Friday, October 26, 2007

Anda Harus Menilainya..

Assalamualaikum...
Moga anda berada dalam ketenangan dengan nikmat Islam dan Iman yang dikurniakan Allah kepada hambaNYA.. Kali ini, Arjuna cuma mahu anda semua menilai sendiri dua gambar kat bawah nie.. nilai dengan iman dan taqwa.. bandingkan masih adakah lagi pemimpin di dunia ini yang mewarisi gaya kepimpinan khalifah-khalifah negara Islam yang terdahulu seperti Saidina Abu Bakr, Umar,Othman, Umar Ibn Abdul Aziz dan lain-lain... Fikirkan..
Satu lagi cerita terbaru.. dalam kehebatan kerajaan Islam Hadhari ingin menolong rakyat ini ada ura-ura (terdapat dalam akhbar) yang mengatakan tarif elektrik akan diNAIKKAN.. dan pak cik samy vellu juga akan menghantar cadangan kepada kabinet untuk MENAIKKAN kadar tol.. Semua barang mesti baik punya..tidak ada yang turun jika anda memilih BN kerana ia singkatan kepada Barang Naik..! salam syifa'..


"Inilah mahligai pemimpin UMNO, pembela Islam Hadhari.."



"Ini pula mahligai pemimpin tertinggi PAS pembela Islam hakiki.."



Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.
Ingin berjumpa dengan beliau..? Tak susah.. Tidak payah buat temu janji.. Anda hanya perlu ke Dewan Zulkifli, Kota Bharu setiap hari Jumaat kerana di situlah beliau memberi kuliahnya setiap minggu. Pada setiap kali waktu subuh, khususnya hari Jumaat, jika anda hadir ke masjidnya untuk bersolat, jangan terkejut pula jika anda bertemu ramai ibu-bapa yang membawa bayi-bayi untuk dicukur jambulnya oleh Tuan Guru.. Dan jika anda ke rumah beliau di waktu beliau lapang.. jangan terkejut juga jika beliau sendiri yang mengangkat dulang air untuk anda sebagai tetamu..(pengalaman yang dialami arjuna sendiri)..Ini belum termasuk gaji bulanannya yang dipotong demi masa depan dan kebaikan kerajaan yang dipimpinnya..
Justeru, anda cari lah seorang Menteri Besar yang lain di Malaysia ini yang memberi kuliah agama kepada rakyatnya tanpa mengenal jemu..setiap minggu pula tu..! Carilah juga seorang Menteri Besar yang bersama rakyat sehingga sanggup membuat perkara-perkara sekecil-kecilnya kerana rakyat seperti muncukur jambul bayi yang baru dilahirkan..dan carilah juga seorang Menteri Besar lain yang sanggup memotong wang gajinya sendiri kerana rakyat!..Carilah..!
Inilah antara beribu sebab yang membuktikan kepimpinan Tuan Guru amat disayangi dan disegani di negeri Kelantan. Kepimpinan yang membawa manhaj Islam hakiki bukan Hadhari.. UMNO ingin merampas Kelantan..? Beli cermin dan cermin muka dulu.. Rakyat Kelantan sesekali tidak akan membenarkannya..!Hidup Islam.. Membangun Bersama Islam..!

Sunday, October 21, 2007

Aidilfitri..

Assalamualaikum…



Alhamdulillah.. dapat juga meng ‘online’ kan minda dan jiwa pada kali ini dalam taman dakwah kesayangan arjuna ini. Mungkin setiap kali anda menziarahi taman dakwah arjuna sejak akhir-akhir ini pandangan anda kabur dek kerana rerumput yang kian memanjang dan dedaunan yang berselerakan akibat lama ditinggalkan. Maafla.. Arjuna betul-betul tidak sempat untuk menebas rerumput yang memanjang dan menyapu dedaunan yang berselerakan itu. Amanah taklifan untuk menjaga hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan pencipta membuatkan arjuna sentiasa dalam kesibukan sejak akhir-akhir ini. Namun, usaha dakwah maya ini tidak sesekali arjuna akan tinggalkan.. wajib teruskan larian..!

