Setelah 2 minggu taman dakwah ini ditinggalkan sepi, bermula hari ini dan insyaAllah selagi ilham Ilahi bertamu di minda, taman dakwah ini tetap akan hangat dengan bicara maya yang ber‘akar’kan sebaran ilmu dan dakwah demi Islam tercinta.
Sudah 4 hari arjuna kembali ke bumi Syam. Gembira. Sedih. Bersemangat. Rindu. Tidak percaya. Rasa yang dinamakan perasaan ini bercampur baur. Permusafiran yang turut disertai ‘pakcik-pakcik dan makcik-makcik Arab’ ini walaupun memakan masa hampir 35 jam dengan menaiki sebuah bas memang mencabar dan memenatkan namun ia amat menyeronokkan kerana sepanjang perjalanan, banyak aktiviti yang dijalankan lebih-lebih lagi tazkirah berantai daripada sheikh yang membuatkan jiwa sentiasa dibakar api keinsafan dan rasa tidak sabar-sabar untuk bertamu di Masjidil Haram dan mengucapkan salam kepada Kekasih Allah di Masjid Nabawi. Sungguh..!! Tiada kalam yang boleh arjuna gambarkan di sini betapa indahnya lukisan perasaan di saat bola mata insan kerdil dan hina ini menatap dan menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W dan menghadap Baitullah Al Haram. Kami di jadualkan untuk menziarahi Rasulullah di Madinah Al Munawwarah dahulu selama 4 hari sebelum ke Makkah Al Mukarramah.
Di Masjid Nabawi, selain menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W, terdapat satu sudut di dalam kawasan masjid yang menjadi rebutan untuk beribadat iaitu kawasan yang dinamakan RAUDHAH. Kawasan yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai salah satu taman daripada taman-taman syurga. Memang terasa ketenangan beribadat di dalam kawasan yang ditanda dengan karpet putih ini. Ketenangan yang macamana?.. Maaf.. Arjuna tidak dapat gambarkan pada anda..
Di luar kawasan masjid, terdapat perkuburan Baqie’ yang menempatkan maqam isteri-isteri Rasulullah S.A.W, beberapa ahli keluarga Baginda dan para sahabat. Betul.. memang ramai ahli syurga yang bersemadi di perkuburan ini, namun apa yang menyedihkan tiada tanda yang boleh memberitahu kita di manakah kedudukan maqam mereka. Bagaimana untuk kita menziarahi seseorang tanpa mengetahui rumahnya?.. Mungkin salam kita tetap akan sampai melalui cara lain, namun adakah itu adab yang terbaik?.. Sedangkan kita dah berada di kampung halamannya.. Memang, sunnah wajib didaulatkan tetapi jangan diabaikan cara kita membawa ‘orang’ untuk mengikut sunnah itu. Kadang-kadang cara kita membawa orang ke arah kebaikan itu membuatkan orang semakin benci dengan kebaikan tersebut. Siapa yang salah?.. Kebaikan itu tetap kebaikan, tetapi yang perlu diubah cara kita.. diri kita.. Bukankah cara dakwah itu pelbagai?..
Alhamdulillah, di Madinah juga arjuna mempunyai tiga orang sahabat lepasan Maahad Muhammadi Lelaki yang belajar di Universiti Islam Madinah. Sempat juga mereka membawa arjuna menziarahi Universiti kebanggaan rakyat Madinah itu. Kebetulan pada masa tersebut, beberapa orang sahabat arjuna dari Darul Quran, Jakim datang ke Madinah untuk menjalani temuduga untuk menyambung pelajaran ke Universiti tersebut sambil mengerjakan umrah. Dah jadi reunion MML la pulak. Maka ber ‘jejak kasih’ lah kami kat sana. Bercakap tentang Universiti Islam Madinah, apa yang mengejutkan, hanya terdapat 30 peratus sahaja rakyat Madinah yang belajar di Universiti tersebut dan selebihnya adalah rakyat asing. Pada awalnya, arjuna gambarkan universiti tersebut sama sahaja dengan keadaan universiti –universiti di Syam ini, namun gambaran itu jauh meleset!.
Di Madinah juga arjuna sempat menziarahi beberapa tempat bersejarah dalam taqwim Islam seperti Bukit Uhud yang di sana terdapat makam Saidina Hamzah RadhiallaHu’ahu dan para syuhada’ RadhiallaHu’ahum dalam peperangan Uhud. Melihat kepada Bukit Uhud ini arjuna terasa kerdil sekali bila memikirkan pengorbanan diri sendiri untuk Islam kalau nak dibandingkan pengorbanan Rasulullah S.A.W dan para sahabat RadhiallaHu’ahum dalam usaha untuk mengembangkan dakwah agama yang Haq ini. Keadaan bukit yang berbatu, cuaca panas terik yang membakar minda dan jiwa, kemudahan air yang amat terhad, terpaksa menahan lapar dan dahaga dan banyak lagi pengorbanan mereka yang mungkin kita tidak mampu lakukan sekarang ini walaupun berada dalam keadaan yang serba selesa. Ini semua adalah bukti dan jawapan kepada kita sebagai umat Islam bahawa menyambung rantaian dakwah Islam ini adalah satu kewajipan! Usah mencari alasan, usah memberi rungutan kepada pengorbanan tenaga yang dicurahkan, usah dibangkitkan akan kekurangan harta yang telah dikeluarkan kerana semua ini tidak dapat dibandingkan dengan semua pengorbanan yang mereka berikan, hanya untuk Islam!.
Selain itu arjuna juga berkesempatan menziarahi Masjid Quba’ yang Rasulullah S.A.W pernah bersabda : Jika seseorang itu berwudhuk di rumahnya dan datang ke Masjid Quba’ kemudian mendirikan solat dua rakaat maka pahalanya seperti mengerjakan haji kecil (umrah). – aw kama qaal-. Selain Masjid Quba’, Masjid Qiblatain juga mempunyai sejarah tersendiri yang mana masjid ini mempunyai dua Mihrab. Satu menghadap ke arah Masjidil Aqsa dan satu lagi ke arah Masjidil Haram. Mengikut sejarah, Rasulullah S.A.W mendapat wahyu untuk menukar arah kiblat daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram semasa sedang solat di dalam masjid ini.
Masa 4 hari berada di Madinah terasa amat singkat. Keseronokan menikmati ketenangan mencuci hati dan berenang di dalam tasik indah di hamparan RAUDHAH membuatkan minda terlupa saat untuk wada’ dengan Habibullah sudah tiba. Usah ditanya perasaan ketika wada’ dengan Baginda. Berselawatlah ke atas nabi..! Usai wada’, satu lagi yang arjuna anggap sebagai hadiah daripada Allah taala, iaitu dapat berjumpa dan menziarahi seorang Sheikh yang boleh dikatakan masyhur di Syam tetapi diperintahkan keluar daripada Syam kerana kelantangannya beliau menyatakan kebenaran. Biasalah, sunnah pejuang..! Beliau ialah Sheikh Muhammad ‘Awadh. Pertemuan secara kebetulan di Masjid Nabawi itu tidak akan arjuna lupakan. Kerana apa?.. Bukan kah mendapat doa daripada seorang ulama’ di Masjid Nabawi itu satu memori indah?..
… bersambung..


