Thursday, February 25, 2010

Isu ROYALTI : Jawapan Balas Kerajaan Negeri Kelantan

ASAS TUNTUTAN BAYARAN TUNAI BAGI PENGELUARAN PETROLEUM DI LUAR PANTAI KELANTAN


Akta Pembangunan Petroleum, 1974 ( “PDA”), yang mulai berkuatkuasa pada 1 Oktober 1974, membawa kepada tertubuhnya Petronas dan diserah hak petroleum yang didapati dan diperolehi di daratan atau luar pantai Malaysia kepada Petronas.

Di bawah Akta Pembangunan Petroleum, 1974 (PDA), setiap daripada 13 Negeri di Malaysia telah menandatangani Perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap Negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan 5% daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.

Kami tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan dalam iklan dibuat atas nama Kerajaan Persekutuan baru-baru ini. Jawapan kami terhadap soalan yang sama adalah sebagaimana berikut:-

1. Menurut Akta Pembangunan Petroleum1974, apakah istilah yang digunakan untuk pembayaran yang dibuat untuk pengeluaran minyak dan gas?

PDA, kesemua 13 Perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak menggunakan istilah “bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan”. Perkataan yang popular digunakan oleh semua pihak ialah “royalti”. Namun, tidak ada yang berubah mengenai bentuk pembayaran iaitu bayaran tunai kepada kerajaan negeri.


2. Mengikut Perjanjian diantara Petronas dan kerajaan negeri dalam tahun 1975/1976, apakah syarat untuk mendapatkan hak 5% bayaran tunai kepada kerajaan negeri?

Istilah-istilah yang digunakan dalam PDA, 13 Perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak adalah “di daratan (On-Shore) ” dan ” luar pantai (Off-Shore)” untuk maksud petroleum yang dihasilkan di daratan dan di lautan. Tiada dinyatakan sama sekali samada di dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), 13 Perjanjian dengan Negeri-negeri mahupun 13 Geran Penyerah Hak tentang sekatan hak setiap Negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasarkan kepada jarak dari pantai.

Oleh kerana itu, baik PDA, 13 Perjanjian mahupun 13 Geran Penyerah Hak tiada menyekat pembayaran bayaran tunai bagi petroleum yang dihasilkan samaada 3 batu, 12 batu, 200 batu atau jarak lain daripada pantai kepada 13 negeri kerana jarak tersebut tidak dinyatakan sama sekali di dalam PDA, Perjanjian dengan Negeri-negeri dan Geran Penyerah Hak. Sebaliknya perkataan umum yang digunakan ialah ” Off-Shore”.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1969 tidak terpakai kepada pemilikan petroleum, baik di daratan (On-Shore) atau luar pantai (Off-Shore). Ordinan ini juga tidak ada kaitan dengan kewajipan undang-undang oleh Petronas untuk membayar bayaran tunai kepada suatu Negeri samada petroleum dihasilkan di daratan (On-Shore) atau luar pantai (Off-Shore). Hanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sahaja yang terpakai. Dengan demikian, Ordinan tersebut bukan perundangan yang relevan bagi perkara ini.

Lebih spesifik, semua perjanjian antara negeri dan Petronas menyebut rujukan tunggal kepada seksyen 4 Akta PDA ;

Perjanjian

” DAN BAHAWASANYA KERAJAAN dan PETRONAS adalah ingin hendak membuat suatu perjanjian menurut seksyen 4 Akta tersebut di atas berkenaan dengan pembayaran wang tunai yang akan dibuat oleh PETRONAS kepada KERAJAAN sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak-hak, kuasa-kuasa, kebebasan – kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan yang diletakhakkan seperti tersebut di atas mengenai petroliam ”

Seksyen 4 Akta PDA

Pembayaran wang tunai oleh Perbadanan
4. Sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak-hak, kuasa-kuasa, kebebasan – kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan yang diletakhakkan padanya menurut Akta ini, Perbadanan itu hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui antara pihak-pihak yang berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan.