Rasanya belum terlambat untuk arjuna ucapkan Selamat Hari Raya Aildilfitri kepada semua rakan-rakan bloggers, teman-teman di Syam serta sahabat-sahabat fillah yang sering menjenguk dan menyinggah di taman dakwah ini. Terima kasih banyak-banyak kerana banyak memberikan sokongan. Bagaimana sambutan Aidilfitri kalian..? Adakah benar-benar sudah kembali kepada fitrah yang menjadi tujuan utama Aidilfitri diraikan..? Bagaimana pula dengan amalan-amalan sepanjang Ramadhan?..Dapat di ‘istiqamahkan’ atau tidak?..Aidilfitri tidak bermakna apa-apa jika kita hanya berpakaian baru, berkasut mahal dan segala-galanya tampak bergaya tetapi jiwa kita tetap kotor dan bekarat, minda kita tetap kuning dengan merajakan fikrah barat dan taqwa serta iman kita entah ke mana. Marilah sama-sama kita koreksi diri masing-masing adakah segala-galanya sudah kembali kepada fitrah atau tidak.. Sama-sama beristighfar padaNYA..!

Musim raya ini juga dikenali dengan musim rumah terbuka. Buka sana. Buka sini. Pening kepala dibuatnya. Bukan apa… yang kita tertanya-tanya mengapa gelombang rumah terbuka nie hanya berlaku pada musim raya?.. Bukankah Islam mengajar penganutnya supaya sering memuliakan tetamu tidak mengira waktu kerana itu salah satu tanda keimanan kepada Allah..? Buatlah rumah terbuka.. tiada siapa yang larang.. namun, berhatilah-hatilah.. takut-takut berlaku pembaziran yang melampau dan mengakibatkan kita mendapat kemurkaan Allah. Haa.. ini belum masuk bab majlis kahwin lagi.. Ntah, tak nak cerita panjang-panjang bab nie.. sensitif.. He2..





Bercakap tentang membazir nie..Kat sini arjuna sertakan juga gambar rumah eh.. bukan.. banglo..eh.. rasanya tak jugak.. Istana kot.. yang menjadi kepunyaan salah seorang pemimpin UMNO Selangor. Di saat rakyat bawahan yang tinggal di pondok buruk (xpercaya?..tontonlah rancangan ‘Bersamamu’).. hidup dalam keadaan dho’if..makan pun tak cukup.. pemimpin korup ini boleh membina mahligai yang berharga 10 juta.. (takda akai ka..?).. Anda fikirlah sendiri… Ini mungkin isu lama.. Namun, ia tetap baru kepada mereka yang jiwanya hidup dan bencikan kezaliman. Bukankah ini satu kezaliman?.. Jangan biarkan hati kita cenderung kepada kezaliman.. Bersihkan ia..! Salam syifa’..

Sunday, September 23, 2007

Bingkisan Ramadhan..

Assalamualaikum..


Alhamdulillah, akhirnya dapat juga arjuna menyiram pepohon ilmu di dalam taman dakwah ini. Sememangnya Ramadhan kali ini boleh dikatakan sibuk. Siangnya menolong kakak berniaga lauk pauk sempena Ramadhan seperti ayam masak merah, dalca, gulai kawah, sambal jantung pisang (oghe kelate sebut 'teresek') dan macam-macam lagi la yang kalau arjuna senaraikan di sini pasti anda akan terasa lapar. Sambutannya?..Boleh lah tahan. Tapi,anda jangan ingat Arjuna menolong beliau memasak pula.. Arjuna hanya menolong menjaga anak-anak saudara di rumah. Anak-anak saudara yang nakal tetapi..erm.. cute!. Tolong la jugak tu kan?.. Manakala pada malamnya, arjuna menjadi imam terawih di salah sebuah balai polis kat sini. Letih.. tp seronok.! Selain itu, arjuna juga sempat mencuri masa untuk membuat lesen kereta. Biasalah.. kan dah jadi imam di balai polis.. hehe..

