Wednesday, March 19, 2008

Perginya seorang ulama'..takziah...

Assalamualaikum...
Teringat arjuna akan pesanan salah seorang anak murid kesayangan Tuan Guru Haji Lah, Pondok Lubuk Tapah..kami memanggilnya 'baba Zam' yang sekarang ini beliau berada di Mekah, menuntut ilmu talaqi di sana.. erm.. beliau selalu pesan dengan arjuna semasa sebumbung di Syria dulu.. "Zar, tok guru haji Lah pesan sokmo ko kita (saya) supaya jangan tinggal baca surah Al Waqiah tiap-tiap malam kalau ngaji(belajar) di luar negara untuk menuntut ilmu..Zar kena amal tuh kalau tak dok duit gak.."..Pesanan ini selalu arjuna dengari semasa arjuna mengaji kitab kuning -kitab fiqh- dengan beliau.. bukan.. bukan setakat arjuna dengari, tapi arjuna amalkan.. Alhamdulillah.. syukur padaNya, rezeki arjuna sentiasa ada..tidak putus-putus sehingga sekarang.. Allah itu Maha Pemurah..!

Namun, 10 minit sebelum tadi..sebelum menaip post terbaru di ruangan 'create posts' dalam laman blogger.com ini, arjuna didatangi khabar dari seorang sahabat yang mengatakan Tuan Guru Haji Lah, MENINGGAL DUNIA.. khabarnya semalam Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, telah mengetuai bacaan Yaasin untuk arwah yang ketika itu masih gering.. dan pagi tadi, bumi Pasir Mas dihujani air mata kesedihan dengan pemergiannya Allahyarham yang amat berjasa dalam menabur mutiara ilmu kepada masyarakat..Al Fatihah..!

(Allahyarham Tuan Guru Haji Lah,Pondok Lubuk Tapah semasa hayatnya, seorang yang wara' dan dihormati oleh masyarakat..)

Siapa yang tidak mengenali Tuan Guru Haji Lah..? Seluruh pelosok rakyat negeri Kelantan khususnya dan Malaysia amnya mengenali Allahyarham.. boleh dikatakan setiap hari ada sahaja orang mengunjungi Allahyarham untuk meminta 'air tawar',solat hajat dan sebagainya..keramat doa Allahyarham di akui oleh sesiapa sahaja yang pernah meminta khidmat Allahyarham.. khidmat yang tidak pernah diwarwakan oleh media..tidak pernah dikenakan sebarang bayaran..tetapi, khidmat hanya kerana Allah, untuk Allah dan kepada Allah.. semoga segala khidmat itu akan menjadi saham kepada Allahyarham kelak di dunia abadi.. erm..selepas ini tidak akan kedengaran lagi doa Allahyarham di majlis@program solat hajat di stadium Sultan Mohamed Ke 4 lagi.. Al Fatihah..!

Biodata Ringkas Tuan Guru Haji Lah

Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada pukul 3 00 petang, hari jumaat, 11 febuari 1933 di pondok Lubuk Tapah Tuan Guru Haji Abdullah telah mendapat pendidikan awal dengan ayahandanya sendiri iaitu Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman .Beliau juga telah belajar menulis dan membaca jawi semenjak kecil lagi dengan anak murid ayahnya yang berpengalaman iaitu Almarhum Haji Jusuh atau lebih dikenali sebagai Abang Aji Soh. Pada tahun 1953 , ayahandanya telah menghantarnya melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci, Mekah bersama adiknya Almarhum Haji Ahmad dengan menaiki kapal laut. Masjidil Haram Di Tanah Suci Mekah menjadi pusat pengajian Tuan Guru Haji Abdullah.

( Pondok Lubuk Tapah )

Di antara tokoh guru-guru dan ulamak beliau Syaikh Abdul Kadir Abdul mutalib Al-Mandili, Syaikh Muhamad Daud AlFatani ,Syaikh Abdul Jalil Al Indonisi dan beberapa orang tokoh-tokoh ulamak yang terkenal lagi . Selama hampir 15 tahun berada di Tanah Suci Mekah akhirnya beliau kembali ke tanah air. Sebelum beliau pulang ke tanah air, beliau bersama 14 orang sahabat perjuangan menghadapi ujian terakhir daripada guru-guru, ulamak dengan disuruh membaca mentafsir dan menerangkan isi kandungan beberapa buah kitab agama yang telah dipelajari selama menuntut di tanah Suci Mekah selama satu minggu.

Debaran ujian telah pun berakhir .Kini tiba pula debaran menunggu keputusan, Apabila keputusan diumumkan beliau bersama dua orang sahabatnya menerima ijazah tauliah dan tamat pengajian daripada guru-guru ulamak pada Muharam 1386 hijrah. Sebelum berangkat pulang ke tanah air beliau juga diberi pesanan dan nasihat oleh guru-guru ulama supaya memanfaatkan ilmu yang telah di pelajari dengan betul dan tepat. Pada tahun 1966 Tuan Guru Haji Abdullah kembali ke tanah air . Beliaulah sebagai pengganti ayahandanya Tuan Guru Haji Abdul Rahman untuk mentadbir dan menerajui Pusat Pengajian pondok Lubuk Tapah.

1 comment:

tintaHati said...

Al fatihah utk arwah. Semoga ruhnya dirahmati. ameen.