Tuesday, April 19, 2011

LUAHAN RASA 'JAGA' MASJID : BERDOA TANPA HENTI.

Kesempatan belajar di Syria dulu, Allah telah memberi peluang kepada diri ini untuk bertamu di Makkah dan Madinah. Menjadi tetamu Allah untuk melaksanakan ibadat umrah bersama seorang sahabat. Indah sungguh kenangan di sana, sentiasa menari-nari di minda..terutama apabila dapat melihat kehebatan Kaabah di depan mata!. Ada juga coretan kenangan di sana yang boleh anda baca di CACATAN HARAMAIN I , di CATATAN HARAMAIN II dan di CATATAN HARAMAIN III .

Apa yang pasti, kunjungan ibadat tersebut banyak meninggalkan kesan di hati ini. Ya, kesan kehebatan Allah. Kesan keagungan Allah. Masih lagi terakam dalam minda ini akan doa yang dipanjatkan kepada Allah ketika pertama kali dahi ini dapat menyentuh hamparan marmar sejuk di Masjidil Haram. Doa yang dipanjatkan tika bebola mata ini memandang tepat kepada Kaabah sambil tangan menadah memohon harapan dan permintaan padaNya. Allah.. ketenangan itu kembali di minda ini.. Ahh.. sudah sampai pun di jiwa..!

Doa. Ya, Doa. Tika itu, doa yang pertama yang terkeluar dari bibir ini ialah untuk hidup dalam kondisi yang sentiasa dalam suasana ilmu. Teringat saat itu yang diri ini amat faqir dengan ilmu. Ya, masakan tidak, sahabat-sahabat lain sudah berlari dalam menuntut ilmu sedangkan diri ini masih merangkak selangkah demi selangkah dalam mencari ilmu. Sampai bila untuk sentiasa merangkak sedangkan orang lain sudah berjalan malah meluncur laju berlari dalam mencari ilmu?.. Hanya Allah yang tahu rasa jiwa tika itu. Ya, ini kisah tahun 2007.

Masa meluncur laju tanpa disedari. Akhirnya, diri ini di taqdirkan di sini. Berkhidmat sebagai penjaga rumah Allah. Khadam masjid. 'JAGA' masjid. Setiap malam ada kuliah maghrib dan sentiasa dalam majlis ilmu. Ustaz Dato' Salleh Hj Ahmad ( Kitab Kifayatul Akhyar), Ustaz Dr Hayyei Abd Shukor ( Ringkasan Sahih Bukhari),Ustaz Zamihan Al Ghari (Sifat Solat Nabi SAW), Ustaz Zahazan Mohamed, Ustaz Dr Fauzi Deraman, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Zainal Ariffin Sarbini dan baaanyak lagi ulama' yang dapat diri ini kutip mutiara ilmu dari mereka. Allah.. terima kasih ya Allah. Doa yang dipanjatkan dahulu dimakbulkan sehingga sekarang. Hidup ini sentiasa dalam wangian ilmu. Mencari dan terus mencari biarpun hanya merangkak dalam pencarian itu..!Kekalkan diri ini dalam suasana ilmu sehingga hujung nyawa ini ya Allah.. 

Syukur padaNya kerana andai diri ini ditaqdirkan bukan berada di rumah Allah, mampukah untuk solat Jemaah? Mampukah untuk datang ke masjid dan mendengar majlis ilmu? Mampukah diri ini merapati para ulama'?..Mampukah diri ini mengenali apa itu tahajud,taubat.. Allah.. betul janji Mu.. Doa yang dipanjatkan kepada Mu pasti akan dikabulkan..! Berdoalah.. pasti Allah akan kabulkan doa kita..ya PASTI!..Berdoa jangan henti,Allah akan kuatkan ruhani,hidup akan diberkati dan dirahmati..

Ingin menjadi ABI, memeluk mesra BABY di samping UMMI.. Hanya Allah yang tahu rasa diri.. Ya, BERDOA TANPA HENTI..!    

No comments: