Saturday, March 31, 2007

Antara Garam Dan Ajaran Islam

Assalamualaikum..

Mungkin anda yang membaca tajuk entry arjuna pada kali ini tertanya-tanya tentang apa kaitannya garam dan ajaran Islam. Ye tak ye juga..apa kaitannya kan?.. Persoalan inilah yang bergentayangan dalam minda arjuna semasa mula-mula membaca artikel ini. Bila dibaca dan diteliti...rupa-rupanya..... Anda mahu tahu?.. Baca sendiri lah yer..

Garam merupakan sejenis bahan yang mesti disebatikan dalam masakan, tanpa garam masakan yang seharum manapun baunya masih lagi tidak dapat membangkitkan selera dan semestinya tidak tergolong dalam kalangan masakan yang enak dan lazat.

Adapun ajaran Islam, ia merupakan satu ajaran yang sepatutnya menjadi “a way of life” dalam hidup seorang insan. Ajaran Islam merupakan ajaran yang kaffah, liberal dan hadhari, dulu, kini dan selamanya kerana ia tidak dibina atas asas “tetap tidak berubah” sebagaimana yang dikatakan oleh Aristotle.

Bertitik tolak daripada itu, dapat kita simpulkan bahawa kedua-dua perkara ini satu elemen penting dalam kategori masing-masing. Kalau garam penting bagi mempengaruhi rasa masakan, adapun ajaran Islam penting bagi menjamin kehidupan bermutu yang diredhai Allah s.w.t.

Permasalahannya sekarang, kedua-dua perkara ini bersaing hebat dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini untuk menempah kedudukan yang tertinggi sebagai tempat rujuk golongan kini. Sebagai contoh, banyak perkara yang menjadi adat masyarakat kita pada hari ini yang merupakan perkara yang ditokok tambah dalam agama, sedangkan banyak lagi perkara-perkara lain yang lebih penting untuk dilaksanakan.

Paling parah, apabila perkara ini cuba dibangkitkan, ia akan dan sering mendapat tentangan hebat daripada golongan tradisional yang menyifatkan diri mereka sebagai orang yang terlebih dahulu makan garam daripada golongan yang cuba untuk menyampaikan atau menerangkan tasawwur Islam yang sebenar dalam masyarakat.

Malang sekali, garam nampaknya terlebih dahulu mendapat tempat di hati masyarakat kita pada hari ini berbanding daripada ajaran Islam yang sepatutnya perlu lebih difahami. Walaupun kita mengetahui bahawa makan tanpa garam mungkin tidak begitu enak, namun ia mampu mengenyangkan perut. Akan tetapi berbeza dengan ajaran Islam, sebaik manapun amalan yang kita lakukan kalau tidak kena pada caranya ibarat mencurahkan air ke daun keladi, tiada faedah walaupun sebesar habuk.

Konklusinya, terpulang kepada usaha kita untuk menangani kejahilan masyarakat Melayu kita dan inilah tanggungjawab kita yang boleh disifatkan sebagai orang yang terkemudian makan garam, namun kita mungkin telah merasa kebenaran serta kemanisan ajaran yang hakiki terlebih dahulu.

Camne?.. Arjuna rasa anda dah boleh faham apa yang penulis artikel ini ingin sampaikan.. Memang sering berlaku percanggahan antara 'orang tua' dengan 'anak muda'.. Tidak kira percanggahan dari segi kehidupan, hukum dan lain-lain. 'Orang tua' merasakan mereka betul dan 'anak muda' menganggap pandangan orang tua hanya berlandaskan pengalaman bukan kebenaran. Bagi arjuna, selagi percanggahan tersebut tidak melibatkan akidah, carilah satu titik persamaan untuk bersatu. 'Anak muda' kena belajar bagaimana cara untuk mem'benar'kan orang tua dan 'orang tua' mesti menggunakan pengalamannya untuk menerima teguran. Kebijaksaan dalam memberi komentar dan teguran amat penting!.

Mungkin anda masih ingat bagaimana kisah dua orang cucu Baginda Rasulullah S.A.W, Saidina Hasan dan Saidina Husin menegur seorang pakcik tua yang mengambil wudhuk dengan cara yang salah. Bagaimana cara mereka menegur sehingga membuatkan pakcik tersebut tidak kecil hati?.. Mereka berlakon..! Seorang berlakon sebagai orang yang mengambil wudhuk dan seorang lagi menegur kesalahan tersebut.

Secara tidak langsung, pakcik yang berada di tepi mereka ketika itu dapat mengetahui kesalahan yang dia lakukan ketika mengambil wudhuk dan membetulkannnya. Hebatkan cara teguran mereka?.. Ini lah yang perlu kita ambil sebagai panduan.. InsyaAllah.. jernihkan kembali kalau ada yang keruh, tenangkan kembali sungai yang berkocak.. cermin-cermin diri kita untuk menjadi seorang sufi dari semua segi dan dapat menjadi contoh dan ikutan untuk orang lain.. Itulah dakwah!.. salam syifa' dan salam maulidurRasul (SAW) dari Arjuna..

* artikel tersebut dipetik dari majalah Al Kauthar keluaran Keluarga Penuntut Terengganu Syria (KPTS). Hasil garapan minda ; quthoithah... syukran!

Sunday, March 25, 2007

Waktu..

Assalamualaikum..

Tugas lebih banyak daripada waktu!..Ada benarnya kalam Sheikh Hasan Al Banna itu bila menilai pada diri arjuna sekarang ini..Seminggu dua ini arjuna amat sibuk dengan aktiviti persatuan ditambah lagi dengan pengajian yang baru bermula..tu sebab jarang online dan kalau online pun hanya jenguk-jenguk sekejap di samping untuk call keluarga di Malaysia. Bagaimana dengan diri anda?..Mungkin anda mempunyai banyak waktu yang terluang dan kemungkinan juga waktu anda lebih padat dari arjuna..namun, persoalannya, ke mana kita membawa dan mengisi haluan waktu kita..adakah ke arah positif atau sebaliknya..

Mungkin kadang-kadang kita terlupa yang waktu telah memotong kita..berlari laju sepantas kilat sehingga kita tidak menyedari hadirnya kilauan cahayanya..kita lupa yang diri kita terlupa untuk kita tidak lupa dalam merentasi cabaran kehidupan ini.. kadang-kadang kita lagha dengan keseronokan yang ada di sekeliling kita.. dapat makan sedap sehingga lupa kepada mereka yang sedang kelaparan.. dapat bergaya sehingga tidak menyedari sahabat kita yang terpaksa memakai pakaian yang sama kerana kemiskinan.. dapat ber'bluetooth', ber'infared', berhibur dan kemudian bergelak tawa dengan 'telefon canggih' kita sehingga tidak sedar kita telah menggunakannya untuk benda yang melalaikan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim.. Kadang-kadang.. inilah kita!..

Adakah kita ingin terus lupa?..Ingatan untuk arjuna sendiri sebenarnya di samping untuk sama-sama kita merenungnya...kerana..waktu itu tajam, bak pedang...andai kita tidak memotongnya.. ia akan memotong kita.. kuasailah waktu..!

Bercakap tentang waktu.. Arjuna terbaca dalam keratan akhbar versi maya ini tentang Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang waktu ini telah menyambut ulang tahun penubuhan yang ke 200.. Tahniah arjuna ucapkan..! Tahniah juga kerana PDRM telah diiktiraf sebagai antara polis terbaik di dunia.. satu pencapaian yang boleh dikatakan hebat.. Namun, bagi arjuna sendiri..walaupun dunia memandang PDRM hebat, tetapi PDRM perlu mengkaji dan sentiasa bermuhasabah tentang pencapaian PDRM dalam negara kita sendiri.. Kerana orang luar memandang kita hebat kerana kadang-kadang mereka hanya lihat pada kulit..tidak pada isinya.. seperti kita lihat buah durian..memang kat luarnya nampak elok.. warna boleh tahan.. tapi boleh confirm ke bagaimana isinya?.. Kalau kuning elok pun.. mungkin juga ia masam.. tidak manis seperti yang diharapkan.. Tidak begitu?..

Arjuna timbulkan benda ini kerana arjuna lihat PDRM masih gagal dalam menyelesaikan beberapa masalah besar dalam negara kita..antaranya masalah pelacuran yang semakin berleluasa.. Malah arjuna sifatkan semakin menggila..! Anda boleh lihat sendiri dalam laporan akhbar yang boleh dikatakan setiap hari ada menyiarkan berita tentang pelacuran.. dan yang sedihnya ia melibatkan golongan remaja dan mahasiswa IPTA/S harapan negara..! Belum lagi masalah rasuah di kalangan anggota polis sendiri dan masalah dadah, pil kuda, ectasy dan lain-lain yang sering di dedahkan dalam akhbar - akhbar perdana..