———

3. Adakah Kerajaan Negeri Kelantan atau kerajaan negeri lain di Semenanjung Malaysia mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai tersebut daripada Petronas?
Ya, asalkan petroleum dihasilkan di daratan (On-Shore) atau luar pantai (Off-Shore) Negeri yang berkenaan. Oleh yang demikian, pada bulan Mac 1978, Petronas memaklumkan Kerajaan Terengganu bahawa petroleum telah dihasilkan di medan minyak yang bernama Pulai yang terletak sekitar 150 kilometer dari pantai Terengganu. Pada Jun 1978, Petronas telah membuat bayaran tunai pertama kalinya kepada Terengganu bagi pengeluaran minyak luar pantai Terengganu (di Pulai).

Selama 22 tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 1978 hingga Mac 2000, Petronas membuat bayaran tunai kepada Terengganu dua kali setahun di bawah PDA, Perjanjian dan Geran Penyerah Hak , meskipun minyak dihasilkan ratusan batu di luar pantai Terengganu.

Hanya ketika PAS membentuk Kerajaan Negeri Terengganu selepas Pilihan Raya Umum pada November 1999, Petronas berhenti membuat bayaran tunai kepada Terengganu, walaupun Petronas masih lagi mengeluarkan minyak di luar pantai Terengganu tanpa membayar bayaran seperti sepatutnya dan diamalkan sebelumnya.

———

4. Apakah kedudukan di Sabah dan Sarawak mengenai isu pembayaran royalti?

Sehingga PDA mulai berkuatkuasa pada bulan Oktober 1974, asas perundangan bayaran royalti kepada Sabah dan Sarawak adalah undang-undang yang buat oleh pihak kolonial Inggeris. Setelah wujudnya PDA dan pembentukan Petronas, Sabah dan Sarawak diperlakukan dalam cara yang seragam sebagaimana 11 negeri yang lain di Semenanjung . Jadi, satu-satunya asas perundangan bayaran tunai kepada Sabah dan Sarawak sejak Oktober 1974, adalah PDA, 2 Perjanjian mereka dan 2 Geran Penyerah hak mereka. Kedua-dua negeri tersebut berada dalam kedudukan yang sama dengan Kelantan, Terengganu dan 9 negeri lain di Malaysia . Semua dilayan sama di bawah PDA untuk mengelakkan diskriminasi di antara 13 Negeri dalam Malaysia.

———

5. Apa yang dimaksudkan dengan bayaran “Wang Ehsan”?


Ini adalah label politik yang dicipta oleh kerajaan Mahathir pada tahun 2000 ketika mengarahkan Petronas untuk berhenti membuat bayaran tunai kepada PAS Terengganu selepas membentuk Kerajaan Negeri. Istilah “wang Ihsan” tidak mempunyai asas perundangan. Hal ini tidak ditemui di dalam PDA, 13 Perjanjian dan 13 Geran Penyerah Hak atau mana-mana Akta lain.

———

6. Mengapa Wang Ihsan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Kelantan hanya dalam jumlah RM20 juta?

Kami tidak dapat menjawab soalan ini kerana ini adalah jumlah yang sewenang-wenangnya dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan tanpa asas perundangan. Tuntutan kami bagi bayaran tunggakan adalah melebihi RM 2 bilion dan bayaran tahunan tidak kurang dari RM 600 juta.

———

7. Apa kedudukan kenyataan yang dibuat oleh bekas Pengerusi Petronas, YB Tengku Razaleigh Hamzah bahawa royalti yang harus dibayar untuk Kelantan berdasarkan pengeluaran petroleum diperolehi daripada di luar perairan negeri serta mempersoalkan pemberian Wang Ihsan?

Kami menyokong pernyataan awam baru-baru ini termasuk kenyataan terkini beliau bertarikh 22 Feb 2010. Pujian harus diberikan kepada Tengku Razaleigh atas penjelasan berasaskan kebenaran tersebut. Selaku Pengerusi Pertama Petronas, dan telah berjaya memujuk 13 buah negeri memeterai 13 Perjanjian atas nama Petronas dengan Kerajaan-kerajaan Negeri. Dia sangat fasih dan berautoriti dalam hal ini. Dia juga memperolehi kepercayaan dan keyakinan daripada Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia’s Ke 2, dan arkitek polisi petroleum negara kita. Mengapa pandangan beliau diketepikan oleh orang-orang yang datang kemudian tanpa menghormati semangat asal akta dan perjanjian.