Setiap kali Ramadhan, boleh dikatakan semua stesen televisyen di negara kita akan menyiarkan program keagamaan. Banyak.. Dari program bingkisan, dokumentari, drama dan pelbagai lagi.. Namun, yang menyedihkan.. kebanyakan program-program tersebut disiarkan pada waktu mesyarakat kebanyakannya tidur. Bayangkan,antara pukul 1-6 pagi..selain masyarakat sedang tidur dan selepas itu bersahur serta mungkin ada yang berqiamullail tentu hanya segelintir kecil sahaja yang menonton televisyen. Kanak-kanak sudah tentu tidak akan menonton televisyen pada masa tersebut. Sedangkan merekalah sasaran didikan untuk dibentuk menjadi pewaris bangsa yang berkualiti. Berlainan pula pada waktu siang, selain daripada cerita-cerita kartun yang dijamu kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak, drama-drama termasuk drama Melayu juga tidak kurang hebatnya. Drama yang mempamerkan wanita mendedahkan aurat, filem-filem Hindustan yang amat melampau dengan tarian gilanya, iklan-iklan yang terang-terangan menghina keizzahan wanita yang mulia di sisi Islam dan banyak lagi rancangan-rancangan 'tidak betul' atau pun 'gila' yang dianjurkan dan seolah-olah digalakkan oleh kerajaan Islam Hadhari di bulan Ramadhan ini. Terbaru.. dalam bulan yang mulia dan penuh berkat ini mereka masih lagi seronok menempah laknat Allah dengan menganjurkan program khusus Joget Lambak bersama artis. Walaupun terdapat kadang-kadang diselitkan program 'mambaca@melagukan' Al-Quran oleh beberapa orang artis dalam sekitar 10-15 minit,namun adakah ia akan memberi kesan yang dominan setelah mereka menonton rancangan-rancangan 'gila' lain selama berjam-jam..? Seolah-olah menyindir Al - Quran pula! Ma'ruf pun buat.. Munkar pun buat.. Boleh ke macam tu?

Selain itu, negara juga dihebohkan dengan berita penculikan dan pembunuhan arwah adik Nurin Jazlin yang dibunuh kejam oleh seorang hamba Allah. Walau sejahat mana pun 'dia', 'dia' tetap hamba Allah.. setiap hamba Allah mempunyai peluang untuk bertaubat dan beroleh hidayah dariNYA.. mungkin selepas ini kita boleh berhenti dari mengutuk dan mengeji tetapi berusaha untuk mendoakan 'dia' supaya beroleh taufiq dan hidayah dari Ilahi. Kita boleh kata apa sahaja kerana kita masih boleh belum diuji seperti yang 'dia' alami. Benci tetap benci, namun itu tidak akan dapat memutuskan silaturrahim antara 'dia' dengan kita. Ingat.. Kita bersaudara! Kita tengok bagaimana 'kecepatan' dan 'kehebatan' PDRM menyelesaikan kes ini. Apa yang pasti, 'kekecohan' kes ini khususnya dalam akhbar dan berita televisyen secara tidak langsung telah menyiram api kepanasan kes pembunuhan Altantuya Sharibuu..Kes yang dikatakan berprofil tinggi dan mempunyai kaitan dengan pemimpin besar negara. Rakyat terutamanya 'orang kampung' lebih kesiankan arwah adik Nurin Jazlin dari mengingati dan mempersoalkan siapa dalang di sebalik pembunuhan Altantuya Shatibuu.. Timbul persoalan, apakah benda ini dirancang?.. Ditambah lagi dekat pilihanraya ini.. Erm.. Anda difikirkan sendiri.. ok.. Moga Allah temukan kita dengan malam Al Qadr.. Malam yang berkat.. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan.. Padanya mungkin terdapat syifa' yang kita cari.. maghi pakat-pakat cari deh..! salam Syifa'....