Bagi arjuna , PDRM akan dianggap berjaya jika boleh menyelesaikan masalah ini.. kerana masalah ini lah salah satu faktor kerosakan akhlak muda mudi dan kemusnahan institusi kekeluargaan yang mangakibatkan negara akan ketandusan remaja yang berkualiti untuk menjadi pelapis kepada pimpinan negara.. ! Ini tanggungjawab yang besar dan wajib dilakukan walaupun PDRM tidak mendapat apa-apa pengiktirafan sekalipun!.. Apa guna kita dipandang mulia walaupun hakikatnya kita hina?.. Jangan mengharapkan sanjungan manusia kerana redha Allah itu yang didamba..!
Moga kita semua mendapat keredhaan Allah tidak kira siapa pun kita.. Tingkatkan darjat taqwa dan iman kita.. kerana takutkan Allah itulah penyelesaian kepada semua masalah.. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah nasib mereka sendiri..! Anda mahu negara kita aman?.. Sama- sama kita berubah!.. Beriman, Bertaqwa, Berilmu, Beramal, Beristiqamah barulah..Bersih, Cekap, Amanah..! salam syifa' Ilahi..

Tuesday, March 13, 2007

MUSIM MEN ‘TAG’..LAYAN JAP...

Assalamualaikum…

Terima kasih Bayu Senja kerana sudi tag arjuna untuk meneruskan kesinambungan virus pelik ni. Hairan juga, nak cari benda pelik pada diri kita amat susah. Terpaksa bertanya pada teman-teman rapat. Teringat pesan bonda ; Kalau kita tengok cermin, kita hanya akan dapat lihat bahagian depan kita sahaja..tidak pada bahagian belakang.
Jadi, tanya-tanya lah teman-teman kita…bagaimana keadaan bahagian belakang kita..kot-kot ada debu..atau banyak kekotoran lain..!Minta tolong dia bersihkan!..; Itulah peranan teman. Memberikan semangat andai kita dilanda masalah..Memberi peringatan andai kita kealpaan..Mengangkat kita andai kita terjatuh!..Moga anda semua boleh memainkan peranan sebagai teman kepada arjuna..InsyaAllah.

Ok..tanpa berlengah..Arjuna akhirkan pencarian virus pelik pada arjuna ini…Bayu..baca betul-betul..

1. Orang kata, arjuna ni sombong tapi mesra. Pelik kan?.Yang selalu dengar teman tapi mesra..Ye la..sepanjang berada di Damsyik ini, boleh bilang dengan jari berapa buah rumah yang arjuna pergi ziarah..dari segi kekerapan dan sebagainya..tetapi bila arjuna jumpa teman-teman kat mana-mana…mesranya mengalahkan pernah tidur sebantal dengan mereka..betul ke Bayu ?..Hakim.. ?

2. Orang kata, orang lain kalau waktu sakit, makan takkan berselera..tapi arjuna ni waktu sakit la makan bertambah berselera..nak makan macam-macam..banyak pula tue..terutamanya puding gula hangus..(ada makna nie..)

3. Arjuna boleh dan senang berkarya di waktu sibuk, idea datang mencurah-curah walaupun masa amat terhad tetapi amat sukar dan susah untuk berkarya di waktu lapang..

4. Tidak selesa jika ada orang memerhati ketika arjuna berkarya. Rasa macam..entah..tetapi memang tidak selesa..

5. Berminat dengan sukan ping pong dan pernah mewakili sekolah tetapi langsung tidak berminat nak ambil tahu perkembangan tentang sukan ini.

Alhamdulillah..hanya ini sahaja yang ditemui dalam pencarian virus pelik pada diri arjuna..Seterusnya suka untuk arjuna teruskan tag ini kepada :

- teratakteratai
- antusufi
- kak gee..(kalau sempat)
...salam syifa' Ilahi.. ;)

Friday, March 2, 2007

BPR Yang Tempang..

Assalamualaikum..

Pelik dan hairan bila arjuna membaca berita tentang kes rasuah dan salah laku seks ‘orang paling berkuasa’ di Badan Pencegah Rasuah Malaysia, badan yang bertanggungjawab memerangi virus rasuah yang semakin membarah di kalangan masyarakat khususnya para pimpinan negara kita.