———

8. Adakah Ketua Pembangkang mengetahui mengenai kedudukan hak-hak kerajaan negeri dalam masalah ini?

Semua orang yang rasional dan matang faham kehendak sebenar undang-undang, termasuk YB Ketua Pembangkang Malaysia. Kerajaan Malaysia yang lebih mengutamakan kepentingan politik sempit sahaja yang berani mengelirukan rakyat terbanyak dengan putar belit seperti ini.


YB Dato Hj Husam Musa
Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan
23 Februari 2010
9 Rabiul Awwal 1431

Sunday, February 21, 2010

Drama King

Bismillah Wa Lillah..

Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah yang masih lagi memberikan ruang untuk hidup kepada kita. Ruang untuk mengawal kehidupan. Ruang untuk menentukan kehidupan. Ruang untuk memperbaiki kehidupan. Ingat, Ruang merupakan Peluang. Justeru, tanya balik diri kita sejauh mana kita menggunakan peluang tersebut. Sebab itu lah Allah menerangkan kepada kita akan kepentingan masa. Bila kita memahami kepentingan masa, mudah untuk kita mengatur serta mengurus ruang @ peluang tersebut. Ya, mengurus kehidupan, menentukan kehidupan dan memperbaiki kehidupan.

Alhamdulillah.. Bila kita selak balik drama yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini, mungkin anda bersetuju bahawa arjuna katakan minda kita akan berpeluh memikirkannya. Penat. Ada drama yang bodoh dan ada drama yang kurang cerdik. Sama ke? Terserah..

1. Z--- N--- - Keluar TV# dan kecam DAP. Dia tidak sedar ke parti yang disertai juga bersama-sama dengan DAP dan bernaung dibawah Pakatan Rakyat.? Habis di sapunya. Di mana adab berjemaah..? Dalam keadaan kita nak menunjukkan bahawa PR kuat dan boleh diterima, ada ke patut dia keluar di TV# dan kecam PR. Kecam DAP bererti kecam PR. Tidak begitu?. Apa juga alasan ZN, dia sepatutnya tidak bertindak demikian kecuali lah dia macam I-- A--, BEBAS melakukan apa sahaja. Apa sahaja tindakan yang dia lakukan tidak menjejaskan mana-mana parti. Sekarang, apa jadi kepada PKR?.. Nak selesaikan isu DSAI lagi, gelora di Pulau Pinang lagi... dan terbaru ZN pula.. tunggu pula apa lagi selepas ini..

2. I--- A-- - Dulu, semasa dia baru-baru menjadi Ahli Parlimen (BEBAS), dia berikrar akan tegur sesiapa sahaja yang salah. Tidak kira mana-mana parti sekali pun. Namun, sekarang cuba perhatikan.. parti mana yang selalu ditegurnya. Dan parti mana pula yang selalu di lobinya serta di pujinya..? Kalau kita perhatikan IA ini, semua benda dia nak masuk campur dengan menggunakan kePERKASAannya. Terbaru isu 50 orang Ahli Parlimen Barat yang menyokong DSAI dan mendesak tuduhan terhadap DSAI digugurkan. IA nak masuk campur juga. Siap nak bagi penjelasan lagi. Hairannya, ketika isu enjin Jet hilang, senyap pula dia. Isu Altantuya pun senyap.. Isu barang naik pun senyap.. Isu rasuah yang jelas-jelas depan mata pun senyap.. Tapi kalau isu yang melibatkan PR, laju pula.. contohnya royalti minyak di Kelantan. Ni ambo nok pese ko demo I--- A--, rakyat kelate buke bodo.. peluang hok demo dapat tu pun kerano lambe bulan.. kalu demo bertanding guna lambe payung ko.. kunci ko.. kawe jamin, demo tok akan menang pada PRU hok lepas.. tok cayo..? kito tengok PRU akan datang deh.. Tunnggguuu...

Ini baru dua drama yang arjuna kongsikan dengan anda. Nilai lah sendiri, yang mana drama bodoh dan yang mana drama kurang cerdik. Ye.. Nak sambung lagi sebenarnya.. tapi masa tidak mengizinkan.. apa pun moga Allah memberkati kita. InsyaAllah.

Wednesday, February 10, 2010

Wallahu'alam.

Bismilla wa Lillah.