Tuesday, September 11, 2007

Salam Ramadhan Al Mubarak..

Assalamualaikum..



Salam Ramadhan Al Mubarak diucapkan kepada sahabat-sahabat yang sering bertamu ke taman dakwah ini.. Sama-sama lah kita hiasi Ramadhan Al Mubarak kali ini dengan amalan-amalan yang bisa menambahkan 'taqwa' dalam jiwa kita sebagaimana yang difirmankan Allah pada akhir ayat yang difardhukan berpuasa iaitu 'la`allakum tattaqun' . Itulah matlamat berpuasa sebenarnya..

Sama-sama juga kita mengambil peluang sempena Ramadhan Al Mubarak kali ini untuk melakukan perubahan dalam diri kita.. Perubahan Iman dan Akhlak yang sering kita lupakan. Baiki yang mana kurang, tampung yang mana bocor.. Jangan hanya ubah diri sendiri, intailah sama adik beradik kita, sahabat handai kita dan masyarakat di sekeliling kita mengikut kemampuan masing-masing. Wujudkan sikap cakna dalam diri. Barulah ukhwah akan bersemi.Jangan paksa diri untuk berubah tetapi ciptalah ruang dan peluang dalam diri dan jiwa kita untuk berubah. Sama-samalah kita berdakwah setakat mampu.

Ya.. hantu dan syaitan akan dirantai dan dibelenggu.. kerana itu gunalah peluang ini sebaiknya.. Hidayah dan keberkatan itu milik Allah. Pohonlah padaNYA.. Jom, koreksi diri.. Kita lakukan perubahan.. kerana ini mungkin Ramadhan Al Mubarak terakhir yang kita temui dalam hidup di dunia fana' ini.. Allahummaghfirlana zunubana..!Salam Ramadhan Al Mubarak..!

Monday, September 10, 2007

TRAGEDI BATU BURUK : DEMOKRASI YANG DICABULI..

Assalamualaikum...

Arjuna rasa tulisan saudara Ahmad Lutfi Othman ini perlu anda baca jika anda inginkan penjelasan yang lebih jelas serta lebih daripada itu berkenaan tragedi Batu Buruk ini. Konklusi yang arjuna boleh buat.. UMNO sekarang dalam ketakutan, dan mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menghancurkan pembangkang dan memastikan mereka menang dalam pilihanraya umum nanti. Sistem demokrasi yang ada dalam negara kita telah dirobek oleh UMNO..! UMNO adalah parti pondan!..Pengecut..! Kalau berani lawanlah cara anak jantan, jangan hanya baling batu kemudian menyembunyikan tangan..! Maralah wahai pejuang.. usah takut dan gentar kepada dugaan serta cabaran.. kerana itu semua adalah sunnah pejuang..!

............................................................

Saya tidak sempat menonton Buletin Utama TV3 sebentar tadi (jam 8 malam, 9 September) tetapi sudah dapat diagak apa yang akan diperkatakan pemimpin-pemimpin kanan Umno, misalnya Najib Razak dan Hishammuddin Hussein, dan juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Johari Baharom, mengenai tragedi seorang anggota polis menembak - dengan peluru hidup - dua peserta majlis ceramah anjuran Bersih, di Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam tadi (8 September).


Dua pemuda yang cedera parah itu, seorang daripadanya dikejarkan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan tentulah tidak dilihat sebagai mangsa "keganasan" polis yang perlu dikasihani, sebaliknya anggota keselamatan yang menembak dengan peluru hidup itu pula akan dilihat sebagai "mangsa", sepertimana yang dapat saya kesan melalui laporan Berita Bernama.

Maka, akan ditampilkan sebesar-besarnya nanti, bahawa apa jua yang jahat, yang buruk, yang merusuh, yang mengamuk, yang ekstrim, yang gila kuasa, yang tidak hormat undang-undang dan penguatkuasanya ialah PAS, pemimpin, ahli dan para penyokongnya. Segenap "senjata pemusnah" BN akan dihadapkan kepada PAS.