Kes-kes memalukan yang melibatkan beliau itu dilaporkan pada 1997 dan seterusnya beliau dilantik menjadi ‘orang paling berkuasa’ dalam badan tersebut pada tahun 2001. 5 tahun selepas itu!..Dan yang menjadi ke‘pelik’an dan ke‘hairan’annya mengapa dia dilantik walaupun telah ada rekod yang buruk malah dikekalkan sehingga kini?..Tidak kedengaran pula suara-suara merdu para ulama’ kerajaan mempersoalkan benda ni walaupun sering kedengaran hebat semasa membicarakan tentang ‘kayu kokka’, ‘tahlil’ dan kebanyakan benda khilaf yang lain.. Di mana akal cerdik pandai dalam kerajaan khususnya ‘orang yang paaaling berkuasa, hebat, disanjung’ yang sudah mengisytiharkan perang kepada virus rasuah ini?.. Mengapa lupa atau buat-buat lupa untuk memikirkan benda ini?..

Arjuna ingin bertanya anda semua..Rasional atau tidak kalau kita meminta orang yang sudah tempang kakinya untuk berlumba lari?..Malah dipinta untuk memegang obor pula tu…? Sedangkan di hadapan kita ramai lagi orang yang mampu untuk memecut...Anak saudara arjuna yang darjah 4 pun dapat menjawab dengan tepat soalan ini..Takkan anda tak boleh jawab kot…

Mungkin ini lah ke‘cemerlang’an, ke‘gemilang’an dan ke‘terbilang’an yang diimpikan oleh para pimpinan negara kita.. Cemerlang dengan kejayaan menipu rakyat, gemilang dengan cahaya maksiat yang menggila dan terbilang dengan kemajuan yang melampaui batasan keperluan insan sehingga rakyat lupa pada Tuhan!..

Sedangkan jelas dalam Hadis Baginda S.A.W bahawa orang yang memberi rasuah dan orang menerima rasuah itu akan disumbat ke dalam neraka. (Nauzubillah..!). Di mana kedudukan hadis ini dalam negara Islam Had hari?..Yang sering dilaungkan adalah.. ;

"Para pimpinan kita bersih daripada rasuah"..
"Kita akan memerangi rasuah"..
Ya..betul.. Bersih.. Tapi dalam kekotoran yang amat jijik dan dengan menggunakan kalam retorik yang begitu memualkan..!

Sekarang,.. fikirlah dengan iman anda di mana letaknya mentaliti pimpinan negara kita.. Jawapannya.. Kita sedang ditipu oleh kata-kata manis mereka..! Diulangi..KITA SEDANG DITIPU..dan DI PERMAINKAN oleh mereka!..

Bangkitlah!..Mulakan anjakan minda kita sekarang kerana tika ini bukan masa untuk kita mencari Al-Ghazali atau Al-Syafei lagi..Tetapi adalah masa untuk kita mempraktikalkan teori kebenaran dan keikhlasan yang diperjuangkan oleh mereka!..Sedarlah..Jika anda sayangkan agama kita..Jangan sesekali biarkan ia dipijak lumat di kaki-kaki mereka yang terlampau gila kan dunia!..

Dan kepada para ulama’ had hari..arjuna ingin sampaikan kalam Ibn Qudamah Al Maqdisi yang terdapat dalam kitab Minhajul Qaasidin kepada anda semua :

“ Sebaik-baik pemerintah ialah dia datang ke pintu ulama’ dan seburuk-buruk ulama’ ialah dia datang ke pintu pemerintah..! Berhatilah-hatilah dengan ulama’ yang datang ke pintu pemerintah kerana dia adalah PENCURI..! "

Fikirlah dengan meletakkan iman dan taqwa di hadapan. Kita yang menentukan masa depan negara kita!..Salam syifa’ Ilahi..

Monday, February 19, 2007

Alaa..Sunat Jer..

Assalamualaikum..

Perbualan dua orang yang bergelar mahasiswa agama..
Agamawan 1 :“ Jap, ana nak solat sunat..”
Agamawan 2 :“ Alaa..sheikh, kita dah lewat nie..kan sunat je..pameran tu dah bermula dah..”

Perbualan 2 orang pakcik di masjid..
Pakcik 1 :“ Eh, semalam saya ada baca dalam buku, solat sunat selepas Zohor ni dituntut dalam agama..”
Pakcik 2 :“ Betul ker??..Nampaknya kita kena istiqamah la selepas ni..”