1 .    Nizar Vs Zambri. Keputusannya kalah teruk 5-0. Keputusannya kekalahan Nizar sememangnya telah diagak. Namun kalah 5-0 itu tidak ter 'agak' oleh minda arjuna. Ini menunjukkan zaman pemerintahan PM sekarang ini tidak akan memberikan peluang sedikit pun kepada PR untuk bernafas dalam menegakkan keadilan.

2.    Kita lihat nanti bagaimana keputusan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim. Bagi arjuna, 85 % DSAI akan disabitkan kes. Ini pandangan arjuna laa.. Lebih - lebih lagi untuk menyekat DSAI untuk menyertai pilihanraya. Moga Allah Taala tolong DSAI sekeluarga.

3.     Semalam arjuna minum dengan seorang kakitangan syarikat susu. Beliau mengatakan mungkin susu akan naik harga berikutan harga gula juga sudah lama naik. Wallahu'alam. Sejak PM baru naik, tak de satu barang pun yang turun harga. Siapa yang merana..?

Wallahu'alam.

Monday, January 18, 2010

Ayaq Teh..



Bismillah wa Lillah..

Baru tadi idea datang mencurah-curah untuk menulis.. alih-alih sekarang ni semuanya hilang. Sentuh je keyboard komputer ni, terus idea yang tadinya seperti hujan lebat terus bertukar sepi.. macam kemarau. Kosong dalam minda. Macam isu yang berlaku 2,3 minggu lepas.. dari keasyikan kita menunggu perkembangan isu enjin jet yang hilang.. tiba-tiba je timbul isu kalimah Allah. Terus enjin jet kembali hilang. Hilang dalam minda kita.

Banyak isu yang arjuna ketinggalan sebenarnya untuk dikongsikan dengan penjenguk taman dakwah ini. Bukan arjuna tidak ambil tahu berkenaanya.. ambil tahu.. cuma hanya berdengang dibibir sahaja. Berbual di kedai kopi sambil hirup ayaq teh... cuma tidak berkesempatan untuk dikongsikan dengan anda diblog ini dalam bentuk penulisan. Tak sempat. Baru nak buka blog, ada kerja lain pulak.. 

Terbaru, isu pergolakan politik di Kelantan. Bila arjuna lihat wajah Tok Guru Nik Aziz, rasa kesian datang dalam jiwa. Dalam keadaan umur beliau yang lanjut, kesihatan yang tidak menentu.. beliau menjadi sasaran 'puak-puak jahat' untuk menjatuhkannya. Rakyat Kelantan kenal siapa Tok Guru Nik Aziz.. Walaupun umur sudah lanjut dan kesihatan sering terganggu namun akalnya tetap 'muda'... tetap kuat.. kerana itu kalau kita sering mendengar kuliah Tok Guru, kita pasti terpegun dengan contoh-contoh yang berikan untuk membuat misalan dan isi kuliahnya yang sentiasa segar dan bugar.

Namun, Tok Guru juga manusia. Anda semua fahamlah bila disebut manusia. Sepertimana Rasulullah S.A.W yang maksum serta dijanjikan syurga oleh Allah jua telah diganti pemerintahannya, mengapa tidak pemerintahan Tok Guru..? Tidak perlu untuk kita fikirkan penggantinya.. tidak perlu menamakan siapa penggantinya..Tidak Perlu..! Kerana pemerintahan atas dasar manhaj dakwah.. Allah yang pilih pemimpinnya..!

Tugas kita hanya terus berjuang.. Tok Guru tahu bila dia akan berundur. Tok Guru Nik Aziz bukan seorang yang 'gila'kan jawatan. Tadi dia ingin menjaga jawatannya agar tidak nanti diberikan kepada orang 'gila'.. Sampai masa... Allah akan gantikan pemimpin Muslim lain yang bakal menggegarkan bumi Malaysia. Ya, seperti yang dilakukan Tok Guru selama ini. Teruskan memimpin Tok Guru..! Allah Ma'ak..! 

Eh.. ini bukan idea ke?.. HeHe..

Tuesday, December 15, 2009

Bukan Rezeki Kami..



Bismillah Wa Lillah..

Rezeki Allah amat luas. Kadang-kadang ia datang dari kanan, dari kiri hilang. Jatuh dari atas, yang di bawah pula hilang. Kadang-kadang pula ia ditarik, tidak lama selepas itu... ia dikembalikan. Rezeki Allah memang luas.