Usah terkejut dengan ulasan sebegitu rupa, yang cuba menghempap PAS dengan pelbagai imej buruk-jelik -- yang akan bertindih-tindan nanti dek ramainya pemimpin BN yang ghairah mengulas -- yang tujuannya hanya satu, yakni meletakkan PAS di dalam kandang orang salah. Perhatikanlah, bebanan tohmahan palsu itu akan dihalakan khusus buat PAS Terengganu, bagi mencalarkan wajahnya seburuk mungkin, untuk menggelapkan apa jua harapan untuk menguasai semula negeri itu.

Sejauh mana propaganda murahan Umno-BN-Polis-Media akan berjaya mengelabui mata rakyat, terpulang kepada kebijaksanaan PAS untuk menangani isu ini. Tidak mustahil isu "amukan" di Batu Buruk ini boleh mengasak PAS ke kubu pertahanannya sebagai pihak defensif, ataupun ia bisa bingkas bangun untuk menerjah dan menyerang balik pemerintah jika kisah sebenar dapat dipaparkan sebaik mungkin.

Situasi sulit

Dalam masa PAS perlu bersikap cermat dan berhati-hati, bimbang rakyat mudah dipengaruhi jentera propaganda BN terutama melalui media perdana, ketegasan berdepan situasi sulit ini amat diperlukan. PAS pernah berdada suasana lebih sukar, seperti Peristiwa Memali dan Lubuk Merbau di Kedah, dan lebih awal lagi "rampasan kuasa" di Terengganu sendiri pada awal 60-an.

Propaganda itu sudahpun bermula. Melihat Terengganu sebagai sasaran utama PAS dalam pilihan raya akan datang, selain mengekalkan pemerintahan di Kelantan, isu ini tentu akan dimanipulasi sehebat mungkin, bukan lagi dalam konteks keselamatan, bahkan ia terangkum erat dalam pakej politik pilihan raya ke-12. Justeru, kenyataan pihak polis, seperti cuba dijelaskan Ketua Polis Negeri, Dato' Ayub Yaakob tidak mudah diterima umum.

Apatah lagi rekod buruk polis di Terengganu, khususnya menangani masalah permit ceramah parti pembangkang, diketahui umum. Kita boleh menyenaraikan program-program PAS di negeri ini, walaupun dalam premis tertutup - termasuk pada majlis ceramah Israk Mikraj, di Masjid at-Taqwa, Pekan Batu Enam, 26 Ogos 2005 - berdepan dengan pelbagai kesulitan yang ditimbulkan pihak polis, sehingga tembakan pemedih mata dan pancutan air gatal bukan perkara asing lagi.

Memang pelik, jika hanya faktor ketenteraman awam diambil kira, apalah susahnya untuk meluluskan permit ceramah. Bukankah hampir saban malam, di seluruh negara, program-program penerangan PAS dijalankan secara aman, tanpa sebarang kekecohan. Kalau tidak diganggu polis, majlis berjalan lancar sehingga tamat. Malah dalam PAS dibentuk Unit Amal bagi membantu kelancaran lalu-lintas dan memastikan ia tidak menganggu penduduk setempat.

Sebenarnya isu tembakan bom asap, keganasan polis, dan kesukaran mendapat permit ceramah seolah-olah menjadi kelaziman dalam kegiatan politik pembangkang di Malaysia. Walhal, sebagai parti yang sah didaftarkan, pembangkang juga berhak untuk bertemu rakyat. Sudahlah segala saluran maklumat lain ditutup, medan tradisi turun-temurun - pentas ceramah - pun mahu dihalang ketat.

Itu belum diambil kira majlis-majlis yang bakal mempamerkan bantahan rakyat terhadap dasar dan pelaksanaan pemerintah. Perhimpunan membantah kenaikan minyak tidak lama dulu misalnya sering diganggu polis dan FRU. Aktivis sosial bukan saja digari dan dihantar ke lokap polis, tetapi kerap juga kita lihat ada yang dipukul-terajang sampai berdarah kepala. Dan yang paling diingati tentulah demonstrasi sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Kampung Baru dalam era reformasi 1998-99 dahulu.