Dua perbualan yang anda baca kat atas ni merupakan kejadian yang benar- benar berlaku dalam masyarakat sekarang. Mungkin tidak secara majoriti..namun tak salah untuk kita menyedarkan mereka yang tergolong dalam minoriti. Orang yang berilmu menjadikan ‘ilmu’ yang dipelajarinya sebagai platform untuk kepuasan nafsunya. Mereka bermudah-mudah dalam mengamalkan sesuatu hukum. Mereka berusaha mencari pandangan yang dhoif untuk menghalalkan kehendak mereka yang bukan merupakan keperluan walaupun terpaksa mengorbankan pandangan yang lebih kuat..sedangkan mereka orang yang berilmu..sepatutnya pandangan yang lebih kuat menjadi keutamaan untuk diamalkan namun sebaliknya yang berlaku.

Memang banyak alasan yang diberikan, antaranya waqie’ dan maslahah-maslahah yang kalau dikaji dengan mendalam tidak sampai tahap dhoruri pun untuk berbuat demikian. Arjuna mengambil contoh rokok, memang ternyata bahaya dari segi kesihatan kepada si perokok dan majoriti ulama’ Mesir pernah memfatwakannya HARAM begitu juga dengan para ulama’ besar dunia. Tetapi oleh kerana ada pandangan yang mengatakan MAKRUH..para ulama’ yang tergolong dalam minoriti ini mengambil kesempatan untuk menjadikan ia hujah dengan alasan KHILAF..lebih-lebih lagi kalau mereka ingin cepat popular dalam masyarakat dan mereka sendiri bergelar perokok!!..Ketika ini, di mana wara’ seorang ulama’ semasa mengeluarkan hukum?..Anda boleh kiaskan contoh rokok ini dengan mengambil contoh-contoh lain seperti permusafiran wanita tanpa mahram dan sebagainya. Ingat, beratus pandangan dhoif yang boleh kita gali untuk mem‘benar’kan kemahuan kita walaupun tidak senada dengan pandangan yang kuat. Kan khilaf..Namun, adakah itu cara yang terbaik bagi kita terutamanya mereka yang bergelar agamawan??..


Sedangkan kalau benda-benda lain kita mahukan yang terbaik dalam segala hal..isteri mahukan yang cantik, makan mahukan yang sedap, pakaian mahukan yang berjenama..tapi, dalam mempraktikkan hukum, kita bermudah-mudah dengan mengikut irama kehendak kita yang memang tiada batasan..Lain la kalau terpaksa..!..Tepuk hati, buang emosi, ingat Ilahi!..

Mungkin anda masih ingat tentang kes penulis kontroversi dan sensasi Astora Jabat yang mengeluarkan pelbagai hukum dengan menggunakan pandangan yang dhoif semata-mata bagi arjuna ingin sujud kepada pihak ‘Islam Had hari’ yang mahu mengalihkan perhatian masyarakat daripada memikirkan benda-benda ‘besar’ (rasuah dikalangan pemimpin negara, penganiayaan kepada rakyat dan lain-lain) kepada memikirkan benda-benda ‘kecil’ (dengan membesarkan benda khilaf yang sudah maa’ruf di kalangan masyarakat).

Begitu juga dengan kes penyelewengan istilah yang telah menghalalkan banyak benda yang haram di kalangan masyarakat kita yang kebanyakannya kurang mendalami ilmu agama. Contohnya istilah ‘rasuah’ di tukar kepada ‘politik wang’, istilah ‘riba’ ditukar kepada ‘faedah’ dan banyak lagi kalau kita kaji dengan mendalam. Teruk!.

Lain pula dengan orang yang jahil. Mereka menjadikan ‘ilmu’ yang dipelajarinya daripada guru sebagai ilmu yang amat berharga. Mereka akan beramal dengan apa yang dipelajarinya walaupun benda tu sunat. Mereka berusaha mencari pandangan yang kuat dalam sesuatu hukum untuk diamalkan. Perbezaan yang amat ketara antara kedua-duanya..Terbalik! Tapi, inilah hakikatnya..