Itu yang terjadi pada diri ini. Allah uji. Teringat kalam sheikh semasa di alam pengajian dulu.." Ujian itu adalah hadiah dari Allah..".. HADIAH..!

Tangisan isteri menjadi penguat semangat untuk lebih kuat menghadapi ujian. Air mata kesedihan yang mengalir di pipi permaisuriku tercinta itu menjadi azimat untuk jiwa ini lebih hadam apa makna 'redha'..


Hanya 'redha' menjadi ubat di jiwa. Hanya 'redha'.. 'redha'.. dan 'redha'.. dengan ujian Nya..


Terima Kasih Ya Allah kerana meminjamkan 'anakku' selama 3 bulan dalam kandungan isteriku..

Terima Kasih Ya Allah kerana meminjamkan ku 'aura' untuk menjadi 'ABI' selama 3 bulan itu..


Terima Kasih Ya Allah.. Kami Redha Dengan Ujian Mu..

Mungkin rezeki kami akan datang dari atas, tengah, bawah, hadapan, kiri, kanan dan belakang selepas ini.. InsyaAllah. Doa. 

Sunday, November 29, 2009

Mengapa?


Bismillah wa Lillah..



Arjuna berhenti ber 'blog'!? Tidak sesekali..! Ramai sahabat yang sms bertanyakan perihal arjuna yang sedikit slow menulis sejak kebelakangan ini. Ya, itu arjuna akui. Memang arjuna slow sikit sekarang ni. Bukan tidak sempat, namun kadang-kadang buat-buat tidak sempat. Bukan busy namun kadang-kadang sengaja buat busy. Mengapa ia berlaku..?


Allah menganugerahkan insan satu akal. Akal yang satu ini lah yang kita buat untuk pelbagai perkara. Macam-macam benda. Namun, di saat dan tika kita sedang memerah akal ini untuk berfikir, bekerja dan sebagainya, pernahkah kita terfikir yang apa akan jadi jika akal kita ini rosak. Atau dengan kata 'selamba'nya.. GILA.. ?(nauzubillah). Dan pernahkah kita terfikir untuk merehatkan akal kita ini sementara dengan menyiramnya dengan sesuatu yang nyaman, segar, rileks dan tenang?..


Jom rehatkan akal jap. Jom solat..!

Tuesday, October 27, 2009

EGM : KALAM ANAK TOK GURU

Salam Kamunting,

Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.
Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan.

Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.

Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.

Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya. Antaranya,

Anda mesti ikhlas

Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu

Anda mesti adil menilai

Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk

Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama

Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik

Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik

Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan.

Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal

Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan

Anda jangan nak jadi hero.

Diberitakan daripada sumber yang sahih bahawa al Ikhwanul Muslimin di Mesir juga ada kucah dan kacau hari ini. Antara sebabnya adalah dunia blog. Dunia blog hari ini adalah cukup tanpa adab seolah – olah ada lesen daripada ugama untuk tidak berakhlak dalam berblog!
Di mana – mana pun ujian mesti ada dan kena ada. Kerana Allah ada di mana – mana.

Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata – kata manusia dan peristiwanya. Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar.
Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.

Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.

Yang payah nak selesai ialah balah orang jahil, payah nak faham apatah nak bersefahaman.
Yang saya takut ialah balah ini sengaja dipanjangkan selepas ianya disurutkan dan diredakan. Saya harap saya dan anda tidak terlibat walaupun saya tak mungkin boleh mengharapkan semua jangan terlibat.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah ayat daripada Allah yang maha bijaksana. Hayatinya, ianya sungguh menenangkan.

“Tiadalah terjadi sebarang musibah di bumi dan tiada juga (terjadi) di dalam diri kamu sendiri kecuali ianya telah sedia termaktub di dalam kitab ( di sisi kami ) sebelum Kami lepaskannya. Sesungguhnya itu di sisi Allah adalah teramat mudah. Yang demikian adalah agar kamu tidak berduka cita di atas apa yang telah hilang daripadamu dan kamu tidak pula bersuka ria dengan apa yang kamu perolehi. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bermegah – megah.” al Hadid:22,23

Janganlah terlalu gundah dan janganlah terlalu bersuka ria.