Bukan pentas mengutuk pemerintah

Namun, insiden berdarah di Batu Buruk ini membawa pengertian berbeda. Ia bukan perhimpunan mengutuk pemerintah atas isu-isu tertentu. Ia sekadar majlis ceramah anjuran Bersih, yakni gabungan parti-parti politik dan NGO, yang menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil, diketuai Presiden MTUC, Syed Shahir. Jelajah program Bersih ini itu sebenarnya diadakan pada setiap negeri. Difahamkan ia juga berhasrat untuk menggembleng kekuatan 100,000 rakyat Malaysia untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran di ibu kota, November nanti.

Menuntut perjalanan pilihan raya yang adil, telus, jujur dan bersih tidak seharusnya ditanggapi sebagai usaha provokasi yang mesti digeruni pemerintah. Kerajaan yang dibentuk atas konspirasi jahat SPR-Polis-Umno-JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) boleh dipertikai legitimasi atau keabsahannya, dan inilah yang diperkatakan tentang mandat besar yang diterima Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2004.

Ya, sesuatu yang ironi berlaku di Batu Buruk malam tadi. Majlis penerangan buat rakyat memahami satu proses paling penting dalam pembentukan sebuah kerajaan demokratik dihalang dengan begitu keras dan kasar. Pihak polis akan mengemukakan pelbagai daleh dan alasan, khususnya tentang prosedur permit dan aspek keselamatan lainnya, dan kita akur dengan syarat-syarat munasabah yang ditetapkan. Tapi, paling ketara nantinya ialah penonjolan sikap memihak polis terhadap kepentingan politik Umno-BN, terutama di sebuah negeri yang kini dalam keadaan terumbang-ambing menghadapi suara rakyat yang telah bosan dan muak dengan janji-janji yang tidak tertunai.

Siapa perangkap siapa

Mungkin ada soalan timbul, dengan keterbatasan tenaga dan sumber, apa untungnya PAS dan juga pembangkang bertempur dengan pihak polis? Saya juga berfikir begitu, apa gunanya kita membazirkan kekuatan berdada dengan keegoan dan kesombongan pasukan keselamatan, walhal di belakang mereka, berdiri pimpinan Umno-BN yang bersiap-siaga untuk memasang perangkap? Sekali imbas mungkin ada logiknya persoalan itu dibangkitkan.

Soalnya, apa pilihan kita? Selamanya kita mahu menjunjung prinsip demokrasi, peraturan mengenai keselamatan awam dan penghormatan kita buat kakitangan awam yang bertugas dengan penuh dedikasi. Bahkan, parti-parti pembangkang selama ini, terutama PAS, membuktikan sikap terbuka dan rasa tanggungjawab yang luar biasa, bagi memastikan Malaysia tidak terdedah kepada kancah konflik yang mengancam keselamatan negara.

Malaysia aman dan stabil sebenarnya diasaskan oleh sikap toleransi pembangkang meskipun berdepan dengan seribu satu penyelewengan dan penipuan pemerintah. Belasan kali barisan oposisi tewas, dan sebahagian besarnya, disebabkan konspirasi dan penipuan sang penguasa, dulunya Perikatan, kini BN. Pernahkah kita saksikan amukan aktivis pembangkang yang tidak dapat menerima kekalahan mereka sehingga negara menjadi kucar-kacir dan porak-peranda? Tidak dan sama sekali tidak.

Malah, saya secara peribadi sebagai insan kecil dalam kelompok besar pembangkang, seringkali tidak berpuas hati dengan sikap pimpinan parti yang kelihatan begitu banyak bertasamuh dan bersabar "sekalipun leher mereka dikelar secara kejam".