Arjuna teringat kalam seorang guru di Malaysia dulu, bila kami bertanyakan tentang hukum memakai kopiah dan jubah. Beliau mengatakan kedua-duanya merupakan sunnah Rasulullah SAW. Hukumnya sunat. Tapi, arjuna tersentuh bila beliau mengatakan ;

“ Kalau kita sebagai agamawan tidak mengamalkan sunnah, siapa lagi yang boleh diharapkan ?,”..

Arjuna tahu ia khilaf. Namun, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengatakan ;


“ Kita sebagai pendakwah ada pakaian kita. Antum boleh bayang ke seorang ulama’ pakai seluar jeans dan baca kitab di masjid,” ujar beliau ketika kami (pimpinan MPP Maahad Muhammadi Lelaki) menziarahi beliau untuk mengadu tentang masalah ‘tie’ dan ‘serban’ di sekolah kami satu ketika dulu.

Namun, kita juga tidak boleh menafikan kepentingan waqie’ dan maslahah lain yang membuatkan sesuatu hukum itu berubah..Sebab tu kita ada Fiqh Dakwah, Fiqh Muwazanat, Fiqh Awlawiyat dan sebagainya. Mungkin apa yang arjuna utarakan ini bersalahan dengan pendapat anda, tepuk dada tanya iman..Apa yang penting kita membuat sesuatu berlandaskan ilmu bukan nafsu. Justeru, sekarang..cuba lihat sekeliling anda..Baiki apa yang rosak..Tampal kat mana yang bocor..Bawa pi klinik kalau ada yang sakit..salam syifa’..

Wednesday, February 14, 2007

Teman..

Bersama mengharungi hujan salji yang lebat...



Kenangan yang akan kekal di ingatan..


Bersiap sedia sebelum pi main salji...muka tak sabar-sabar..


Teman..
Bersaksikan teratak taqwa..
Kita mengorak langkah bersama..
Rebah..ujian dariNYA..
Bangkit..syukur padaNYA..
Kita redha panahan ujian jiwa..
Demi memburu liarnya cita..

Teman..
Seringkali tawa kita dalam duka..
Seringkali tabah kita dalam kecewa..
Kegembiraan kita seketika cuma..
Tika itu..
Warkah cinta Ilahi pengubat lara..
Irama pujian kekasih Rabbi penghibur sukma..
Serasa nikmat seketika..
Ketenangan hakiki hanya padaNYA..!

Teman..
Langkahan kita baru bermula..
Ombak dugaan sentiasa bergelora..
Menuntut keikhlasan memandu jiwa..
Demi mendamba redhaNYA..
Pastikan api juang tiada henti menyala!..


Ini gambar arjuna dan teman-teman ex- Maahad Muhammadi Lelaki yang belajar di Jordan, Mesir dan Kuwait. Mereka datang ziarah Syria…Seronok sangat dapat melepaskan rindu yang bertahun – tahun dipendam untuk berjumpa…Kebetulan pula musim sejuk..apalagi..main salji la kami..
Buat teman-teman di Morocco, Rusia, Malaysia sahabat - sahabat AMAL ( Alumni Maahad Muhammadi Lelaki / Perempuan / Pasir Pekan ).. dan di mana sahaja anda berada dan menatap gambar kami nie..satu pesanan daripada arjuna..;
“ Jangan jelous yer.., tak baik untuk kesihatan..”.. He2 ..Salam syifa’..

Sunday, February 4, 2007

Wanita Dan Buaian...

Assalamualaikum..


Alhamdulillah..dapat juga arjuna meneruskan contengan ilmiah dalam ruang kecil maya ini. Imtihan dah tamat 2 hari lepas. Namun, hati ini belum lagi dipalut kelegaan selagi tak keluar natijah. Doakan arjuna berjaya!..

“ Wanita yang menghayun buaian mampu untuk menggoncang dunia!”. Ingat lagi kalam ini? Entah kali ke berapa arjuna mendengar kalam ini. Arjuna juga yakin anda pun tentu dah banyak kali mendengar kalam semangat ini. Namun apa gunanya mendengar tanpa menghayati? ..

