada yang keruh, tenangkan kembali sungai yang berkocak.. cermin-cermin diri kita untuk menjadi seorang sufi dari semua segi dan dapat menjadi contoh dan ikutan untuk orang lain.. Itulah dakwah!.. salam syifa' dan salam maulidurRasul (SAW) dari Arjuna..

* artikel tersebut dipetik dari majalah Al Kauthar keluaran Keluarga Penuntut Terengganu Syria (KPTS). Hasil garapan minda ; quthoithah... syukran!

1 comment:

banggugar said...

salam arjuna,
saya 'mengamuk dlm blog' bukan sbb gram..
(",)