Apa pun, rasanya masyarakat akan lebih mengenali lebih dekat penganjur program di Batu Buruk itu, Bersih (dengan segala tuntutan dan programnya) selepas ini. Ia mungkin dapat membantu menjayakan lagi usaha mengembleng 100,000 rakyat prihatin untuk menggesa satu reformasi menyeluruh terhadap perjalanan pilihan raya yang selama ini terbukti tempang dan mudah diperalatkan Umno-BN.

Semoga mereka yang cedera parah itu dapat pulih segera, berdoalah.

Saturday, September 1, 2007

MERDEKA..! SELAMATKAN MALAYSIA..

Assalamualaikum..



Merdeka..!
Merdeka..!
Merdeka..!
Hanya itu yang mampu dilaungkan..
Hanya itu yang boleh dibanggakan..
Kibar bendera..
Tiada sambutan..
Cipta slogan..
Hanya untuk sedapkan pendengaran..
Namun..
‘Merdeka’.. hanya ‘merdeka’..
Sedikitpun tiada penghayatan..!

Merdeka..!
Merdeka..!
Merdeka..!
Negara gah dengan kemajuan..
Bangunan tinggi mencakar langit dibangga-banggakan..
Pemimpin kaya raya yang diagung-agungkan..
Namun..
Rakyat bawahan terus dalam kemiskinan..
Terus dalam kefaqiran..
Terus ditekan..
‘Merdeka’..hanya ‘merdeka’..
Sedikitpun tiada penghayatan..!

Merdeka..!
Merdeka..!
Merdeka..!
Kempen anti rasuah terus dicanangkan..
Kempen anti rokok tidak ketinggalan..
Kempen mulia akhlak diperbesarkan..
Namun..
Bergunakah kempen tanpa perlaksanaan..?
Rasuah semakin beraja dalam kepimpinan..
Rokok sudah menjadi makanan asasi seharian..
Akhlak remaja terus tenggelam dalam kebobrokan..
‘Merdeka’..hanya ‘merdeka’..
Sedikitpun tiada penghayatan..

Merdeka..!
Medeka..!
Merdeka..!
Melayu adalah pejuang kemerdekaan..
Melayu berkorban jiwa raga demi kemerdekaan..
Kesusahan.. kemelaratan.. kekalahan.. kesedihan..
Melayu dan merdeka tidak dapat dipisahkan..!
Namun..
Siapa raja dalam ekonomi sekarang..?
Siapa penguasa dalam pendidikan..?
Siapa yang terkedepan dalam mendepani cabaran..?
Siapa..?
Di mana melayu yang dikatakan ingin menguasai zaman..?
Dadah.. ganja.. mat rempit.. pil kuda.. merompak..
merogol.. bohsia.. bohjan…
Ahh.. Melayu dalam kelalaian..!
Melayu tiada kesedaran..!
Adakah ini erti kemerdekaan..?
Apakah ini yang dibangga-banggakan..?
‘Merdeka’.. hanya ‘merdeka’..
Sedikitpun tiada penghayatan..!

Merdeka..!
Merdeka..!
Merdeka..!
Benarkah kita merdeka..?
Apakah minda kita sudah merdeka..?
Apakah jiwa kita sudah merdeka..?
Apakah kehidupan kita sudah merdeka..?
Apakah ilmu kita merdeka..?
Benarkah kaki.. tangan.. telinga.. mata.. kita merdeka..?
Benarkah merdeka itu hanya satu sambutan..?
Benarkah merdeka itu satu kebebasan..?
Iyakah..?
Benarkah..?
Sedangkan hidup kita dalam kongkongan..
Sedangkan akhlak kita dalam penjajahan..
Sedangkan minda, jiwa kita masih digembalakan..
Sedangkan ilmu kita seringkali dilacurkan..?!
Merdekakah itu?
Ahh.. ‘merdeka’.. hanya ‘merdeka’..!
Sedikitpun tiada penghayatan..!