Semalam arjuna membaca satu berita di Harian Metro yang memaparkan kisah pergaduhan ala samurai di kalangan pelajar sekolah di Manir, Terengganu. Banyak kali juga arjuna ke Manir semasa balik bercuti dulu. Masa tu heboh pasal isu melempar mercun ke sekolah tersebut. ‘ Ish..macam-macam’. Baru-baru ini pula arjuna terbaca satu berita yang memapar kisah remaja ‘terpilih’ yang membanjiri konsert di Johor walaupun ketika itu Johor sedang dilanda oleh banjir yang luar biasa. ‘Ish..ada juga ye jenis camni’. Bila arjuna call mesia 2 hari lepas, ibu arjuna mengadu yang masyarakat kampung dah makin teruk..pengedaran pil kuda, hidu gam, kecurian motor di masjid dan dah ada remaja perempuan yang melahirkan anak tidak berbapa..(nauzubillah) ‘Ish..kampung aku pun kena !’..ini baru di kampung..bagaimana pula di bandar ?..serta banyak lagi kes-kes yang arjuna yakin anda semua mengetahuinya.

Di sini, kalau kita perhatikan siapa yang patut dipersalahkan ?..mungkin kepada politikus, mereka akan mengatakan kerajaan yang salah..kerana tidak kembali kepada ajaran Islam yang hakiki tetapi menggunakan Islam Had hari untuk mengaburi mata rakyat. Betul dari satu sudut dan jelas keyataannya sekarang, semakin banyak slogan, kempen, ceramah tentang Islam Had hari, rakyat kita semakin teruk dari hari ke hari. Namun, apa yang arjuna mahu tekankan di sini adalah peranan ibu bapa yang turut memainkan tugas penting dalam memastikan didikan kepada anak-anak mengikut yang digariskan syara’.

Oleh sebab itu ‘wanita yang menghayun buaian mampu untuk menggoncangkan dunia’..kalau lah betul caranya.. ! Apa yang anda faham pada kalam ini ?..Siapa yang akan menggoncang dunia sebenarnya ?..Wanita tersebut atau anak yang dalam buaian itu ?..Ramai yang menafsirkan kalam ini ditujukan kepada wanita yang sering dipandang lemah, tetapi sebenarnya wanita mampu untuk menjadi pejuang dan menggemparkan dunia contohnya kisah keperwiraan Khaulah Al Azwar dan beberapa orang srikandi perjuangan yang lain. Namun, bagi arjuna..kalam ini juga boleh ditafsirkan dengan kehebatan wanita yang mendidik anak-anaknya sehingga menjadi kilang pejuang dan boleh menggoncang dunia dengan kehebatan akhlak dan ilmu!.

Ini kerana, andai wanita yang bergelar ibu mendidik anak-anaknya mengikut syariat Allah, InsyaAllah tiada lagi masalah yang berkaitan akhlak dan masalah-masalah lain kerana di sana telah terbina sebuah keluarga Islamik yang akan melahirkan masyarakat Islamik serta kemudiannya negara yang Islamik !. Tidak payah guna slogan Islam Had hari pun..

Sekarang, cuba putarkan ingatan kita kembali kepada sirah perjuangan di zaman Rasululullah SAW dahulu, mungkin anda pernah terbaca kisah seorang wanita yang menangis apabila tiga orang anaknya telah syahid dan beliau sedih bukan kerana kesyahidan anak-anaknya itu tetapi kerana sudah tidak ada lagi anaknya yang mahu dihantar ke medan jihad !.Wanita yang Ibu seperti inilah yang kita mahukan. Bukan Ibu yang menangis dan turut mengajar anaknya menangis bila ada artis yang terkeluar dalam rancangan maksiat Akademi Fantasia !

Bila bercakap tentang artis, arjuna amat geram dan marah bila membaca dalam akhbar tentang permohonan maaf seorang artis yang turut bergelar ibu tentang kelancangan, kebiadapan, kekurangan ajar artis ini menghina Saidatina Khadijah Radhiallahu’anHa. Kalimah " tua nak mampus " ditujukan kepada Saidatina Khadijah Radhiallahu’anHa. Apa taraf dia untuk membandingkan dirinya dengan Saidatina Khadijah Radhiallahu’anHa ?..Jauh langit dengan bumi!. Apa pun, arjuna mendoakan agar Allah mengampunkan artis tersebut dan moga ALLAH memberikan hidayah kepadanya.

Moga Allah memelihara keturunan kita daripada kerosakan akhlak dan membersihkan kekotoran noda dan dosa dalam jiwa masyarakat di negara kita!..Jadilah ibu bapa yang meletakkan Islam sebagai panduan dalam mendidik anak-anak. Baru akan wujud bukan hanya Ibu atau Bapa Mithali tetapi yang kita mahukan Keluarga Mithali!. Salam syifa’…