Karya spontan ini dinukilkan di dalam Mujamma’ Quraiysh, Universiti Al Al-Bayt Jordan, semasa menghadiri Program Latihan Pembangunan Keusahawanan Untuk Siswazah Timur Tengah . Beberapa rangkap karya ini juga di ‘sajak’ kan semasa menjadi Hos/Juru Acara pada Sambutan Malam Kemerdekaan Malaysia kali ke 50 di Syria. 3 hari lagi nak balik mesia…! Jangan marah ha.. He..he.. he..
Salam syifa’..

Wednesday, August 22, 2007

Sampai Bila...?

Assalamualaikum...

Sampai bila..? Itu yang bermain di fikiran arjuna bila membaca keratan berita berkenaan kempen program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2007 bermula 1 hingga 30 September ini (utusan,28/08/2007). Sejak hampir 50 tahun dahulu UMNO mendabik dada ingin mendaulatkan BANGSA dan memartabatkan BAHASA tetapi hingga sekarang, apakah hasilnya?.. Teruk..!

Bermula dari ahli parlimen yang sebahagian besarnya adalah Melayu sering 'tersyasyul' ketika berbahas sesuatu isu sehinggalah pelajar-pelajar sekolah menengah dan mahasiswa/si universiti tempatan yang sebahagian besarnya bercakap serta berbual secara 'nasi kerabu', 'rojak' dan pelbagai istilah lain yang jelas merosakkan BAHASA yang UMNO ingin martabatkan.

Sedarlah wahai UMNO.., sebenarnya sistem pendidikan kita perlu diubah jika betul-betul UMNO ingin mendaulatkan BANGSA dan BAHASA. Ini kerana sudah jelas terbukti sistem yang sedia ada tidak dapat membentuk minda rakyat khususnya pelajar-pelajar dan mahasiswa/wi untuk cintakan BANGSA dan BAHASA.. malah lebih teruk bukan sahaja sudah lupakan BANGSA dan BAHASA tapi mengabaikan AGAMA..! Tanyalah, berapa orang dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah/menengah dan mahasiswa/wi universiti tempatan yang boleh membaca Al-Quran dengan baik dan lancar..? Yang istiqamah mengamalkan perintah yang wajib seperti solat dan sebagainya..? Yang akhlaknya betul-betul terbaik dan boleh dibanggakan?..Jawapannya amat mengecewakan..! Buktinya..? Mungkin anda masih ingat kajian yang dibuat oleh sebuah universiti tempatan pada tahun 2003 yang menyatakan fakta sebanyak 30.5 peratus pelajar universiti di negara ini yang ditanya pendapat mereka sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang berbuat demikian (Utusan,15/08/2007), begitu juga dengan kes seorang pelajar perempuan dibelasah dan dirakamkan aksi bogel di Felda Keratong oleh 9 rakannya yang lain baru-baru ini (H.Metro,4/08/2007) dan banyak lagi kes dan kajian lain yang membuktikan sistem pendidikan yang sedia ada tidak berkualiti dan tidak berupaya melahirkan pelajar dan mahasiswa/wi yang sayangkan BANGSA dan BAHASA dengan mengaplikasikan akhlak yang terbaik seperti yang UMNO laung-laungkan. Buat malu sahaja..!

Beribu-ribu kempen cintakan bahasa boleh dianjurkan.. berjuta-juta ringgit boleh dilaburkan.. namun apakah gunanya, andai perkara asas tidak diperbetulkan..! Islam telah meletakkan satu sistem pendidikan yang syumul dalam melahirkan generasi yang mempunyai integriti pada peribadi yang boleh dibanggakan. Islam meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai asas dalam sistem pendidikan bukan mengagungkan sistem ciptaan manusia yang jelas-jelas bertentangan dengan hakikat ilmu yang dianugerahkan Allah kepada insan. Hentikanlah perbuatan dan kenyataan retorik serta hipokrit wahai UMNO.. rakyat bukan lagi bodoh..! Jangan sampai keris yang dihunus menikam diri sendiri..! Pilihanraya akan datang.. Pastikan milik ISLAM..! Hidup Islam.. Allahuakbar!